Boikot Produk Dan Barangan Keluaran Israel

14Boikot
SIK 14 Ogos – Rakyat Malaysia diseru untuk terus memboikot produk dan barangan keluaran Israel sebagai tanda sokongan kepada umat Islam di Semenanjung Gaza yang menjadi mangsa tindakan rakus dan kejam tentera Zionis sehingga mengakibatkan kehilangan banyak nyawa, sekaligus merosakkan harta benda.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, walaupun tindakan memboikot berkenaan dilihat kecil bagi sesetengah pihak, namun ia secara tidak langsung dapat membantu melemahkan ekonomi Israel. 

“Adalah mustahil bagi negara kita untuk membantu saudara sesama Islam di Gaza melalui kaedah ketenteraan, namun ia tidak bermakna kita langsung tidak boleh berbuat apa-apa untuk membantu mereka.

“Negara-negara Barat juga ada sebilangannya melancarkan boikot secara rasmi atau tidak rasmi. Justeru, tidak mustahil negara-negara Islam seperti kita juga boleh turut serta melancarkan boikot seperti mereka, sekaligus dapat melemahkan ekonomi Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Jamuan Hari Raya Pekida Negeri Kedah di Padang Awam Sik, di sini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah; Ahli Parlimen Sik, YB. Dr Mansor Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, YB. Mahadzir Abdul Hamid dan Presiden Pekida Malaysia, Jamaluddin Yusof.

Sumber : UMTK