KUBANG
PASU 5 Julai - Semua pejabat daerah di Kedah diarah bekerjasama dengan
polis bagi membanteras kegiatan mesin judi haram di negeri ini.
Menteri
Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, laporan diterimanya
mendapati kegiatan haram tersebut memang wujud di beberapa kawasan
seperti Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.
"Namun,
saya diberitahu para pengusahanya amat licik dalam beroperasi
sehinggakan mereka boleh menukar fungsi komputer yang sedang digunakan
untuk berjudi menjadi seperti biasa hanya dengan menekan satu sistem
pada komputer utama.
"Itu
mungkin menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat tangkapan ketika
mereka beroperasi, tetapi saya mahu semua pihak bekerjasama agar
kegiatan itu dapat dibersihkan dari negeri ini," katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Surau Kampung Kuala Jerlun di sini semalam.
Mukhriz
menambah, pihak bertanggungjawab juga tidak sepatutnya bertolak ansur
terhadap mana-mana pihak yang didapati masih terus menjalankan kegiatan
itu walaupun sudah diserbu berkali-kali.
"Sebelum ini saya sudah sebut bahawa pengeluaran lesen sementara untuk pusat-pusat hiburan termasuk kafe siber tidak wujud.
"Jadi
jika ada mana-mana pihak yang masih berselindung dengan mengatakan
beroperasi menggunakan lesen sementara, maka itu terang-terangan
menyalahi undang-undang dan tindakan tegas perlu diambil ke atas
mereka," katanya.
Sumber:Utusan