ALOR
SETAR 16 Julai – Kerajaan Negeri merancang menyediakan rumah transit di
dua daerah membabitkan Kota Setar dan Langkawi bagi memberi tempat
perlindungan sementara kepada golongan gelandangan dan pengemis di
negeri ini.
Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan
Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata,
Kerajaan Negeri mencari premis bersesuaian di bandaraya ini dan Langkawi
yang dikenal pasti antara tempat perlindungan sementara kepada golongan
sasar itu.
“Kami
mengakui di bandaraya ini juga wujudnya golongan gelandangan dan kami
memang memerlukan rumah transit ini sebagai tempat tinggal sementara
mereka sebelum mereka boleh hidup berdikari dan mencari kerja.
“Selain
gelandangan dan pengemis, rumah transit ini juga berperanan menempatkan
ibu tunggal dihalau keluar oleh suami apabila diceraikan, selain
remaja bawah umur yang ditahan akibat kesalahan juvana.
“Kami
meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan sekiranya mendapat
premis bersesuaian, kami akan ubah suai seperti asrama,” katanya kepada
pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama anak yatim
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang di Hotel Seri Malaysia, di
sini.
Tambahnya,
kemudahan rumah transit itu akan dilaksanakan secepat mungkin
berdasarkan jumlah golongan sasar yang semakin ramai perlu dibantu di
negeri ini.
“Gelandangan
dan golongan sasar ini akan diberikan tempoh menginap
sekurang-kurangnya dua minggu hingga tiga bulan sebelum mereka dibantu
mencari pekerjaan dan tempat kediaman lebih selesa.
“Kami
juga akan meminta perintah mahkamah supaya tiada mana-mana pihak yang
berniat tidak baik boleh mendekati penghuni rumah transit ini bagi
menjamin keselamatan mereka,” katanya.
Sumber:UMTK