Jasa Guru Al-Quran, Bidan Terus Dihargai

2jasaMUKHRIZ Tun Mahathir menyampaikan sumbangan RM200 kepada seorang penduduk tempatan sempena Program Prihatin Sukarela 2014 di Masjid Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - ABD. RAZAK OSMAN

SUNGAI PETANI 2 Julai - Seramai 1,300 guru al-Quran kampung, bidan dan pengurusan jenazah masjid daerah Kuala Muda menerima sumbangan saguhati sempena program Prihatin Sukarela 2014 yang diadakan di sini semalam.

Majlis sumbangan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di Masjid Taman Bandar Baharu Sungai Lalang tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Ahmad Fisol Md. Nor ketika berucap dalam majlis itu berkata, sumbangan tersebut diharap dapat menceriakan golongan berkenaan yang sebelum ini banyak memberi bakti kepada masyarakat tempatan.

"Sebahagian wang yang disumbangkan ini mungkin boleh digunakan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Yang turut hadir di majlis itu, Pengurus Besar YINK, Mohamad Che Nai; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Alwi Othman.

Salah seorang penerima bantuan, Ariffin Salleh, 61, dari Taman Songket berkata, bantuan tersebut sedikit-sebanyak dapat meringankan bebannya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Melalui program begini juga boleh mengeratkan hubungan baik antara petugas pengurusan jenazah di kampung-kampung," katanya.

Seorang guru al-Quran, Azizah Din, 72, dari Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbok pula berkata, pemberian tersebut menunjukkan keprihatinan pihak terbabit dengan tugas guru agama di peringkat kampung selama ini.

"Saya begitu gembira sekali bila menerima wang sebanyak itu di bulan Ramadan, wang itu kita boleh memberi pelbagai barangan keperluan untuk berbuka puasa dan lain-lain," katanya.

Sumber:Utusan