Kedah Sudah Cukup Syarat

28syarat
ALOR SETAR 28 Ogos – Negeri Kedah mempunyai cukup syarat untuk muncul sebagai sebuah negeri yang maju dalam bidang pelancongan meliputi pelbagai aspek menjelang Tahun Melawat Kedah 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, khazanah yang ada dari segi sejarah, alam sekitar, kebudayaan dan kesultanan mampu melengkapkan syarat berkenaan untuk meningkatkan bilangan pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, tumpuan utama kini lebih memfokuskan kepada usaha untuk menanam semangat sayangkan negeri ini dalam kalangan rakyat melalui bidang pelancongan.

“Pelaksanaan ini memerlukan penglibatan semua pihak termasuk saya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) Pelancongan, guru sejarah, pegawai kerajaan dan pegawai tadbir Kerajaan Negeri untuk menceritakan kelebihan negeri ini kepada orang luar.

“Kita tidak boleh mengharapkan Kementerian Pelancongan untuk berbuat demikian kerana mereka mempunyai banyak lagi tugas lain dalam mempromosikan tempat pelancongan di negeri lain. Kita sendiri perlu memainkan peranan itu kerana lebih dekat dengan tempat ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, tarikan pelancong lebih kepada ingin mengetahui kisah di sesuatu tempat bukan hanya sekadar melawat lokasi berkenaan semata-mata.

Sumber : UMTK