Kurangkan Wabak Secara Berleluasa

18wabak
ALOR SETAR 18 Ogos – Kesedaran masyarakat amat penting dalam membendung wabak virus kencing tikus dan demam denggi dari terus menular secara berleluasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Kedah, YB. Dato’ Azmi Che Hussain berkata, antara usaha yang boleh dilaksanakan termasuk meningkatkan kempen kesedaran tentang kesan bahaya wabak berkenaan hingga boleh membawa kepada kematian.

“Kita juga turut meminta jasa baik Jabatan Penerangan Kedah untuk kerap kali menghebahkan mengenai pelbagai maklumat berkaitan wabak supaya masyarakat lebih peka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama wakil Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Menurutnya, sehingga Jun 2014 kira-kira 134 pesakit yang disahkan mengidap virus kencing tikus dan tiga daripadanya dari Langkawi, Sik serta Padang Terap dilaporkan meninggal dunia sementara tahun 2013 mencatatkan 11 kes.

“Sikap serta tabiat baik anggota masyarakat mampu mengawal penularan wabak ini apabila sentiasa menjaga kebersihan serta tidak membuang sampah merata-rata ketika berkunjung ke kawasan hutan lipur. Apabila persekitaran kotor, tikus mudah membiak seterusnya turut menyebarkan virus.

“Mereka tidak perlu takut ke kawasan hutan lipur disebabkan kes seperti ini, sebaliknya kena lebih berhati-hati. Kerajaan sudah mengeluarkan banyak perbelanjaan untuk menaiktaraf kawasan riadah dan tanggungjawab menjaga kebersihan terletak di bahu semua pihak,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, perlu ada satu jabatan khusus boleh mengawasi kerja-kerja membasmi tempat pembiakan tikus supaya dapat dibuat secara lebih sistematik. Berbanding sekarang beberapa jabatan seperti kesihatan, perhutanan dan pihak berkuasa tempatan terlibat dalam memantau hutan lipur yang didapati berlaku penyebaran virus kencing tikus.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kuala Muda mencatatkan peningkatan 300 peratus kes demam denggi sehingga bulan Jun 2014 apabila lapan daripada 14 kes dilaporkan berlaku di daerah itu.

Sumber : UMTK