Adakah Bina Lapangan Terbang Di Kulim Relevan?

5relevan
ALOR SETAR 5 Ogos – Menilai secara kasar kapasiti Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang dijangka mencapai tahap maksimum pada 2019, boleh disimpulkan bahawa cadangan dikemukakan Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir ada rasionalnya.

Menteri Besar Kedah dalam kenyataan sebelum ini menganggarkan pembinaan lapangan terbang baru di sempadan Kulim-Sungai Petani melibatkan belanja sebanyak RM1.6 bilion. Manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibina dengan anggaran kos sebanyak RM3.5 bilion.

Ia dirancang beroperasi untuk penumpang dan perniagaan kargo di atas tanah seluas 6,000 hektar dan dijangka dapat menampung jumlah permintaan pengangkutan udara yang semakin meningkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas.

“Lapangan terbang di Pulau Pinang hanya mempunyai satu landasan. Ia tidak boleh ditambah lagi kepada dua, tiga atau empat landasan kerana kawasan itu berdekatan dengan kilang.

“Kawasan di utara sedang pesat membangun. Kalau syarikat menggunakan laluan darat untuk penghantaran barang, ia akan ambil masa lama berbanding pengangkutan udara. Jadi, lebih banyak syarikat akan mendapatkan perkhidmatan untuk kargo nanti,” kata Menteri Besar Kedah menjustifikasikan cadangannya.

Ketika ini, Kedah mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Namun, cadangan masih di peringkat awal walaupun Kerajaan Negeri Kedah telah mengeluarkan surat kepada Kerajaan Pusat.

Sumber:UMTK