Penekanan Terhadap Aspek Pembangunan Modal Insan

27insan
ALOR SETAR 27 Julai - Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap aspek pembangunan modal insan dalam  usaha melaksanakan pembangunan fizikal dan ekonomi negara.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada tahun ini telah memantapkan lagi gerakan pembangunan luar bandar yang melibatkan masyarakat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Gerakan yang dimaksudkan adalah Gerakan Daya Wawasan 3.0. Ianya merupakan satu gerakan berterusan dalam usaha mentransformasikan kepimpinan JKKK agar menjadi institusi berwibawa dan mampu berperanan sebagai agen transformasi yang berkesan dalam menggerakkan penglibatan aktif komuniti setempat bagi merealisasikan wawasan desa yang maju, makmur dan sejahtera,” katanya pada majlis perjumpaan dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Menurutnya, tanggungjawab yang paling utama bagi JKKK ialah sebagai penyampai dasar dan hala tuju Kerajaan kepada masyarakat serta menerima maklum balas terhadap perkara-perkara yang melibatkan rakyat seperti masalah, harapan dan cadangan untuk dikemukakan kepada Kerajaan.

“Kerajaan telah pun mengambil beberapa pendekatan dalam transformasi struktur, antaranya dengan meletakkan had umur kelayakan seseorang JKKK di sekitar umur 65 tahun. Turut digalakkan ialah penyertaan 30 peratus golongan belia dalam JKKK.

“Kewajipan menghadiri kursus induksi yang merupakan salah satu tindakan mentransformasikan struktur JKKK. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada JKKK Negeri Kedah yang telah hadir dalam kursus induksi yang merupakan kursus yang wajib bagi Pengerusi dan Setiausaha JKKK,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato’ Abu Bakar Din dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Dato’ Haji Mohd Arpan Shari. 

Sumber:UMTK