Perlu RM3.6 Juta Baiki Jalan Bedong

7jalan
SUNGAI PETANI 7 Ogos - Sebanyak RM3.6 juta peruntukan diperlukan bagi membaik pulih Jalan Persekutuan Bedong-Semeling sepanjang kira-kira 14 kilometer yang sering dibangkitkan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, orang ramai sering mengadu mengenai kerosakan jalan berkenaan yang berlubang dan bertampung di beberapa kawasan sehingga menyukarkan perjalanan.

Menurutnya, tinjauan ke lokasi kejadian dibuat sejurus menerima aduan orang ramai berhubung masalah yang kerap berlaku.

“Saya akui jalan ini menjadi laluan utama penduduk keluar dan masuk selain digunakan pelajar dari sebuah universiti tidak jauh dari sini.

“Apabila jalan tidak sekata, sudah pasti mendatangkan kesukaran tambahan pula dimaklumkan kemalangan sering berlaku,” katanya ketika turun padang meninjau keadaan jalan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, Kerajaan Negeri tidak terlibat dari segi kerja naik taraf jalan berkenaan kerana dimaklumkan ia berada bawah penyeliaan Kerajaan Persekutuan.

“Kita juga telah dimaklumkan bahawa permohonan telah dibuat Jabatan Kerja Raya Daerah melalui Jabatan Kerja Raya Kedah memohon peruntukan Kerajaan Persekutuan pada 2013 dan permohonan kedua dibuat April lalu.

“Kita berharap ia dapat diluluskan dalam tempoh terdekat sebagai memberi kemudahan akses jalan raya yang selesa kepada penduduk setempat,” ujarnya.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya agar memandu kenderaan atau menunggang dengan berhati-hati ketika melaluinya bagi mengelakkan kemalangan.

Sumber:UMTK