Warga KUIN Perlu Tingkatkan Prestasi

1kuin
ALOR SETAR 1 Julai -  Kerajaan Negeri berharap agar warga Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dapat mempertingkatkan prestasi dalam usaha menjadikan KUIN sebagai sebuah institusi pendidikan yang unggul dalam melahirkan graduan yang berilmu serta cemerlang.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, KUIN telah membuktikan kemampuannya melahirkan graduan dalam bidang pengajian Islam dan kontemporari lain dan memainkan peranan penting memenuhi tanggungjawab fardu kifayah kepada umat Islam dengan menyediakan peluang kepada pelajarnya mempelajari ilmu utama dalam Islam seperti pengajian Al-Quran, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin.

“Kelebihan KUIN dalam menawarkan program ini adalah menggunakan tenaga pensyarah dari Asia Barat termasuk dari Universiti Al Azhar, Mesir. Sebahagian besar kuliahnya dijalankan dalam Bahasa Arab dan Inggeris, dua medium pengantaraan yang penting di dunia masa kini.

“KUIN turut menawarkan program pengajian ijazah dalam bidang yang amat diperlukan kini seperti pentadbiran perniagaan, kewangan dan perbankan Islam, perakaunan, kejuruteraan teknologi maklumat dan multimedia. KUIN juga turut menawarkan program pengajian dalam bidang perubatan dan sains kesihatan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Kakitangan dan Pelajar KUIN yang diadakan di Dewan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, KUIN, di sini.

Dari segi akademik dan pengantarabangsaan, ujarnya, taraf universiti penuh penting bagi meningkatkan keupayaan dan kredibiliti sebagai gedung ilmu. Berdasarkan kemudahan fizikal yang dimiliki, jumlah pelajar serta program akademik yang ditawarkan serta dokongan kuat Kerajaan Negeri, hasrat murni KUIN untuk menjadi universiti penuh diharapkan tidak menghadapi banyak masalah.

Beliau selaku Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tetap memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu KUIN. Keutamaan pastinya diberikan kepada soal kebajikan pelajar dan kakitangan.
“Pelaburan sebanyak RM330 juta bagi membangunkan kampus KUIN di Kuala Ketil bukannya kecil, namun Kerajaan Negeri sedar bahawa ia merupakan pelaburan jangka panjang ke arah menjadikan Kedah sebagai hab pendidikan penting di rantau ini.

“Kampus KUIN di Kuala Ketil bakal menjadi mercu tanda dan lambang keilmuan di Daerah Baling khasnya dan di Kedah amnya. Kampus indah yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden ini juga bakal menjadi pusat pelbagai aktiviti keilmuan, sukan, kemasyarakatan dan kerohanian bagi manfaat masyarakat setempat,” katanya.

Sumber:UMTK