Penglibatan Golongan Belia Dalam PSMCK

20 Belia
ALOR SETAR 20 Ogos – Kerajaan Negeri akan membantu dalam mencari serta mempergiatkan dalam kalangan belia di negeri ini untuk terlibat secara aktif dalam Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, PSMCK bukan asing lagi kepada masyarakat kerana pelbagai aktiviti turut dijalankan serta mendapat sokongan yang begitu baik di kalangan ahli-ahlinya.

“Difahamkan sehingga kini, terdapat lebih dari 1,300 orang telah berdaftar sebagai ahli PSMCK. Ini merupakan satu kejayaan yang besar, khususnya kepada PSMCK yang bergerak aktif di negeri ini.

“Pada bulan Mei 2014, Mesyuarat PSMCK telah dijalankan. Ini bermakna PSMCK sudah berusia 58 tahun. Dalam tempoh yang panjang ini, pelbagai peristiwa dan cabaran yang dilalui oleh persatuan ini,” katanya pada majlis perasmian Forum Alor Setar Dulu-Dulu anjuran PSMCK di Dewan Besar Arkib Cawangan Kedah/Perlis, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kedah sentiasa memberi sokongan yang kuat kepada PSMCK dalam menjayakan apa jua aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Apa yang kita ketahui, Alor Setar terletak dipertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit. Di tempat inilah Sultan Mohd Jiwa membuka satu penempatan baru pada tahun 1735 bagi pusat pentadbiran Negeri Kedah selepas Bukit Pinang.

“Pusat pentadbiran ini merupakan pusat pentadbiran Negeri Kedah kelapan. Mengikut firasat Sultan Mohd Jiwa, tempat inilah yang paling sesuai untuk membangunkan Negeri Kedah. Memang tepat pandangan atau firasat Sultan Mohd Jiwa itu kerana sejak itulah Alor Setar berkembang daripada sebuah pekan kecil menjadi bandar dan kini ia berstatus bandaraya,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, di zaman Sultan Abdul Hamid, pembangunan Alor Setar menjadi bertambah rancak dengan terbinanya beberapa buah sekolah Melayu dan Inggeris, hospital, Masjid Zahir dan bangunan-bangunan Kerajaan.

“Ini adalah ekoran dengan terbinanya Terusan Wan Mohamad Saman yang merupakan kesan pengganda pembangunan ekonomi bagi Alor Setar. Pembangunan ekonomi bertambah rancak dengan kemasukan saudagar Cina dari Pulau Pinang untuk membuka kilang-kilang padi. Salah satunya adalah kilang padi Ban Heng Bee di Jalan Seberang Perak, Alor Setar,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi PSMCK, Dato’ Dr Haji Wan Samsuddin Mohd Yusof dan Pengarah Arkib Negara Cawangan Kedah/Perlis, Encik Shafie Awang.

Sumber : UMTK