Pesawah Berhak Bincang Potongan Padi Minimum

12petani
ALOR SETAR 12 Ogos – Pesawah padi berhak berbincang atau berunding dengan pengilang untuk mendapat had potongan padi minimum yang ditetapkan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Dato’ Othman Aziz berkata, pesawah boleh berunding dengan pengilang sehingga mendapat jumlah yang dipersetujui untuk had potongan minimum seperti yang ditetapkan bagi setiap metrik tan padi.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan menaikkan harga jualan padi RM1,200 bagi satu metrik tan, namun potongan hasil jualan padi tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya dari 17 hingga 20 kilogram seperti yang ditetapkan.

“Kita tahu, ada sesetengah kawasan mengadu dan tak berpuas hati dengan hasil jualan padi apabila pengilang potong lebih 20 kilogram. Ada sehingga 27 hingga 30 kilogram.

“Jika ada petani hadapi masalah potongan berlebihan, mereka diberi ruang untuk berunding dengan pengilang sehingga mencapai kata putus. Kalau tidak mereka boleh menggunakan pengilang yang lain,” katanya.

Menurutnya, banyak petani tidak mengikut lori yang menghantar padi ke kilang tetapi hanya mengambil maklum balas daripada pemandu lori tersebut dan tidak melalui proses runding cara.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kes potongan berlebihan mungkin disebabkan kualiti padi yang dijual.

“Kita kena faham pada fasa satu, padi mudah kena serang dengan penyakit bena berang yang menyebabkan kualitinya berkurangan. Proses jagaan padi seperti semburan racun serangga dan sebagainya juga boleh menyebabkan pengilang terpaksa membuat potongan lebih tinggi.

“Untuk musim pertama iaitu fasa satu sehingga bulan Ogos, kilang Bernas secara purata memotong 19.6 peratus dalam kawasan MADA,” ujarnya.

Sebelum ini, pesawah mendakwa pengilang memotong hasil padi melebihi had minimum 17 hingga 20 kilogram bagi setiap metrik tan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun berharap semua yang terlibat dalam sektor penanaman padi memahami mutu padi untuk memberi keuntungan kepada semua.

“Kita harap dua tahun akan datang, semua pihak dapat ikut dan melaksanakan amalan pertanian yang baik,” katanya.

Sumber : UMTK