Takungan Air Mencukupi

15takungan
PADANG TERAP 15 Julai - Walaupun paras air di Empangan Ahning, di sini, mencatat penurunan sebanyak 12 meter berbanding paras asal 113 meter, ia masih dapat membekalkan keperluan air domestik di Kedah Utara dan Langkawi untuk tempoh empat bulan lagi walaupun musim kemarau.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid berkata, ia berikutan takungan air di empangan itu adalah sebanyak 139 juta meter padu berbanding keperluan air yang dilepaskan setiap hanya satu juta meter padu ke loji air di Pelubang, Padang Sanai dan Bukit Pinang, di sini.

Katanya, keadaan semasa di Empangan Pedu pula menunjukkan paras air semasa 85 meter berbanding paras maksimum 100 meter, namun takungan airnya lebih besar iaitu 435 juta meter padu dan masih lagi mencukupi bagi keperluan pertanian dan domestik untuk masa yang panjang.

“Paras air masih lagi cukup dan tidak berlaku krisis hingga memerlukan bekalan air dicatu dalam masa terdekat. Namun, kita sentiasa memantau kesan Fenomena El Nino yang dijangka berlaku pada September dan Oktober depan.

“Meskipun kita tidak menghadapi masalah bekalan air di tiga empangan utama di negeri ini, persediaan tetap perlu dilakukan supaya bekalan air di Negeri Kedah sentiasa terjamin,” katanya pada sidang media selepas melawat Empangan Ahning, di sini.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Padang Terap berkata, Kerajaan perlu memulakan pembinaan sebuah lagi empangan yang sudah dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di Jeniang bagi memastikan pengurusan bekalan air di Wilayah Utara lebih terjamin.

Katanya, dalam RMK-9, Kerajaan sudah merancang pembinaan Empangan Noaq di Jeniang untuk meringankan bebanan, sekaligus menakung bekalan air bagi Empangan Ahning dan Pedu pada masa depan.

“Kini sudah RMK-10 dan hujung tahun ini, kita akan masuk RMK-11, jadi saya rasa sudah sampai masanya ia dibina kerana pelan binaan serta urusan lain berkaitan semuanya sudah dilaksanakan ketika ini.

“Jika siap nanti, ia akan membolehkan bekalan air kita lebih selamat kerana sekarang keperluan harian juga semakin meningkat walaupun empangan sedia ada masih mampu menampungnya,” katanya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim dan Pegawai Daerah Padang Terap, Tuan A.Rahman Haji Zainol.

Sumber:UMTK