Peranan JKKK Penting Dalam Pembangunan Negara

13jkkk
POKOK SENA 13 April – Pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan mengupayakan masyarakat luar bandar agar seiring dengan semua perubahan dan rancangan Kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, YB. Dato’ Haji Ahmad Lebai Sudin berkata, peranan pemimpin akar umbi termasuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) amat penting sebagai perantara paling efektif antara masyarakat luar bandar dengan Kerajaan.

"Mereka ini seperti 'menteri' juga. Perlu tahu setiap apa yang berlaku dan apa yang dirancang Kerajaan supaya rakyat terutama masyarakat luar bandar tahu dan faham apa yang berlaku.

"Sehubungan itu, mereka harus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutama mengenai dasar-dasar yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan," katanya pada majlis penutup Karnival D’Bendang  yang diadakan di Dataran Bendang Pak Tam Mie,  Kampung Bukit Payong, di sini.

Program itu dianjurkan oleh  Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah.

Menurutnya, perubahan semasa yang berlaku menuntut pemimpin JKKK dan JKKKP meningkatkan kualiti kepimpinan dari semasa ke semasa.

"Maka, amat penting golongan ini tahu strategi dan aspek kepimpinan yang berkesan supaya masyarakat tahu di mana mereka boleh merujuk apabila timbul masalah," katanya.

Sumber:UMTK