400 Asnaf Terima Sumbangan Aidilfitri

15asnaf
JITRA 15 Julai – Seramai 400 asnaf di negeri ini menerima bantuan Ramadan dan persediaan Hari Raya Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kubang Pasu, di sini.

Majlis penyampaian bantuan tersebut disempurnakan oleh Tunku Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah merangkap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Noh Dahaya berkata, selain sumbangan wang tunai, golongan berkenaan juga menerima barangan keperluan seperti beras, beras pulut, minyak masak dan sebagainya.

“Ini adalah acara tahunan yang dilakukan di setiap daerah di negeri ini dan tahun ini, giliran Kubang Pasu menjadi tuan rumah. Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban golongan berkenaan.

“Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada imam di lima kariah di setiap daerah di negeri ini. Apa yang kita tekankan, umat Islam sememangnya digalakkan bersedekah apatah lagi pada bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penerima, Safiah Abas, 70 tahun berkata, dia bersyukur kerana dipilih oleh pihak Majlis Agama Islam Negeri Kedah untuk menerima sumbangan sempena Ramadan tahun ini.

“Alhamdulillah, sumbangan ini bolehlah makcik buat belanja sikit-sikit untuk hari raya. Makcik sangat berterima kasih kepada Kerajaan dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah di atas sumbangan ini,” katanya.

Berangkat sama ialah Toh Puan Temenggong Kedah, Yang Teramat Mulia Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Seri Tengku Maliha Binti Tengku Ariff.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Sumber:UMTK