Polis Berkas Kumpulan Jual Komponen Motosikal Curi

24moto
ABD.Rahim Abdullah (kiri) menunjukkan komponen motosikal yang dileraikan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, semalam.

KUBANG PASU 24 Ogos - Kegiatan menjual komponen motosikal curi yang dijalankan Geng Bedul sejak dua tahun lalu tumpas dengan penahanan suspek utama kumpulan tersebut di pekan Jitra dekat sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintendan Abd. Rahim Abdullah berkata, bertindak atas maklumat orang awam, suspek bersama-sama seorang lagi rakannya berjaya ditahan kira-kira pukul 5 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap penganggur yang berumur 20 tahun itu, polis berjaya menemui tiga 'allen-key' yang telah diubah suai bagi kegiatan mencuri motosikal.

"Apabila tertangkapnya suspek utama kumpulan ini, polis berjaya menangkap tiga lagi ahli kumpulan ini berumur di antara 17 hingga 22 tahun dan kesemua mereka ini positif dadah.

"Hasil soal siasat terhadap suspek utama, dia mengaku bahawa terlibat dalam 11 kes curi motosikal di Jitra, satu di kawasan masjid Kepala Batas dan empat di Alor Setar," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Abd. Rahim berkata, kumpulan ini akan membuang motosikal yang dicuri ke dalam Sungai Alor Ganu, Alor Setar setelah mengambil komponen untuk dijual dengan harga lebih rendah daripada pasaran.

Katanya, hasil daripada tangkapan tersebut, polis berjaya merampas em­pat rangka motosikal, empat enjin dan pelbagai komponen lain.

"Kesemua mereka yang ditahan direman mulai Khamis lalu hingga Sabtu, namun disambung reman semula hari ini (semalam) untuk tujuan soal siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," jelasnya.

Pada sidang akhbar sama, Abd. Rahim memberitahu, 11 orang termasuk seorang pengedar dadah berjaya ditahan polis di hadapan sebuah pondok di dalam kawasan belukar di Kampung Darat, Changlun, di sini antara pukul 10 pagi hingga 2 petang semalam.

Ujar beliau, lelaki berumur 33 tahun itu menggunakan modus ope­randi dengan membawa dadah ke pondok yang telah beroperasi hampir sebulan lalu untuk diedarkan kepada penagih, selain mengedar di sekitar kawasan Changlun.

"Hasil pemeriksaan ke atas lelaki tersebu,t kita turut menemui satu beg­ plastik yang didalamnya mengandungi dua paket disyaki dadah jenis heroin seberat 45 gram dan tiub straw.

"Kesemua mereka ditahan reman selama seminggu mulai hari ini (semalam) dan kes ini disiasat di bawah Seksyen Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.

Sumber : UTUSAN