FELCRA Sasar 50,000 Hektar Projek Tanam Semula

27felcra
ALOR SETAR 27 Ogos – Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA) menyasarkan kira-kira 50,000 hektar kawasan terbiar seluruh negara akan diusahakan bagi melaksanakan projek tanam semula getah dan kelapa sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Dato’ Ramlee Abu Bakar berkata, di Kedah sahaja dianggarkan kira-kira 6,000 hektar tanah akan dikenal pasti untuk tujuan itu bagi memulihkan semula tanah terbiar.

Menurutnya, rancangan itu memerlukan kerjasama baik daripada Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti dan meluluskan kawasan bersesuaian bagi projek berkenaan.

“Sehingga kini, kita sudah bangunkan kira-kira 270,000 hektar tanah dengan tanaman sawit, getah dan padi. Program tanam semula ini sentiasa berterusan untuk menampung keperluan tanaman seperti getah yang sudah tua serta tidak mampu mengeluarkan hasil.

“Kita sentiasa memohon mana-mana kawasan berpotensi, namun tidak dibangunkan dan diserahkan kepada FELCRA untuk dimajukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Nazam Lebaran Peringkat FELCRA Berhad Wilayah Utara, di sini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah.
 
Sumber : UMTK