Kedah Berjaya Mengorak Langkah Berdikari

ALOR SETAR 14 Ogos - Usaha kerajaan negeri mengorak langkah untuk berdikari tanpa terlalu bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan membuahkan hasil termasuk dalam meningkat pelaburan pelbagai bidang penting.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri turut merancang untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur, sumber manusia dan juga industri kecil dan sederhana.

Katanya, dari segi infrastruktur, kerajaan negeri dan agensi Kerajaan Persekutuan telah meningkatkan perbelanjaan untuk menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing datang beroperasi di Kedah.

"Contohnya, perbelanjaan berjumlah hampir RM100 juta untuk pembangunan zon industri fasa ke-4 di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) kini hampir siap.

"Selain itu, usaha kerajaan negeri telah membuahkan hasil apabila nilai pelaburan domestik dan asing pada suku pertama 2014 di Kedah bernilai RM4 bilion. Ini mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan berpendapatan sederhana dan tinggi," katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Mengulas lanjut Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga sedang mengusahakan penubuhan Taman Sains dan Teknologi Kedah dengan meluluskan sebidang tanah seluas 720 hektar di Bukit Kayu Hitam untuk tujuan ini.

"Di sini, penekanan khas diberikan kepada pembangunan industri dan perkhidmatan sokongan mengikut kluster-kluster tertentu. Lokasi strategiknya yang bersempadan dengan Thailand merupakan satu kelebihan yang menarik pelabur.

"Satu lagi inisiatif kerajaan negeri adalah membangunkan bandar sains perubatan Kedah iaitu Kedah Medical Science City, di sebidang tanah seluas 264 hektar di Bandar Baharu. Kluster ini pula mengambil kesempatan ke atas industri elektronik dan elektrikal yang sedia wujud di kawasan sekelilingnya," kata beliau.

Tambah beliau, selaras dengan akujanji kerajaan dalam pilihan raya yang lepas, pembinaan rumah-rumah mampu milik dan kos rendah menjadi tumpuan utama perancangan dan pembangunan kerajaan negeri demi keselesaan rakyat.

"Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri telah mengenal pasti tapak-tapak milik individu atau kerajaan yang bersesuaian untuk membangunkan tidak kurang daripada 6,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah setahun, setiap tahun, sehingga tahun 2018.

"Skim perumahan rumah mampu milik, Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Program Perumahan Rakyat akan terlaksana melalui dasar kerajaan negeri untuk memastikan setiap keluarga memiliki sebuah rumah," katanya.

Katanya lagi, Kedah juga tidak mahu ketinggalan dalam pembangunan melibatkan prasarana dalam sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), seiring dengan tuntutan terhadap kemudahan capaian komunikasi jalur lebar di bandar dan luar bandar.

"Untuk tujuan itu, kerajaan telah membina sebanyak 33 Pusat Internet 1Malaysia, tujuh pusat Jalur Lebar Komuniti, 17 Perpustakaan Jalur Lebar, 253 kampung tanpa wayar dan 290 lokasi Projek WiFi 1Malaysia.

"Walaupun kita akui terdapat sedikit masalah penyelenggaraan di sana sini, tetapi kerajaan negeri sedang mengatasinya," katanya.

Katanya, kerajaan negeri mengambil iktibar daripada kemusnahan harta benda dan hasil pertanian akibat bencana banjir yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini dengan menjadikan projek rancangan tebatan banjir salah satu agenda utama.

Persidangan yang berakhir hampir pukul 12 tengah malam itu ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Sumber : UTUSAN