Majlis Ramah Mesra MB Kedah Meriah

6meriah
LANGKAWI 6 Ogos - Maj­lis Ramah Mesra Warga Langkawi bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang diadakan di tepi pantai Jalan Tanjung Rhu di sini semalam berlangsung meriah.

Kira-kira 10,000 penduduk pulau bersejarah itu tidak melepaskan peluang turut sama memeriahkan majlis selain menikmati pelbagai jenis juadah disediakan di lebih lapan buah khemah di situ.

Yang turut hadir ialah isteri Mukhriz, Tok Puan Norzieta Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat.

Mukhriz berkata, maj­lis itu diadakan bagi me­rapatkan lagi hubungan sesama rakyat tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

"Majlis ini dibuat secara sederhana dan didahulukan dengan bacaan tahlil bagi menghormati mangsa-mangsa nahas pesawat (MH17) dan juga kepada rakyat Pa­lestin yang terkorban," katanya ke­tika berucap pada majlis itu.

Beliau pada masa sama juga menyuarakan kesedihan ke atas apa yang berlaku kepada rakyat Palestin.

"Himpunan Bebaskan Gaza bagi memberikan sokongan kepada mereka dan dengan itu marilah bersama tonjolkan persamaan dengan menjaga keamanan dan kedamaian negara kita," ujarnya yang turut menandatangani poster Himpunan Bebaskan Gaza pada majlis itu.

Pada majlis sama, Mukhriz turut sama memberi semangat kepada peserta tarik pukat dalam pertandingan tarik pukat disertai penduduk tempatan Langkawi.

Sumber:Utusan