Koperasi Berpotensi Beri Sumbangan Buat Negara

8koperasi
KUALA MUDA 8 April –  Kegagalan sesebuah koperasi sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran dan pengurusan atas faktor kesibukan ahli lembaga pengarah dengan tugas rasmi sama ada seorang petani, guru, pegawai kerajaan atau kerja sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, kebanyakan koperasi bermula dengan saiz yang kecil, modal sedikit sehingga membantutkan perniagaan yang dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, fenomena itu hanya berlaku semasa penglibatan awal  koperasi lebih kurang 30 tahun lalu memandangkan ketika itu, tugas mengumpul modal adalah sesuatu yang sukar dilakukan selain kepincangan dalam pentadbiran.

“Mengikut rekod, kebanyakan koperasi hanya beroperasi dengan modal hanya beberapa ribu ringgit sahaja terutama yang berada di kawasan luar bandar,” katanya pada majlis perasmian Program Karnival Mesra Koperasi Bersama Masyarakat di Sungai Pial, Tanjung Dawai, di sini.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia itu turut menerima kehadiran 60 pelajar Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Kebangsaan Malaysia  yang terlibat dalam program Bakti Siswa dari 4 hingga 8 April 2014 di lokasi sama.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, fasa berkenaan telah lama berlalu, namun fenomena sedemikian hampir tidak wujud lagi kini, bahkan ada dalam kalangan koperasi yang baru sahaja ditubuhkan, sudah berjaya mengumpul modal ratusan ribu ringgit.

Dalam perkembangan sama, katanya, jumlah koperasi berdaftar di Daerah Kuala Muda ialah sebanyak 149 buah dengan keanggotaan seramai 53,003 orang. Setakat ini, jumlah syer terkumpul ialah sebanyak RM37 juta dan nilai urus niaga bernilai RM14.8 juta.

“Di Kedah, terdapat 868 koperasi dengan keanggotaan seramai 343,092 orang dan jumlah syer terkumpul sebanyak RM52 juta. Jumlah aset terkumpul pula sebanyak RM496 juta dan nilai urus niaga bernilai RM250 juta dengan perolehan keuntungan sebanyak RM22 juta.

“Kita mahu koperasi turut menyumbang ke arah memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, pemangkin bersama sektor awam dan swasta dalam usaha membangunkan ekonomi serta diiktiraf sebagai sektor ketiga yang berpotensi memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kedah, Fadzir Kamaruddin; wakil Pegawai Daerah Kuala Muda, Elias Shuib dan Pengetua Kolej Tun Hussein Onn, Universiti Kebangsaan Malaysia, Leftenan Kolonel Profesor Madya Dato’ Dr. Samsu Adabi Mamat.

Sumber:UMTK