Polis Kedah Terus Tanggani Aktiviti Perjudian

12Poliskedah
AHMAD Ibrahim (tengah) menyaksikan upacara serah tugas Zaleha Abdul Rahman (kiri) kepada Zakaria Yusof (kanan) dalam majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 12 Ogos - Aktiviti perjudian di negeri ini sentiasa dipantau dan diberi perhatian oleh Polis Kedah yang sentiasa mempergiat usaha memerangi kegiatan tersebut menerusi Op Dadu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya tidak pernah berdiam diri dan segera bertindak apabila menerima laporan orang ramai berhubung kegiatan perjudian.

Menurutnya, pemantauan turut dijalankan dengan memantau pusat perjudian yang baharu ataupun premis yang dibuka semula.

"Setiap hari kita banteras aktiviti perjudian di bawah operasi maksiat dan perjudian serta ada tangkapan dibuat.

"Operasi yang kita jalankan bukan sahaja di hotel atau rumah, malah pernah membabitkan rumah ibadat yang dijadikan pusat judi," katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Ketua Pengajian Sains Pengurusan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Datuk Zakaria Yusof, 58, telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah berkuat kuasa semalam bagi menggantikan Datuk Zaleha Abdul Rahman.

Menurut Ahmad, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana kumpulan yang menjalankan aktiviti perjudian.

Katanya, kerjasama daripada orang ramai turut diperlukan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengetahui tentang kegiatan tersebut.

"Balai polis buka 24 jam, jadi jika ada maklumat tentang judi, orang ramai boleh segera laporkan kepada pihak polis," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, satu jabatan baharu telah ditubuhkan tahun ini di IPK Kedah iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah.

"Jabatan ini akan lebih fokus dalam pencegahan jenayah dan lebih teratur serta sistematik.

"Tahun ini juga, untuk bulan Januari hingga Julai, kadar jenayah di Kedah telah mencatatkan penurunan sebanyak 232 kes iaitu 4,983 kes berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 5,215 kes," katanya.

Sumber : Utusan