Peruntukan RM40,000 Bagi Setiap 21 DUN Di Kedah

9dun
ALOR SETAR 9 Juali – Sebanyak 21 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah menerima peruntukan sebanyak RM40,000 bagi setiap DUN untuk melaksanakan projek penyelenggaraan jalan perhubungan desa di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, antara DUN yang menerima peruntukan itu ialah DUN Ayer Hitam, Guar Chempedak, Sungai Tiang, Tanjung Dawai, Kuala Nerang, Ayer Hangat, Belantik, Jitra, Bandar Baharu, Gurun, Bayu, Bakar Bata, Kota Siputeh, Bukit Kayu Hitam, Bukit Lada, Kuah, Pedu, Jeneri, Pantai Merdeka, Kupang dan Kulim.

“Peruntukan yang disalurkan itu merupakan peruntukan untuk projek penyelenggaran jalan perhubungan desa bagi tahun 2014 di bawah program one-off  peruntukan belanja mengurus (OE).

“Kriteria yang telah ditetapkan bagi pelaksanaan projek penyelenggaraan jalan perhubungan desa ialah jalan kampung yang tiada dalam senarai sistem rekod maklumat jalan di Malaysia.

“Di samping itu, kita juga turut memberi penekanan terhadap jalan kampung yang tidak menerima sebarang peruntukan selenggara daripada Kerajaan Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Daerah,” katanya pada majlis penyampaian peruntukan sebanyak RM40,000 kepada 21 DUN di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut memberi fokus kepada jalan-jalan kampung yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di bawah pentadbiran Unit Pembangunan Luar Bandar Pejabat-Pejabat Daerah.

Beliau menjelaskan, skop kerja selenggara seperti menampal lubang dan bahu jalan, pemotongan rumput tepi jalan, selenggara sistem saliran tepi jalan, selenggara perabot jalan dan pembentung serta menggantikan pembentung turut diberikan perhatian.

“Keutamaan kepada penyelenggaraan jalan-jalan kampung yang amat diperlukan oleh rakyat diharap mampu memberi faedah kepada lebih ramai pengguna jalan.

“Setiap projek yang dilaksanakan itu hendaklah disediakan papan tanda projek sepertimana yang dikehendaki oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” ujarnya.

Sumber:UMTK