Oleh ABD. RAZAK OSMAN
elaunsara
TAJUL Urus Mat Zain menyampaikan bantuan elaun sara hidup nelayan kepada Roziah Ahmad di Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 30 Disember - Seramai 840 nelayan di kawasan Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka masing-masing menerima RM200 bantuan elaun sara hidup di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika berucap dalam majlis penyampaian itu berkata, wang tersebut sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membeli keperluan persekolahan anak-anak.

"Masa depan anak-anak dalam bidang pelajaran perlu diberi keutamaan dan jangan belanja besar dari pendapatan harian," katanya.

Mengenai dakwaan nelayan laut dan sungai tidak menangkap ikan secara serius selepas menerima bantuan, termasuk bot, enjin dan pukat, Tajul Urus berkata, pihaknya akan membuat pemantauan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai, Abdullah Saad berkata, langkah kerajaan menghulurkan bantuan elaun itu berjaya menceriakan setiap penerima kerana pendapatan golongan itu kini terjejas ekoran laut bergelora sejak bulan Oktober lalu.

Menurutnya, pendapatan nelayan hanya akan kembali seperti biasa bermula bulan Februari ini.

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Roziah Ahmad, 53, dari Kampung Teluk gembira dengan keprihatinan kerajaan tersebut.

"Sebagai nelayan sungai sejak 10 tahun lalu, saya sanggup melakukan apa sahaja dalam kerja-kerja menangkap ikan untuk mendapatkan wang.

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kami," katanya.

Sumber: Utusan
tingkatcapaian
Norsabrina Mohd. Noor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah sempena Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia di Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

BANDAR BAHARU 30 Disember - Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan capaian internet dalam kalangan penduduk sehingga ke tahap lebih tinggi berbanding sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara usaha diambil adalah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta untuk memajukan kemudahan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar.

"Penduduk negeri ini kini mempunyai kemahiran menggunakan teknologi maklumat yang tinggi. Hal ini kerana kebanyakan rumah sama ada di bandar mahupun luar bandar mempunyai talian internet tetap dan tanpa wayar serta telefon pintar."

Namun begitu, kita terus berusaha memastikan capaian internet ditingkatkan ke tahap tertinggi. "Bagi kawasan luar bandar khususnya, kerajaan mewujudkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia di Felda Gunung Bongsu, dekat sini baru-baru ini.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, antara perkhidmatan yang disediakan di PI1M adalah capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan WiFi bagi capaian penduduk sekitar.

Tambahnya, PI1M juga menyediakan perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT dan pembangunan modal insan serta aktiviti berkaitan yang dikendali oleh pengurus dan pembantu pengurus.

Sumber: Utusan
opscantas
ALOR SETAR 30 Disember - Polis Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melancarkan Ops Cantas Khas Ah Long dalam usaha membanteras kegiatan sindiket pinjaman wang haram atau Along dan menghapuskan iklan pinjaman wang haram.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Deputi Superintendan Harison Othman berkata, dalam operasi tersebut pihaknya menurunkan semua iklan haram tersebut yang diletakkan di tempat awam.

Bagi tempoh Januari hingga Disember ini, 10 kertas siasatan telah dibuka dan 19 tangkapan dibuat berkaitan kes ah long manakala pada tahun lepas enam kertas siasatan dibuka dan tujuh suspek ditahan, katanya kepada pemberita dalam operasi menurunkan iklan pinjaman wang haram di Jalan Taman Rakyat di sini hari ini.

Katanya suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM250,000 hingga RM1juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Harison berkata, polis akan mengesan individu atau sindiket menerusi nombor telefon yang dipamerkan dalam iklan tersebut dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti identiti suspek.

Sumber: Bernama
Oleh OPAT RATTANACHOT
biasiswaNorsabrina Mohd. Noor menyampaikan bantuan beg sekolah kepada salah seorang kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Bandar Baharu, Kedah, kelmarin.

BANDAR BAHARU 26 Disember - Kerajaan negeri bersetuju memberikan kelonggaran kepada para penduduk sekitar daerah ini yang lahir di negeri Perak atau Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan pendidikan daripada Lembaga Biasiswa dan Pinjaman Negeri Kedah (LBPNK).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, kelonggaran tersebut diberikan ekoran masalah status taraf anak negeri dalam kalangan penduduk kawasan itu yang dilahirkan di luar Kedah.

Beliau berkata, bagaimanapun mereka yang terlibat dikenakan syarat tambahan iaitu kedua-dua ibu bapa pemohon mesti dilahirkan di Kedah dan mendapat pengesahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu.

"Sebelum ini ramai anak negeri Kedah dilahirkan di Perak atau Pulau Pinang akibat ketiadaan kemudahan bersalin di kawasan Bandar Baharu. Berikutan itu, mereka secara automatik tidak layak mendapat biasiswa negeri Kedah meskipun memperoleh keputusan cemerlang.

"Kerajaan negeri amat memahami masalah ini dan kita bersetuju memberikan kelonggaran kepada mereka terlibat selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan beg sekolah sumbangan Pejabat ADUN Bandar Baharu kepada 90 murid di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Taka di sini semalam.

Norsabrina berkata, dengan kelonggaran itu, beliau berharap pelajar cemerlang di daerah Bandar Baharu akan menggunakan kesempatan terbabit untuk mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.

Tambah beliau, kerajaan negeri dan Pusat turut bekerjasama untuk memastikan pembinaan sebuah hospital di daerah Bandar Baharu disegerakan sekali gus mengatasi masalah status kelahiran dalam kalangan penduduk.

Sumber: Utusan
lukisan
Orang ramai berpeluang melihat keunikan Pameran Lukisan 3D di pusat beli-belah Star Parade, Alor Setar yang akan berlangsung selama dua bulan.

ALOR SETAR 23 Disember - Orang ramai kini berpeluang merakam gambar aksi menarik berlatarbelakang 41 lukisan tiga dimensi (3D) sempena Pameran Lukisan 3D di pusat beli-belah Star Parade dekat sini selama dua bulan bermula Jumaat lalu.

Presiden Kelab Lions Alor Setar (Penganjur), Dr. Cheng Joo An berkata, pameran bergerak pertama di negara ini itu diadakan buat pertama kalinya di bandar raya ini dan dijadualkan ke Pulau Pinang serta Kuala Lumpur pada Februari dan Mac tahun depan.

"Buat masa ini, kita sebagai penganjur mempunyai sebanyak 41 lukisan 3D yang dilukis di atas kanvas oleh 22 pelukis 3D terkemuka dari China.

"Kepelbagaian lukisan ini pasti menarik minat semua golongan usia terutamanya kanak-kanak yang gemar menggayakan aksi tersendiri berlatarbelakangkan lukisan seakan-akan hidup itu," katanya di sini semalam.

Menurut Joo An, pameran diadakan bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000 bagi membiayai  projek Klinik Mata Bergerak yang diperkenalkan kelab berkenaan sejak 2007.

"Projek klinik mata ini adalah bagi membantu murid-murid miskin yang menghadapi masalah mata dengan cara menyumbangkan cermin mata secara percuma," jelasnya.

Tambahnya, orang ramai yang berminat mengunjungi pameran itu boleh ke tingkat 4 pusat beli belah tersebut bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan bayaran sebanyak RM15 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak.

Sumber: Utusan
ROSLINDA HASHIMatasbanjir
ALOR SETAR 22 Disember - Kerajaan negeri komited untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa daerah khususnya Kota Setar dan Kubang Pasu, yang sering berdepan masalah itu setiap kali hujan lebat.

Sehubungan itu, beberapa strategi jangka pendek dan panjang dirangka sejak Jun lalu, bagi menangani masalah berkaitan.

Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrol Hisham Hashim berkata, antara langkah jangka pendek untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di sekitar bandaraya Alor Setar ialah dengan menambah kekerapan pembersihan parit-parit dalaman.

“Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula diberi tanggungjawab menangani masalah penyelenggaraan sistem perparitan itu.
"Kajian menyeluruh dilaksanakan bagi mempertingkat sistem saliran dalam bandaraya,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan dan berharap penduduk setempat bersabar kerana ia mengambil sedikit masa untuk disiapkan.

Badrol Hisham berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan dua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) iaitu di Sungai Kedah/Anak Bukit dan di Sungai Pendang.

“Kedua-dua RTB ini akan mengurangkan tekanan air dari mengalir ke bandaraya Alor Setar, dengan membina lencongan-lencongan baru,” katanya.

Menurutnya, projek RTB Sungai Kedah dilaksana mengikut fasa, di mana fasa satu iaitu mendalamkan Sungai Kubang Rotan telah siap. Manakala fasa kedua, dalam peringkat panggilan tender.

“Bagi fasa ketiga, akan dilakukan dalam tahun 2014 apabila kerja-kerja pengambilan tanah selesai. Bagi RTB Sungai Pendang masih dalam kajian akhir. Kos awal bagi projek RTB ini mencecah RM390 juta,” katanya.

Badrol Hisham berkata, berdasarkan kajian terhadap sistem saliran bandaraya, didapati saliran yang dibina oleh pemaju adalah secara berasingan dan perkara itu akan diperkemaskan dengan mewujudkan satu sistem saliran yang lebih sistematik.

Antara kawasan dikenal pasti berdepan masalah banjir kilat ialah Kampung Batu Tiga (Tandop), Kampung Tok Pasai (Kuala Kedah), Persiaran Sultan Abdul Hamid, Kampung Tanjung Bendahara, Kampung Tanjung Sali, Taman Seri Permai di Jalan Langgar, dan Taman Rakyat Mergong.

Menurutnya, saliran bagi bandaraya Alor Setar akan berakhir di Sungai Kedah yang juga sungai utama untuk mengawal bekalan air bagi kawasan sawah sekitar Kota Setar.

“Sungai Kedah juga berkait dengan air pasang surut di mana pintu kawalan Ampang Jajar perlu  ditutup untuk mengelak kesan kepada tanaman padi termasuk banjir.

"Dua sistem sungai dari dua kawasan tadahan besar akan turut membebankan Sungai Kedah, iaitu Sungai Tanjung Pauh dan Sungai Pendang,” katanya.

Tambahnya, banjir kilat akan berlaku apabila terjadinya pertembungan antara air pasang dari laut, limpahan air dari Tanjung Pauh dan Sungai Pendang.

Sumber: Sinar
Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
manfaatpeti
Ahmad Ibrahim (kiri) menyerahkan Peti Maklumat Polis kepada wakil penduduk Kuala Nerang selepas merasmikan Hari Kesedaran Jenayah Kontinjen Kedah 2013 di Jitra, Kedah, semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR 21 Disember - Penduduk yang mempunyai maklumat tentang jenayah, namun tidak berani untuk melaporkannya, kini boleh berbuat demikian menerusi peti maklumat yang diletakkan di beberapa lokasi tumpuan ramai.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya menyedari ramai enggan berjumpa dengan pegawai polis untuk membuat laporan tentang kegiatan jenayah di kawasan mereka dan keadaan itu menyebabkan maklumat penting tersebut tidak dapat disalurkan dengan pantas kepada pihak berkuasa.

"Jadi, bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat, mereka kini boleh melaporkannya menerusi surat dan memasukkannya ke dalam peti maklumat ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Kesedaran Jenayah Kontinjen Kedah 2013 di pekarangan pusat beli-belah Jitra Mall di sini hari ini.

Beliau memberitahu, buat masa ini, setiap 11 daerah di negeri ini dilengkapi empat peti maklumat yang akan diletakkan di balai polis tertentu dan juga kawasan tumpuan awam termasuk pusat beli-belah.

"Kita akan tambah peti maklumat ini dari semasa ke semasa bagi memudahkan orang ramai menyalurkan maklumat jenayah untuk tindakan segera pihak polis," ujarnya.

Menurut Ahmad, anggota polis akan memeriksa peti maklumat itu sekerap mungkin dan setiap laporan akan ditapis sebelum tindakan diambil dengan kadar segera.

"Ini adalah salah satu kaedah kepada mereka yang mempunyai maklumat jenayah tetapi enggan berjumpa polis. Bagaimanapun saya menggalakkan orang awam datang terus ke balai polis untuk membuat laporan secara terus," kata beliau lagi.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, jenayah yang paling kerap berlaku di negeri ini adalah kecurian motosikal yang mana sebanyak tujuh hingga 10 kes dilaporkan setiap hari.

Sumber: Utusan
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
terbaikrakyat
MUKHRIZ Mahathir (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Maslan sambil diperhatikan Mohd. Puat Mohd. Ali (kanan) dan Abdul Rahman Ibrahim (kiri) di Dewan Wawasan Kubang Pasu, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 20 Disember - Pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) Kedah tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan terhadap satu-satu perkara kerana setiap tindakan yang diambil melibatkan kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pada peringkat awal sejak BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sudah semestinya kepemimpinannya memerlukan sedikit masa untuk meneliti tindakan yang dilakukan sebelum ini dan memahami dengan jelas di sebalik isu berbangkit.

"Tanggungjawab ini memakan masa. Dalam tempoh itu, kadang-kadang kelihatan seolah-olah kerajaan ini tidak membuat keputusan atau tidak boleh hendak memutuskan.

"Sedangkan sebenarnya kerana kita tidak mahu terlalu tergopoh-gapah dalam membuat keputusan begitu penting melibatkan rakyat Kedah, maka pendekatan yang diambil ialah benar-benar menyemak dan memahami apa sebenarnya di sebalik isu, kemudian dibincangkan sesama kita, mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, baru kita putuskan di pihak majlis mesyuarat kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional (Pena) peringkat negeri yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di Dewan Wawasan Jitra, di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Abdul Rahman Ibrahim.

Seminar itu antara lain bertujuan memberi penerangan tentang tiga agenda besar ekonomi negara iaitu Bajet 2014, pemerkasaan ekonomi bumiputera dan kebaikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan memberi fokus kepada beberapa kumpulan sasar seperti kalangan ahli politik dan pemimpin masyarakat, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, kelompok belia serta siswa.

Mukhriz berkata, pentadbirannya mahu mengelakkan daripada berlaku keadaan terpaksa berpatah balik dalam membuat keputusan.

Katanya, keadaan tersebut bukan hanya merugikan masa malah pentadbiran kerajaan negeri akan dilihat sebagai tidak cekap.

"Yakinlah kerajaan BN adalah berhemah, berwibawa, penuh berintegriti dan profesional dalam menjaga kepentingan rakyat," katanya.

Sumber: Utusan
pmr
Para pelajar cemerlang PMR SMK Sultanah Bahiyah bersorak gembira apabila mereka berjaya mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 19 Disember - Seramai 2,264 orang daripada 38,005 calon di Kedah berjaya memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran diambil dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Latt berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 0.14 peratus berbanding tahun sebelumnya yang menyaksikan seramai 2,083 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

"Bagi pencapaian keseluruhan calon PMR negeri ini, prestasi didapati meningkat sebanyak 0.08 mata iaitu daripada 2.81 pada PMR 2012 berbanding 2.73 mata pada PMR 2013," katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Mansor berkata, peratus calon yang mendapat pencapaian tahap minima bagi semua mata pelajaran yang diduduki turut meningkat daripada 64.29 peratus pada PMR 2012 kepada 66.78 peratus pada PMR 2013.

"Terdapat 13 buah sekolah yang telah mencapai kelulusan 100 peratus manakala 29 buah sekolah mendapat kelulusan melebihi 90 peratus pada PMR tahun ini.

"Pencapaian calon secara keseluruhan di bandar dan luar bandar pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan prestasi yang baik dalam Gred Purata iaitu 0.02 mata di bandar dan 0.03 mata di luar bandar.

"Jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar pada tahun ini ialah -0.34 mata jika dibandingkan dengan 2012 iaitu sebanyak -0.40 mata," katanya.

Jelas Mansor, pada tahun ini peratus calon yang mendapat pencapaian cemerlang di bandar meningkat sebanyak 1.14 peratus berbanding tahun 2012 manakala calon cemerlang di luar bandar juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.66 peratus tahun ini.

Tambahnya, gred purata negeri (GPN) juga telah bertambah baik pada tahun ini iaitu 2.73 berbanding 2.81 tahun lalu.

Sumber: Utusan
bangunkan ICT
ALOR SETAR 18 Disember - Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3.8 juta untuk membangunkan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi serta Teknologi Tinggi negeri, Norsabrina Mohd. Noor berkata, peruntukan itu penting kerana pembangunan ICT bagi semua sektor termasuk pertanian, ekonomi, keusahawanan, pelancongan, pembuatan dan kebajikan adalah sebahagian agenda transformasi kerajaan negeri untuk rakyat.

"Kemudahan infrastruktur seperti kawasan liputan telekomunikasi dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dapat dinaik taraf dan dilengkapkan secara berfasa," katanya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, ICT adalah peralatan teknologi untuk kemudahan dalam dunia globalisasi dan penggunaannya dengan matlamat murni bakal membawa manfaat besar kepada pembangunan negeri.

Sumber: Utusan
sukanlasak
MUKHRIZ Mahathir menyampaikan hadiah kepada johan acara kayak berpasangan lelaki terbuka, Mohd.Hanizam Ramli (kiri) dan Mohd Amirudin Shuib (kanan) dalam program Sportec Challenge Peringkat Kebangsaan 2013 di Taman Tema Tasik Darul Aman Jitra, Kedah, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

KUBANG PASU 15 Disember - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir mengajak rakyat negeri ini melihat aktiviti sukan lasak dan rekreasi dalam perspektif yang lebih luas untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Beliau berkata, ini kerana kegiatan tersebut bukan semata-mata sukan untuk kesihatan tetapi berkaitan dengan pembangunan jati diri, pendidikan, ekonomi dan sosial.

"Aktiviti-aktiviti sebegini bukan sahaja boleh mengisi masa lapang, malah dijadikan medium untuk anak muda menjauhi gejala-gejala sosial yang banyak mengancam kehidupan bermasyarakat pada hari ini," katanya ketika merasmikan program Sportec Challenge Peringkat Kebangsaan 2013 di Taman Tema Tasik Darul Aman Jitra, di sini semalam.

Mukhriz berkata, penglibatan belia dalam aktiviti lasak juga berupaya meningkatkan semangat juang dan daya saing, seterusnya mampu mempersiapkan diri dalam pelbagai bidang diceburi sesuai dengan taraf mereka sebagai tunjang pembangunan negeri dan negara amnya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka dengan keperluan rakyat dalam aktiviti sukan lasak dan rekreasi kerana sedar ini mampu menjadi jambatan yang menghubungkan semua dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun kecenderungan politik.

"Maka dengan itu, saya sebagai Menteri Besar akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kemudahan sukan dan rekreasi di negeri ini.

"Apa yang penting ialah kemudahan sukan rekreasi yang disediakan oleh perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat," katanya.

Justeru, beliau berkata, meskipun sibuk dengan urusan dan tugas harian, rakyat negeri ini sewajarnya tidak lupa untuk meluangkan masa dalam aktiviti yang sihat seperti bersukan, rekreasi, berpersatuan dan sebagainya.

Sumber: Utusan
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
KIPA
HAZRITA Mohd. Hatta (kanan) memberi penerangan mengenai tempat-tempat menarik dalam negeri Kedah kepada sebahagian jurugambar dari Singapura yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan Anugerah Fotografi Antarabangsa Kedah di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 15 Disember - Anugerah Fotografi Antarabangsa Kedah (KIPA) yang berlangsung sejak Julai lalu menarik minat lebih 2,900 penyertaan jurugambar tempatan dan luar negara dalam usaha menyemarakkan industri pelancongan negeri ini.

Menurut Pengarah Penajaan KIPA, Hazrita Mohd. Hatta, pertandingan fotografi itu turut menerima penyertaan kira-kira 40 jurugambar profesional dari Singapura, Thailand, India dan Asia Barat.

"KIPA bukan pertandingan biasa yang sekadar memaparkan lokasi menarik tetapi landasan untuk menjadikan negeri ini destinasi utama pelancongan yang harus dilawati terutama oleh pelancong luar.

"Ini adalah peluang untuk semua peminat fotografi memaparkan keindahan Kedah bagi tontonan dunia dan apa yang penting satu pameran fotografi turut diadakan pada awal tahun depan bagi mempamerkan gambar yang meraih anugerah dan daripada peserta terpilih," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, sempena anugerah tersebut, KIPA menerima kunjungan daripada sekumpulan jurugambar profesional dari Singapura yang mengambil kesempatan bercuti di negeri ini selama dua hari tiga malam untuk merakamkan gambar yang menarik.

Jelas Hazrita, KIFA menawarkan hadiah bernilai lebih RM50,000 termasuk sebuah motosikal, tiket penerbangan, wang tunai dan sebagainya.

"Pertandingan ini terbahagi kepada lima kategori iaitu profesional (kompetitif), profesional (bukan kompetitif), amatur/pelajar, lomo/kamera polaroid dan telefon pintar," katanya.

Tambah beliau, tarikh tutup penyertaan 31 Disember ini dan mereka yang berminat untuk menyertainya boleh layari laman sesawang www.kipa.my.

Sumber: Utusan
khatanperdana
OSMAN Md. Aji (depan, dua dari kanan) dibantu anggota bomba menyiram air kepada kanak-kanak dalam Program Khatan Perdana 2013 di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan, Bandar Baharu, Kedah, kelmarin.

BANDAR BAHARU 15 Disember - Seramai 62 murid sekolah di sini menyertai Program Khatan Perdana 2013 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bandar Baharu, di sini semalam.

Program anjuran UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua UMNO bahagiannya, Datuk Osman Md. Aji.

Ia dimulakan dengan membawa murid-murid itu menaiki tiga kenderaaan Hilux mengelilingi pekan Bandar Baharu di sini mulai pukul 8.30 pagi.

Setiausaha program itu, Mohd. Noor Abu Bakar berkata, acara disusun kali ini begitu menarik sekali kerana ibu bapa diberi peluang naik ke atas pentas bagi menyuap pulut kuning ke mulut anak masing-masing.

"Tetamu atas pentas pula kemudian menghulur bunga telur kepada murid-murid itu, keadaan mereka begitu ceria sekali," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Muhar Hussain dan Wakil Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baharu, Mohd. Fauzi Md. Jusoh.

Mohd. Noor berkata, selepas menyuap pulut kuning dan bunga telur itu, Osman turut melakukan acara mandi air pancuran pili bomba kepada murid-murid tersebut.

"Terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kerjasama menjayakan Program Khatan Perdana 2013 kali ini dan selepas ini kanak- kanak ini bakal menjadi orang dewasa pula," katanya.

Sumber: Utusan
mbaspapaniklan
Mat Noh (kanan) turut melancarkan Tabung Bencana Banjir Pantai Timur 2013 di perkarangan Pejabat MBAS, semalam.

ALOR SETAR 13 Disember - Mana-mana papan iklan didapati tidak mempunyai permit, manakala paparan visual yang masih tidak memiliki lesen sehingga 1 Januari 2014 akan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) meminta kedua-kedua jenis pemilik terbabit mengemukakan permohonan lesen mahupun permit berstruktur sebelum 31 Disember 2013.

“Ia berikutan, kami mendapati banyak papan iklan didirikan secara haram tanpa kebenaran pihak MBAS, yang mana dikhuatiri menyebabkan ancaman keselamatan dan membahayakan nyawa penduduk tempatan.

“Jadi, pihak kami menjalankan pemeriksaan semula semua papan iklan yang terdapat di bawah pentadbiran majlis, sekali gus berusaha melakukan pemutihan papan iklan haram,” katanya dalam sidang media di pekarangan Pejabat MBAS, semalam.

Dalam pada itu, Mat Noh berkata, hasil penemuan pemantauan papan iklan dilakukan berkenaan maka pihaknya berjaya menemui 320 papan iklan secara keseluruhan, namun hanya 260 sahaja yang berjaya dikesan pemiliknya.

“Daripada 260 papan iklan ini, didapati 115 papan iklan berlesen tetapi tidak mempunyai permit struktur, 19 papan iklan berpermit struktur namun tidak memiliki lesen paparan visual. Manakala, 80 papan iklan tidak mempunyai lesen struktur mahupun lesen paparan visual,” katanya.

Tidak ketinggalan, katanya, pihak MBAS telah mengenal pasti bahawa sebanyak 60 papan iklan bukan hanya tidak dapat dikesan pemilik dan tidak mempunyai lesen paparan visualnya, malah juga tidak memiliki permit struktur.

Katanya, dia berasa kagum disebabkan telah menerima permohonan untuk pengiklanan, malahan banyak papan iklan didirikan di sekitar kawasan bandaraya ini seperti Jalan Gangsa, Jalan Putra, Simpang Hospital lama, Tol Lebuh Raya Utara Selatan.

Mat Noh berkata, sekiranya pihak MBAS mendapati masih ada pemilik yang tidak memiliki lesen mahupun permit seperti ditetapkan mereka sekitar pertengahan Februari depan, tindakan tegas yakni merobohkan papan iklan haram akan diambil.

Sumber: Sinar
Oleh SAFINA RAMLI
mbascukai
MAT Noh Ahmad memotong riben tanda pelancaran kempen cabutan bertuah cukai pintu 2014 di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 12 Disember - Lebih 80,000 pemilik harta di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berpeluang memenangi sebuah Proton Saga SV sekiranya mereka melunaskan cukai pintu 2014 mulai Januari depan.

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, tawaran istimewa itu adalah sempena kempen membayar cukai sedekad MBAS yang dilancarkan hari ini.

Katanya, kempen itu berlangsung selama dua bulan bermula 1 Januari hingga 28 Februari depan dengan cabutan undi bagi mengetahui pemenang dijadual dibuat pada minggu pertama Mac.

"MBAS membuat perubahan drastik bagi menghargai pembayar cukai yang menunaikan tanggungjawab dengan menawarkan hadiah lumayan kepada mereka.

"Pembayar cukai perlu membayar sekaligus cukai tanpa sebarang tunggakan bagi melayakkan mereka menyertai kempen itu," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen itu di sini hari ini.

Menurutnya, sebanyak 62 hadiah bernilai RM50,000 ditawarkan pihaknya kepada pengguna yang menjelaskan kesemua cukai pintu mereka tanpa sebarang tunggakan.

Tambahnya, pembayar cukai dijangka menerima bil mereka bermula 24 Disember ini dan tiada sebarang perubahan pada kadar cukai dengan jumlahnya adalah sama seperti tahun lalu.

"Mereka boleh menjelaskan cukai itu menerusi kaunter MBAS, institusi kewangan, secara dalam talian, cek dan bank draf. Justeru tiada alasan bagi mereka untuk mengelak membayar cukai," katanya.

Mat Noh memberitahu, setakat 31 November lalu pihaknya sudah mengutip RM26.2 juta cukai dan dijangka meningkat menjelang akhir bulan ini.

"Tahun depan kita mensasarkan kutipan cukai sebanyak RM32.5 juta meliputi RM24.7 juta cukai semasa dan RM7.8 juta kutipan tunggakan,'' katanya.

Sumber: Utusan
hasilkajian

ALOR SETAR 11 Disember - Kerajaan Negeri Kedah akan menghantar hasil kajian akademik mengenai tapak warisan sejarah di sekitar Lembah Bujang, Merbok, kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selewat-lewatnya penghujung tahun depan dalam usaha menjadikannya tapak warisan dunia.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kajian secara akademik perlu dijalankan dan dikemukakan kepada UNESCO yang merupakan antara kriteria yang ditetapkan sebelum mewartakan sesuatu kawasan sebagai tapak warisan dunia.

"Setiap tapak di kawasan tersebut perlu kajian yang disertakan dengan data karbon dan data tersebut akan dihantar ke luar negara seperti Eropah atau Amerika Syarikat (AS) untuk kita dapatkan bacaan secara tepat pada kurun ke berapa tapak tersebut dibina.

"Sebab itu kita sasarkan akhir tahun depan untuk sediakan semua hasil kajian akademik ini sebelum diserahkan kepada UNESCO dan sudah tentu kita akan pastikan tidak ada lagi insiden pemusnahan tapak seumpama itu berlaku," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti dan meneliti keluasan kawasan yang bakal dikemukakan kepada UNESCO kerana apabila sesuatu kawasan itu telah diwartakan, sebarang bentuk pembangunan tidak boleh dijalankan di kawasan tersebut.

"Kawasan yang sedang diusahakan kajian sekarang ini cuma empat kilometer (km) persegi dan kemudian kalau kita ambil kawasan di sekitar Lembah Bujang termasuk Gunung Jerai keluasannya menjadi sehingga 250 km persegi.

"Tetapi ada juga yang katakan bahawa tamadun yang wujud antara abad pertama hingga abad ke-17 itu seluas 1,000 km, jadi semakin luas sampai ke Cherok Tok Kun, Pulau Pinang, sebab itu kita kena kaji dahulu dengan mendalam," katanya.

Tambah beliau, monumen candi nombor 11 yang mengundang kontroversi setelah dirobohkan sebuah syarikat pemaju perumahan di Ladang Sungai Batu, Lembah Bujang, baru-baru ini juga akan dibina semula oleh pemaju perumahan tersebut.
"Setelah kita adakan perbincangan dengan pihak pemaju, mereka bersifat terbuka mengenai perkara ini dan bersetuju untuk membina semua candi nombor 11," jelasnya.

Sementara itu, dalam satu majlis berasingan, Mukhriz melepaskan konvoi bekalan air bersih Syarikat Air Darul Aman (SADA) ke Maran, Pahang dan Dungun, Terengganu bagi membantu mangsa banjir mendapatkan bekalan air bersih.

Mukhriz memberitahu, selain enam buah lori bekalan air bersih oleh SADA, dua buah lori treler berisi bantuan makanan berupa beras, makanan dan keperluan lain yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir bernilai RM110,000 juga dihantar ke Terengganu dan Pahang hari ini.

"Bantuan ini menterjemah rasa prihatin kerajaan negeri Kedah kepada mangsa banjir dan mungkin bantuan ini akan dipanjangkan kepada mangsa banjir di Johor pula," katanya.

Sumber: Utusan
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
candibukanibadat
Mukhriz menyaksikan Majlis Menandatangai Perjanjian Persefahaman antara Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia dengan Aimst University.

SUNGAI PETANI 11 Disember - Candi 11 yang menarik perhatian banyak pihak tindakan meroboh oleh pemaju adalah tamadun yang dipercayai bertapak di Lembah Bujang seawal kurun ke-5 hingga 8 Masehi dan bukanlah tempat penyembahan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, candi itu sebaliknya hanyalah binaan yang dibuat semula pada 1974 dan boleh dibina semula di tempat lain.

“Tapak Candi 11 bukan tempat penyembahan atau ibadat semata-mata tetapi lebih kepada tamadun. Pihak berkenaan tidak perlu mendesak sangat dalam isu ini kerana kerajaan negeri juga kecewa walaupun ia kes terpencil.

“Saya tidak anggap isu ini sebagai kecil namun bukanlah gambaran pemusnahan candi yang seharusnya dipulihara,” kata Mukhriz yang menjawab pertanyaan pemberita berikutan desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tapak warisan itu diwartakan segera," katanya  ketika hadir menyaksikan Memorandum Persefahaman antara Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dengan Aimst University di Park Avenue Hotel, semalam.

Katanya, kerajaan negeri sememangnya berhasrat mewartakan semua tapak warisan malah telah beberapa kali berusaha mendapat pengiktirafan Unesco untuk mewartakan Lembah Bujang sebagai tapak warisan antarabangsa.

Mukhriz berkata, beliau akan membuat cadangan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk membangunkan kawasan tamadun yang bersejarah agar menjadi pusat tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.

Katanya, kedudukan candi yang berselerak meliputi kawasan lebih 1,000 hektar wajar dipindahkan dan ditempatkan dalam satu kawasan kerana usaha ini banyak dilaksanakan di tempat lain namun memerlukan dana yang besar.

“Kerajaan negeri tidak mempunyai dana untuk tujuan ini. Kita mempunyai komitmen lain untuk membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, bagi membangunkan ia sebagai satu tarikan pelancongan yang bertaraf antarabangsa, kadang kala ia melibatkan pemindahan bahan binaan tersebut ke satu lokasi yang terlindung.

“Ia banyak dilakukan di tempat-tempat lain dan bukan sesuatu yang pelik dibuat pada masa ini,” katanya.

Mukhriz mengakui, kerajaan negeri berhadapan faktor kekurangan dana memandangkan kerja-kerja ekskavasi selalunya mengambil tempoh masa yang panjang, melibatkan keluasan, berlainan tempat dan sebagainya yang perlu diterokai.

“Ada bukti (bahan artifak) berselindung, kita tak dapat nak korek semua tempat, saya harap ada peralatan yang canggih untuk kita imbas, mungkin menggunakan satelit, untuk kenal pasti di mana tempat-tempat yang potensi dijumpai artifak atau pecahan binaan yang mempunyai nilai sejarah,” katanya.

Dari aspek kepakaran, katanya sudah wujud dalam kalangan pakar tempatan di pihak Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara yang mempunyai kepakaran peringkat dunia, tetapi peralatan dan teknologi itu boleh dapatkan dari luar.

Sumber: Sinar
ikhlas

ALOR SETAR 10 Disember - Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dicadangkan mengikut jejak langkah kerajaan Kedah menghapuskan bayaran lesen penjaja yang majoritinya dimiliki golongan bumiputera. 

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, langkah itu bagi mengurangkan beban penjaja dan menggalakkan lebih ramai golongan bumiputera menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

"Hasil kaji selidik yang dilakukan Ikhlas mendapati kira-kira 80 peratus lesen penjaja dimiliki golongan bumiputera. Kita syorkan negeri di bawah BN lain turut menghapuskannya seperti dilakukan kerajaan Kedah," katanya kepada pemberita pada Pesta Makanan Penjaja 2013 di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir ketika membentangkan Bajet 2014 Kedah pada 18 November lalu mengumumkan bayaran lesen untuk penjaja dihapuskan berkuat kuasa mulai 1 Januari ini.

Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk skim pinjaman mudah usahawan kecil terutama golongan berpendapatan rendah bagi membantu anak muda bertatih dalam perniagaan.

Mohd. Ridzuan berkata, tindakan kerajaan BN Kedah menghapuskan lesen penjaja membuktikan mereka menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 berhubung perkara berkenaan.

Katanya, kerajaan seumpama itulah yang diperlukan rakyat dan meminta peniaga kecil terus memberi sokongan padu kepada kerajaan BN walaupun mereka mungkin menghadapi masalah dengan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, Ikhlas mendapati semasa di bawah pentadbiran pembangkang, banyak peniaga kecil berada dalam keadaan tertekan untuk meneruskan perniagaan kerana kebajikan mereka diabaikan termasuk tiada penyelenggaraan di lot atau premis kedai namun situasi itu berubah di bawah BN.

"Kami mendapati kerajaan BN sudah mula membaiki gerai yang rosak dan berharap kebajikan peniaga kecil terus terbela," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan menyeru pemimpin politik dan kerajaan supaya tidak lagi melayan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana persatuan yang bersikap tidak bertanggungjawab dengan mendakwa kononnya mereka menjaga kebajikan ahli tetapi perkara sebaliknya berlaku.

Katanya, terdapat sesetengah pihak yang mewujudkan persatuan kerana hanya ingin mendapatkan dana daripada kerajaan sedangkan kebajikan ahli mereka terabai.

"Kita ada bukti terdapat persatuan yang menerima dana sehingga RM3 atau RM4 juta dan pengerusi, setiausaha serta bendaharinya pergi makan angin di London," katanya.

Sumber: utusan
glc

LANGKAWI 10 Disember - Syarikat milik kerajaan (GLC) disarankan agar menubuhkan jawatankuasa risiko bagi menilai dan mengurangkan risiko terhadap setiap projek yang dijalankan.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Dr. Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, penubuhan jawatankuasa seumpama itu telah diamalkan oleh syarikat-syarikat swasta di negara ini untuk menjaga kepentingan serta memelihara pemegang saham syarikat tersebut.

"Di dalam sektor kerajaan banyak juga syarikat yang mengendalikan perniagaan, contohnya Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

"Pada pendapat saya, oleh kerana nilai bisnes ini tinggi, ada baiknya diberi pertimbangan terhadap penilaian terhadap risiko sesuatu perniagaan ini. Saya dapati dengan adanya jawatankuasa risiko ini, proses membuat keputusan menjadi mudah dan keduanya, sifat keterbukaan dan ketelusan juga wujud," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama dalam Seminar Tadbir Urus Cemerlang: Cabaran dan Strategi Menuju Negara Maju 2020 anjuran Jabatan Canselori Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Yang turut hadir , Ahli Lembaga Pengarah UUM, Datuk Dr. Afifudin Omar.

Ahmad Sarji yang juga Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, banyak syarikat di negara ini yang menghadapi kegagalan dari segi pelaburan disebabkan kurangnya membuat kajian tentang risiko terhadap sesuatu pelaburan tersebut.

"Sebab itu perlunya diwujudkan jawatankuasa risiko yang merupakan satu amalan baharu syarikat- syarikat swasta di negara ini," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyarankan agar Jabatan Audit Negara menjalankan audit secara mengejut ke atas jabatan-jabatan kerajaan yang menerima peruntukan besar daripada kerajaan.

"Ini perlu untuk mengelakkan daripada terus berlakunya ketirisan dalam menggunakan peruntukan kerajaan.

"Kerja-kerja yang dijalankan oleh konsultan juga perlu dinilai memandangkan banyak projek dijalankan perlu dikaji semula dan semua itu memerlukan pelaburan yang tinggi," jelasnya.

Sumber: Utusan
candi11

ALOR SETAR 3 Disember - Candi 11 di Sungai Batu dalam Lembah Bujang, Merbok yang dimusnahkan adalah struktur batu yang dibina semula pada 1974 di atas tapak asal candi yang dibina antara kurun ke-8 hingga 11 Masehi.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri kesal dengan pemusnahan itu kerana ia dianggap tapak warisan negara yang patut dipelihara.

"Tapak-tapak candi di Lembah Bujang adalah tapak warisan yang tidak digunakan sebagai tempat penyembahan sejak berkurun-kurun lamanya," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini bagi mengulas protes banyak pihak terhadap pemusnahan candi 11 oleh sebuah syarikat pemaju.

Dalam kenyataannya Mukhriz memperjelaskan syarikat terbabit adalah pemilik tanah berkenaan dan mendapat kelulusan memajukannya pada 1993 tetapi pembersihan hanya dilaksana pada Ogos tahun ini apabila ia memusnahkan candi tersebut.

Katanya kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah mengarahkan syarikat berkenaan menghentikan segera pembersihan di tapak candi 11.

"Candi yang sama boleh dibina semula atas tapak asal dengan persetujuan syarikat atau di tapak lain yang berhampiran dengan tapak ekskavasi Universiti Sains Malaysia (USM) di Sungai Batu. Pelan candi 11 akan dirujuk bagi memastikan reka bentuk dan bahan digunakan sama seperti di tapak asal.

"Kerajaan menitikberatkan usaha memelihara semua jenis warisan turun-temurun di negeri ini. Bagi memastikan tapak-tapak warisan di lebih 100 lokasi di Lembah Bujang tidak musnah dimamah zaman akibat pembangunan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersetuju menimbang permohonan kerajaan negeri agar tapak-tapak warisan yang dikenal pasti mempunyai nilai warisan diwartakan," kata Mukhriz.

Beliau berkata kerja-kerja ekskavasi yang dilaksanakan oleh pakar-pakar arkeologi USM akan diteruskan sehingga kawasan Lembah Bujang boleh dibangunkan sebagai tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.

Kajian arkeologi di kawasan Sungai Batu mendedahkan tapak tersebut digunakan sejak kurun ke-5 Masehi hingga kurun 17 Masehi. Tamadun Sungai Batu juga adalah yang tertua berasaskan industri peleburan besi.

Sumber: Bernama
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
cerobohlembah
ALOR SETAR 3 Disember - Kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan secara lisan kepada pemaju berkenaan untuk menghentikan kerja-kerja perobohan kawasan bersejarah di Lembah Bujang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau amat kesal dengan insiden tersebut yang disifatkan berlaku di luar pengetahuannya.

“Sebentar tadi (semalam) saya sudah minta melalui Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain memohon kerjasama pihak pemaju berkenaan untuk menghentikan kerja-kerja tersebut.

“Arahan lisan yang dibuat mendapat kerjasama pihak berkenaan dan mereka telah bersetuju untuk menghentikan kerja-kerja itu buat seketika,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘new seasons ward’ di Kedah Medical Centre (KMC), di sini, semalam.

Mukhriz berkata, beliau akan mendapatkan laporan penuh mengenai perkara itu secepat mungkin sebelum diputuskan tindakan susulan yang bakal dibuat oleh kerajaan negeri.

“Saya akan adakan mesyuarat dan perbincangan mengenai apa yang sedang berlaku di kawasan itu.

Nampaknya kita ada dua pandangan sedikit berbeza. Biarlah saya mendapat semua berita terkini dahulu,” katanya.

Sebelum ini, kebanyakan laman blog melaporkan kawasan bersejarah di Lembah Bujang sedang dimusnahkan oleh pihak tertentu secara rahsia.

Candi Lembah Bujang yang terletak di Sungai Batu itu dipercayai telah dimusnahkan oleh pemaju berkenaan untuk tujuan pembangunan sejak sebulan lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai perasmian ‘new seasons ward’ di tingkat tujuh KMC semalam, Mukhriz yang juga merupakan Pengerusi KMC berkata, wad baru itu telah beroperasi sejak 1 November lalu.

Jelasnya, kelainan wad tersebut adalah berkonsepkan empat musim, iaitu musim bunga, musim luruh, musim sejuk dan panas.

“Dengan pembukaan new seasons ward ini telah menjadikan jumlah katil di KMC adalah sebanyak 137 buah katil.

“Khas untuk wad tingkat tujuh ini, ia beroperasi dengan 28 buah katil. Tujuh buah katil perseorangan termasuk VVIP, 20 buah katil berdua dan satu katil pengasingan,” katanya.

Sumber: Sinar
ROSLINDA HASHIM
tutupmaahadMukhriz beramah mesra dengan kanak-kanak yang menyertai program berkhatan.

JITRA 2 Disember - Kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan drastik dengan menutup operasi maahad tahfiz yang masih berdegil mempergunakan khidmat kanak-kanak untuk mengutip derma.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya enggan berdepan dengan tindakan, semua maahad tahfiz di Kedah yang dikenal pasti terlibat diminta segera menghentikan perbuatan itu.

“Tindakan tegas ini bukan kerana kita mahu menzalimi pusat tahfiz, tetapi fikirkan kebajikan kanak-kanak yang dizalimi itu,” katanya selepas majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Ar-Rahman, Alor Merah, melibatkan 27 kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.

Menurutnya, pihaknya masih menerima laporan berhubung kejadian itu berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

Mukhriz berkata, terdapat juga sebahagian pusat terbabit menghantar pelajar ke seluruh negeri termasuk luar Kedah, bagi tujuan itu dan ini amat mengecewakan.
“Ibu bapa hantar anak mereka untuk timba ilmu, supaya menjadi tahfiz sebaliknya disalah guna untuk kutip derma,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kesal perkara itu masih berleluasa kerana bimbangkan keselamatan pelajar yang berisiko terdedah pada bahaya.

“Kebelakangan ini kita dengar macam-macam cerita penculikan babitkan kanak-kanak, pihak sekolah harus lebih peka,” katanya.

Mukhriz berkata, hasil siasatan yang dijalankan, kutipan dana terbabit tidak disalur untuk kegunaan pengurusan mahupun pengajian sekolah, sebaliknya untuk tujuan lain.

“Mereka bukan sahaja tidak daftar, tetapi tidak mohon kebenaran untuk aktiviti kutipan derma. Malah, sudah beberapa kali diberi amaran namun masih berdegil,” katanya.

Mengulas nasib pelajar sekiranya operasi maahad terlibat dihentikan, kerajaan negeri akan memindahkan pelajar ke tempat lain yang bersesuaian kerana terdapat banyak pusat tahfiz di Kedah yang berdaftar.

Sumber: Sinar
netbook
Abdul Azeez Abdul Rahim (belakang, tengah) bersama sebahagian daripada pelajar yang menerima netbook 1Malaysia di Baling, Kedah, baru-baru ini.

BALING 2 Disember - Seramai 1,070 pelajar daripada keluarga miskin di daerah ini menerima bantuan netbook 1Malaysia yang disampaikan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di sini baru-baru ini.

Abdul Azeez berkata, bantuan itu disalurkan untuk membantu meningkatkan tahap pendidikan golongan pelajar secara menyeluruh tanpa mengambil kira perbezaan fahaman politik.

"Kerajaan adil dalam menyalurkan bantuan termasuk kepada pelajar sekolah sehinggalah ahli keluarga kerana menjadi dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa membantu rakyat sejak dahulu.

"Netbook ini penting kepada pelajar khususnya di kawasan luar bandar yang rata-rata terdiri daripada keluarga susah yang layak mendapat kemudahan itu untuk melaksana tugas mereka sebagai seorang pelajar," katanya dalam Majlis Penyerahan Netbook 1Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan Daerah Baling di sini.

Menurutnya, menerusi bantuan tersebut, matlamat kerajaan supaya setiap rumah mempunyai sebuah komputer akan tercapai selain memberi kemudahan kepada pelajar.

"Kita juga akan memperluaskan kemudahan jalur lebar di kawasan luar bandar bagi memudahkan pelajar menggunakannya kerana banyak lagi kawasan kampung yang masih tidak mempunyai kemudahan itu," katanya.

Menurut Abdul Azeez, kemudahan itu penting bagi membantu pelajar luar bandar meraih pencapaian akademik setanding dengan pelajar di bandar dan sekali gus mampu mengubah hidup mereka pada masa depan.

"Saya akan terus memohon kepada kementerian yang terbabit sekiranya masih lagi ada pelajar daripada kalangan yang tidak bernasib baik masih tercicir menerima bantuan Netbook 1Malaysia," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Nur Qamarrina Rosli, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling yang pernah mengumpul wang untuk membeli netbook kini mampu tersenyum apabila impiannya itu sudah menjadi kenyataan.

"Alhamdulillah, selama ini saya mengidamkan sebuah netbook tetapi tidak mampu membeli kerana keluarga susah tetapi hari ini impian itu sudah tercapai," katanya.

Sumber: Utusan
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
nelayan
KUALA KEDAH 2 Disember - Golongan nelayan diseru menggunakan pelbagai teknologi serta peralatan moden dalam kaedah penangkapan ikan dan pengurusan organisasi termasuk cara pemikiran baharu bagi memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pencapaian kehidupan nelayan tidak harus lagi dilihat pada tahap menggunakan peralatan tradisional seperti serkap, bubu tempang, ran candik dan sempila.

"Pelbagai teknologi boleh diperoleh dengan bantuan khidmat nasihat dan latihan daripada Jabatan Perikanan dan juga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Jabatan itu dan LKIM juga melaksanakan pelbagai program pembangunan bagi memastikan warga nelayan meneruskan usaha-usaha penangkapan ikan dengan lebih giat," katanya dalam Program Tukun Tiruan Negeri Kedah 2013 dan Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Negeri Kedah di Kompleks Perikanan Daerah Kedah Utara, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, Kedah sangat beruntung kerana diberi peruntukan paling besar bagi tujuan pembinaan tukun tiruan yang diharapkan akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat terutama dalam usaha mempertingkatkan hasil pendaratan ikan.

"Berdasarkan rekod, mulai 2000 hingga 2012, Jabatan Perikanan membina dan melabuhkan tukun tiruan di 11 lokasi di perairan Kedah manakala LKIM pula di 33 lokasi dengan kos keseluruhan RM7.37 juta.

"Setahu saya, nelayan di Kuala Kedah juga diberi perhatian khusus oleh kerajaan terutama dalam meningkatkan sumber ikan melalui pembinaan tukun tiruan bernilai RM2.5 juta tahun ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) boleh memainkan peranan penting dalam memupuk, membimbing para nelayan di samping menjadi penghubung dengan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Saya juga berharap pihak swasta dapat menumpukan usaha khidmat sosial korporat mereka untuk membantu kerajaan negeri dalam menggalakkan tahap kesedaran dan pendidikan masyarakat terhadap pemuliharaan alam sekitar terutama pemulihan kawasan habitat pembiakan ikan di kawasan pantai.

"Keupayaan syarikat ini boleh digembleng, termasuklah mengadakan program penanaman pokok akau di perairan pantai dan membina tukun tiruan sebagai sumbangan mereka kepada masyarakat nelayan di negeri ini," katanya.

Mukhriz juga mahu supaya warga nelayan di negeri ini mencontohi sikap nelayan negara maju dalam memulihara sumber perikanan pantai di samping sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Aspirasi kerajaan negeri adalah untuk membangunkan industri eko- pelancongan yang menguntungkan rakyat. Inisiatif tukun tiruan ini juga mampu menggalakkan perkembangan sektor tersebut.

"Apabila sumber perikanan terpelihara dan diuruskan dengan baik, para nelayan berpeluang menambah sumber pendapatan melalui pakej memancing, perkhidmatan sewa bot dan aktiviti riadah lain termasuk kegiatan selam skuba yang menambah nilai ekonomi dan pendapatan," katanya.

Sumber: Utusan