Komitmen Berterusan Perlu Bagi Jayakan Pelan Pendidikan

25sejarah
ALOR SETAR 25 Ogos - Semua warga Kementerian Pendidikan diminta memberi komitmen berterusan bagi menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang merupakan proses penting ke arah peningkatan kualiti pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan berkata, sesuatu proses perubahan ke arah kebaikan sememangnya akan mengambil masa yang lama dan ia merupakan cabaran yang harus dilalui.

"Ada yang tanya kenapa ambil masa hingga 13 tahun untuk sampai ke kedudukan 1/3 teratas, sekarang 1/3 di bawah dan saya sebutkan ini memang cabaran, kalau tanya saya, hasrat saya kalau boleh esok perlu berubah.

"Tapi saya sedar tak mungkin boleh berlaku perubahan kerana proses itu melibatkan banyak perkara, komponen dan aspek.

"Untuk meningkatkan martabat pendidikan, tak boleh berlaku dalam tempoh segera. Mahu atau tidak kena lalui proses ini," katanya ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama warga Jabatan Pendidikan Negeri Kedah di sini.

Beliau berkata, sokongan dan penglibatan semua pihak diperlukan bukan sahaja di peringkat kementerian, malahan di negeri, daerah dan paling utama di peringkat sekolah yang juga perlu menunjukkan komitmen tinggi untuk melaksanakan program serta perancangan.

Menurutnya, komitmen yang dipikul itu merupakan amanah yang termaktub dalam pelan yang harus diterjemahkan dalam bentuk hasil yang akan memberikan perubahan besar daripada segi kualiti kepada pendidikan negara.

"Saya sentiasa mengingatkan pada diri dan rakan-rakan di kementerian, pentingnya pelan itu (agar) dapat difahami dan dihayati atas dasar tangungjawab bersama yang bermula tahun lepas.

"Walaupun dalam tempoh singkat iaitu setahun, kita sudah berjaya sempurnakan beberapa inisiatif dan atas komitmen yang ditunjukkan, kita telah menyediakan laporan tahunan bertulis lengkap, laporan pertama dibentangkan di khalayak iaitu laporan tahun pertama 2013," katanya.

Beliau menjelaskan, setiap warga pendidikan juga perlu bersifat ikhlas dan jujur terhadap diri sendiri kerana di hadapan mereka adalah satu tanggungjawab, demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Tidak ada bangsa akan maju tanpa ilmu dan pendidikan. Komitmen adalah amanah dan tanggungjawab dan kita akan terus bekerjasama dengan ikhlas, jika ada isu atau permasalahan, cari jalan untuk selesaikan," ujarnya.

Sumber : UMTK