Helang Merah Mahu Pahat Kejutan

ALOR SETAR 12 Ogos – Selepas hajat bergelar juara Liga Premier musim ini tidak kesampaian, Kedah nampaknya sudah beralih kepada saingan Piala Malaysia.

Diundi dalam Kumpulan B bersama-sama tiga pasukan elit Liga Super – Terengganu, Sarawak dan Perak, situasi itu langsung tidak menghadirkan gerun buat Kedah untuk melakukan kejutan.

Bakal memulakan aksi pertama menentang Perak di Stadium Ipoh, Perak pada 14 Ogos ini, skuad Helang Merah ternyata cukup bersemangat memulakan kempen Piala Malaysia kali ini.

Kebangkitan drastik terutama pada pusingan kedua Liga Premier selepas mendapat sentuhan penolong jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi isyarat bahawa Kedah bulan calang-calang pasukan.

“Atas kertas, ketiga-tiga pasukan iaitu Terengganu, Sarawak dan Perak cukup hebat dan memiliki kelebihan tersendiri kerana beraksi dalam Liga Super, namun ia tidak bermakna kami akan memberi laluan mudah kepada mereka.

“Saingan di peringkat liga dan Piala Malaysia adalah sangat berbeza dan sebagai juara empat kali Piala Malaysia, kami akan berjuang habis-habisan untuk layak ke peringkat seterusnya,” kata penolong pengurus Kedah, Amirul Nizam Mahadzir.

Amirul Nizam memberitahu, Kedah telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi kempen Piala Malaysia termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan seperti Sime Darby, Harimau Muda C dan Selangor.

“Dalam tiga perlawanan terawal sebelum ini, Kedah berjaya mencatatkan dua kemenangan iaitu mengatasi Sime Darby 2-1 dan Harimau Muda C 4-0 serta seri 1-1 dengan Selangor.

“Biarpun hanyalah sekadar perlawanan persahabatan, namun sedikit sebanyak ia berjaya meningkatkan keyakinan para pemain untuk menghadapi pertandingan sebenar nanti,” ujarnya.

Menurutnya, kehadiran semula ayam tambatan, Khyril Muhymeen Zambri yang semakin pulih daripada kecederaan juga dijangka memperkukuhkan barisan serangan Helang Merah yang turut dibarisi Billy Osman Mehmet, Syazwan Zainon dan Faizal Abu Bakar.

“Bahagian tengah juga semakin ampuh dengan sentuhan pemain Korea Selatan, Namkung Woong yang bakal bergandingan dengan Baddrol Bakhtiar,” katanya.

Beliau turut berharap penyokong-penyokong Helang Merah akan terus memberi sokongan padu kepada anak-anak buahnya.

“Peminat adalah kunci kepada kekuatan pasukan. Kami berharap mereka dapat memenuhkan stadium dengan sorakan padu, sekaligus memastikan kemenangan pasukan,” katanya.

Sumber : UMTK