Pelancaran Penarawan Jalur Lebar 4G, TMGO

14tm
ALOR SETAR 14 Ogos  – Telekom Malaysia Berhad mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju jalur lebar di negara ini dengan pelancaran penawaran jalur lebar 4Gnya iaitu TMgo.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pelancaran penawaran terbaru ini menggambarkan usaha berterusan Telekom Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada negara.

“Ianya merentasi semua segmen dan lokasi, selari dengan pelan jalur lebar negara untuk membawakan jalur lebar berkelajuan tinggi, jalur lebar pinggir bandar dan jalur lebar untuk masyarakat umum kepada semua rakyat Malaysia.

“Perkhidmatan TMgo yang kini boleh didapati di peringkat awal di 17 lokasi sekitar Kota Setar dan Pendang bakal menghubungkan masyarakat di kawasan yang kurang menerima perkhidmatan dengan sambungan jalur lebar berkelajuan tinggi,” katanya pada majlis pelancaran penawaran jalur lebar 4G di Pejabat Telekom Malaysia Wilayah Utara , Jalan Kolam Air, di sini.

Menurutnya, pelancaran TMgo juga merupakan sebahagian daripada perjalanan Telekom Malaysia ke arah penyepaduan sebenar di mana penyediaan penyelesaian mobiliti kepada pelanggan merupakan proses perkembangan semula jadi selari dengan evolusi industri ke arah penyepaduan sebenar.

“Sebagai sebahagian daripada pelancaran produk tersebut, Telekom Malaysia juga telah mengadakan demonstrasi panggilan video antara lokasi pelancaran di Alor Setar dan Pendang menggunakan perkhidmatan TMgo untuk memberi tetamu gambaran mengenai sambungan 4G tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, bagi pelancaran awal produk ini di pasaran, TMgo ditawarkan untuk akses data menerusi pilihan dongle USB dan MiFi prabayar.

“Sebagai harga pengenalan, pakej permulaan TMgo ditawarkan pada harga RM115 untuk Pek SIM dan 4G LTE USB Adaptor dan RM315 untuk Pek SIM dan 4G LTE Mobile Router termasuk kuota data 2GB Percuma, kuota Super Bonus 500MB Percuma selama enam bulan,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila data prabayar telah digunakan sepenuhnya, setiap pelanggan mempunyai kemudahan untuk menambah nilai mengikut keperluan mereka dengan pilihan nilai sebanyak RM10 untuk 1GB, RM30 untuk 3.5GB dan RM50 untuk 6GB dengan tempoh sah selama tujuh hari, 30 hari dan 60 hari beserta data bonus.

Tambahnya, bonus tambah nilai data sebanyak 500MB akan diberikan kepada pelanggan yang menambah nilai sebanyak RM30 dan 1GB untuk tambah nilai sebanyak RM50. Untuk menambah nilai, sila layari: www.tm.com.my/tmgo/mytmgo.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dato’ Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi dan Pengerusi Telekom Malaysia, Dato’ Sri Dr Halim Shafie.

Sumber : UMTK