Skuad Khas Ditubuh Banteras Mat Rempit Di Kedah

8skuad

SUNGAI PETANI 9 April - Polis Negeri menubuhkan satu lagi skuad khas bagi membantu meningkatkan keberkesanan Op Cantas terutamanya dalam usaha membanteras gejala mat rempit di negeri ini, baru-baru ini.

Ketua Polisnya, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, skuad khas yang dianggotai pegawai dan anggota unit trafik itu akan melakukan operasi dari semasa ke semasa dengan tumpuan kepada kesalahan lalu lintas dan berkaitan kenderaan.

“Sejak kebelakangan ini kita dapati gejala mat rempit bukan sahaja membabitkan kesalahan lalu lintas semata-mata tetapi ia turut menyumbang kepada peningkatan kes jenayah sampingan seperti curi kereta serta motosikal.

“Hal ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu terdiri daripada penganggur dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Apabila mereka terdesak, maka akan terlibat dalam kegiatan mencuri dan secara tidak langsung me­nyumbang kepada peningkatan kes jenayah lain.

“Polis memandang serius perkara ini dan kita akan ambil usaha bersungguh-sungguh untuk membanterasnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepa­da pemberita selepas program derma darah dan lawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207, di sini kelmarin.

Yang hadir bersama ialah Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Zaleha Abdul Rahman; Pemangku Pengarah HSAH, Dr. Nooraini Abd. Rahman dan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin.

Ahmad berkata, buat masa terdekat, unit khas terbabit akan bergerak aktif dengan melancarkan operasi setiap hujung minggu di daerah tumpuan seperti Kulim, Kuala Muda, Kota Setar dan Langkawi.

“Polis juga mempunyai senarai mereka yang dikehendaki kerana terlibat dalam kes-kes jenayah.

Sekiranya mereka ditahan dalam operasi berkenaan, kita akan terus membuat siasatan lanjut dan mendakwa mereka di mahkamah," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 70 pegawai, anggota, ahli keluarga serta pasukan sukarelawan polis menyer­tai acara derma darah semalam.

Beliau berkata, program tersebut merupakan salah satu pendekatan bagi polis untuk turut serta dalam kegiatan bercorak kemasyarakat.

“Polis bukan sahaja terlibat dalam kerja-kerja hakiki iaitu memelihara ketenteraman awam dan keselamatan tetapi turut menjalankan tanggungjawab sosial.

“Langkah ini penting bagi kita mengeratkan lagi kerjasama antara pasukan dengan masyarakat," jelasnya.

Sumber:Utusan