Program Basmi Kemiskinan Di Kalangan Penoreh Getah, Petani Dan Nelayan


19basmi
ALOR SETAR 19 Ogos – Program Bantuan Tanam Semula Getah seluas 4,900 hektar telah diluluskan untuk Negeri Kedah pada tahun ini bagi tujuan membasmi kemiskinan di kalangan penoreh getah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah juga turut diberikan secara ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada pemilik kebun getah dan penoreh.

“Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM26,037,500 untuk Negeri Kedah pada tahun ini yang melibatkan seramai 52,075 pekebun kecil.

“Di samping itu, Kerajaan melalui beberapa agensi Kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang dan akan terus merancang serta melaksanakan program ke arah membasmi kemiskinan di kalangan nelayan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, YB. Dato’ Ustazah Hajjah Siti Ashah Ghazali pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul Aman, di sini berhubung perancangan Kerajaan Negeri Kedah untuk membasmi kemiskinan terutamanya dari kalangan penoreh getah, petani dan nelayan.

Menurutnya, program yang sedang dijalankan melalui LKIM pada masa ini dan akan diteruskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 ialah pemberian subsidi bahan api, pemberian elaun sara hidup nelayan dan pemberian insentif tangkapan ikan.

“Secara khususnya, Jabatan Pertanian dan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah sekian lama terlibat dalam program Azam Tani. Program ini akan memberi tumpuan kepada petani yang berdaftar dalam senarai rakyat miskin untuk membangunkan projek baru atau yang sedang dijalankan dengan tujuan meningkatkan pendapatan mereka sebagai usaha untuk membasmikan kemiskinan di kalangan rakyat di negara ini,” ujarnya.

Sumber : UMTK