Masjid Zahir Bakal Diubah Suai Tampung Jemaah Ramai

5masjidzahir
ALOR SETAR 5 Ogos – Masjid Zahir yang cukup terkenal dengan seni bina unik dan sejarahnya bakal melalui proses pengubahsuaian bagi memberi lebih keselesaan kepada jemaah terutama pada waktu solat Jumaat dan musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, perkara itu sudah pun disembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah yang kini menanti perincian mengenainya daripada arkitek terlibat.

“Projek pembesaran masjid ini merupakan antara keutamaan Kerajaan Negeri memandangkan statusnya selaku masjid negeri dan difahamkan ketika ini arkitek bertanggungjawab sedang menyediakan segala butiran untuk dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dalam masa terdekat ini.

“Biar apa pun ubah suai yang dilakukan, kami akan pastikan seni reka bentuk asalnya terpelihara kerana masjid ini mempunyai kisah dan nostalgia tersendiri kepada kerabat diraja Kedah serta rakyat negeri ini keseluruhannya,” katanya.

Difahamkan antara pengubahsuaian yang dilakukan adalah dengan memperbesarkan ruang solat, menambah bilangan tandas dan tempat letak kereta selain mengubahsuai bangunan lama Mahkamah Syariah di belakang masjid menjadi perpustakaan.

Ketika ini, masjid itu yang dibina pada 1912 hanya mampu menampung tidak sampai 3,000 jemaah menyebabkan ramai yang terpaksa bersolat di bahagian luar terutama pada hari Jumaat serta hari-hari kebesaran Islam.

Sementara itu, katanya, bagi menampung keperluan umat Islam di negeri ini yang semakin bertambah, sebuah lagi masjid akan turut dibina di Jalan Suka Menanti.

“Masjid tersebut agak besar dan merupakan sebahagian daripada pakej pembinaan Kompleks Agama Islam serta pejabat mufti. Namun, ketika ini saya masih belum memperoleh perincian mengenainya.

“Semua perancangan ini telah disembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah dan Baginda akan memberi kata putus mengenainya bagi menentukan mana yang baik agar agama Islam terus dimakmurkan di negeri ini,” ujarnya.

Sumber:UMTK