Kerjasama NCIA Diperlukan - MB Kedah

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
5nciaMukhriz Mahathir

KUBANG PASU 5 Julai - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi menjalankan kajian terperinci berhubung kebolehlaksanaan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim yang mahu dimasukkan sebagai salah satu daripada projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, hasil kajian itu nanti akan diserahkan kepada Kerajaan Pusat menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi memudah cara proses keputusan yang bakal dibuat di peringkat Persekutuan berhubung perkara berkenaan.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan untuk mengusulkan pembinaan lapangan terbang itu baru-baru ini, kerajaan negeri sebenarnya sudah mendapat input daripada Makmal Transformasi Kedah yang berlangsung September tahun lepas yang dianggotai beberapa pihak berwajib seperti Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) serta pemegang taruh lain dalam industri berkenaan.

"Apabila mendapat input berkenaan, kami berasa yakin mengenainya. Bagaimanapun, perlu diakui input yang diperoleh itu tidak menyeluruh menyebabkan saya terfikir untuk mendapatkan kerjasama NCIA.

"Hasrat ini sudah pun saya nyatakan dalam mesyuarat bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang hadir ke Kedah kelmarin di mana hasil kajian itu nanti diyakini dapat membantu banyak pihak terlibat seperti EPU, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membuat keputusan," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa bersama rakyat yang dianjurkan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Bina Darulaman Bhd. (BDB) di Surau Kampung Kuala Jerlun di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam turut menyampaikan sumbangan peribadi berserta barangan keperluan dapur dan wang tunai daripada BDB kepada 340 keluarga miskin, golongan berusia dan ibu tunggal yang tinggal di kawasan berkenaan.

Ditanya bila kerjasama itu akan dijalankan, Mukhriz berkata, perkara itu akan dilaksanakan secepat yang boleh sambil menjangkakan hasil kajian itu akan diperoleh dalam tempoh yang tidak terlalu lama.

Kelmarin, Abdul Wahid mengesahkan kepada media bahawa kerajaan negeri sudah pun mengemukakan fakta serta justifikasi berhubung pembinaan lapangan terbang tersebut yang dicadangkan agar dimasukkan sebagai salah satu daripada Projek Pembangunan RMK-11.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu enggan mengulas lanjut kerana menganggap segalanya masih di peringkat awal dan memerlukan banyak perbincangan dengan pelbagai pihak.

Mengulas kunjungan Abdul Wahid dan EPU ke negeri ini, Mukhriz menyifatkannya sebagai satu sejarah di mana Kerajaan Pusat dilihat mengambil inisiatif untuk mengadakan pendekatan berbincang dan berunding dengan kerajaan negeri kira-kira 18 bulan sebelum rancangan pembangunan Malaysia yang baharu diumumkan.

Sumber:Utusan