Permit Khas Teksi Guna Van

17permit
BUKIT KAYU HITAM 17 Julai – Kerajaan disarankan mewujudkan permit khas bagi membolehkan pengusaha kereta sewa atau teksi khususnya di kawasan luar bandar bertukar kepada van yang lebih selesa dan besar.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, YB. Dato’ Mohd Johari Baharom berkata, permit itu dilihat perlu diberikan khusus kepada pengusaha teksi di kawasan sempadan negara jiran seperti Bukit Kayu Hitam-Thailand dan Kelantan-Thailand.

“Pemandu van Thailand mampu meraih kira-kira RM17,000 sebulan dengan membawa penumpang keluar masuk dari negara ini ke Thailand dan dari Thailand ke destinasi dalam negara ini secara terbuka,” katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Ambang Ramadan anjuran Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, di sini.

Menurutnya, beliau akan berjumpa dengan pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya mempermudah pinjaman kewangan kepada pengusaha teksi untuk tujuan membeli van baru.

“Ini akan memberi peluang kepada pengusaha teksi tempatan untuk memberi perkhidmatan terbaik berbanding perkhidmatan van dari negara jiran,” katanya yang turut merasmikan Pejabat Persatuan Kereta Sewa dan Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam.

Sementara itu, beliau menjelaskan, Kerajaan juga perlu mengkaji semula Permit Edaran Antarabangsa (ICP) yang disalahguna oleh pengusaha kenderaan persendirian negara jiran itu dengan membawa masuk pelancong asing ke negara ini.

“Pengusaha teksi di negara ini tidak pernah melanggar undang-undang negara jiran itu dan tidak pernah membawa pelancong dari negara ini terus ke destinasi tertentu di negara jiran.

“Saya akan bertemu dengan wakil kenderaan sewa Thailand bagi membincangkan isu ini. Kita mahu kedua-dua pihak iaitu pengusaha teksi tempatan dan Thailand mendapat keuntungan sama adil dengan perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Sumber:UMTK