Kedah Pantau Flet Lama

10flat
KULIM 10 April -  Rumah pangsa lama di seluruh negeri ini terutama yang melebihi 10 tahun, akan dipantau bagi memastikan keadaannya sempurna demi keselesaan penghuni.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim berkata, kebanyakan rumah pangsa di negeri ini berusia antara 20 hingga 30 tahun dengan kebanyakannya mengalami banyak kerosakan.

Selain pemantauan struktur bangunan, katanya, agensi berkenaan akan turut meneliti peralatan dan kelengkapan infrastruktur bagi menyokong kesempurnaan fungsi kediaman berkenaan.

“Kita akan mengambil tindakan sewajarnya menerusi agensi berkaitan dan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) bertanggungjawab, saya akan pastikan rumah pangsa di Kedah dipantau.

“Jika ada masalah dikesan, tindakan segera akan diambil. Contohnya, rumah pangsa di Kelang Lama di sini yang berdepan beberapa masalah seperti kebocoran paip dan sistem kumbahan tersumbat.

“Bagaimanapun, bantuan atau tindakan yang akan diambil bergantung kepada peruntukan kerana ia terhad,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Rakan Taman Rumah Pangsa Kelang Lama, di sini.

Sementara itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menerusi Jabatan Landskap Negara serta Majlis Perbandaran Kulim Kedah dan penduduk Rumah Pangsa Kelang Lama kerana mewujudkan program Rakan Taman.

“Program Rakan Taman berada dalam inisiatif  Strategi Lautan Biru Tujuh. Dua tempat di Kedah dipilih menerusi Strategi Lautan Biru Tujuh iaitu Taman Mergong Jaya di Alor Setar dan Rumah Pangsa Kelang Lama di Kulim dengan taman komuniti dibina Jabatan Landskap Negara untuk memberi suasana lebih ceria di kawasan perumahan terbabit.

“Dengan adanya taman komuniti ini, kawasan yang dahulunya terbiar berubah wajah menjadi tempat riadah untuk penduduk dan saya harap penduduk menjaga kebersihan, peralatan dan kemudahan disediakan, selain memastikan tidak berlaku vandalisme,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, YB. Chua Teong Gee dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Mohd Fuzi Mohaidin.

Sumber:UMTK