hormatiperlembagaan
SINTOK 30 November - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini melahirkan rasa bimbang dengan tindakan segolongan rakyat yang berani melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan sehingga mencabar keutuhan yang mengancam kedamaian negara.

Baginda bertitah, rakyat harus sentiasa menghormati dan memuliakan undang-undang sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Atas kedudukan beta sebagai ketua negara, beta ingin menarik perhatian semua pihak mengenai tugas dan tanggungjawab mereka dalam menjamin kedamaian dan keamanan negara ini terus terpelihara.

"Kerakusan perasaan yang bertentangan dengan hasrat kedamaian dan keamanan mengikut perundangan hanya membawa padah buruk kepada negara,” titah baginda.

Tuanku Abdul Halim yang merupakan Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) bertitah demikian semasa merasmikan konvokesyen ke-26 UUM di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Baginda bertitah, perkara itu perlu diingatkan kerana golongan tersebut sengaja mencabar Perkara Tiga dalam Bahagian Satu Perlembagaan Persekutuan iaitu hak istimewa selaku Ketua Negara dan Ketua Negeri dan tanggungjawab serta hak istimewa dan prerogatif Ketua Negara.

Sumber: Bernama
Oleh SAFINA RAMLI
kesedarankitarsemulaBadrul Hisham Hashim (kanan) diberi penerangan mengenai lori yang digunakan untuk mengangkat sisa buanga bagi dikitar semula semasa program kitar semula anjuran Enviroment Idaman di Tesco Mergong, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 30 November - Kesedaran rakyat negeri ini terhadap budaya kitar semula barangan seperti plastik, tin aluminium, kertas dan kaca masih berada di tahap rendah.

Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim berkata, mengikut kajian yang dijalankan Enviroment Idaman (Envi) hanya 25 peratus daripada dua juta rakyat negeri ini yang mengitar semula barangan yang digunakan mereka.

Katanya, jumlah itu terlalu rendah jika dibandingkan dengan penduduk di negeri ini dan kerajaan menyasar meningkatkan kadar kitar semula sehingga 50 peratus dalam tempoh lima tahun lagi.

"Pelbagai program telah diambil kerajaan dan Envi sendiri mengatur pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran rakyat untuk mengitar semula barang-barang.

"Kita bermula dengan melancarkan Kempen Kebersihan Kedah (3K) di Taman Wira Mergong pada 16 September lalu dan kempen-kempen sebegini kemudiannya akan diteruskan sepanjang masa," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program kitar semula di Tesco Mergong, di sini hari ini.

Menurut Badrul Hisham, untuk membudayakan serta meningkatkan lagi amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat negeri ini, Envi dan Tesco Mergong mengorak langkah menganjurkan program yang menyasarkan pelanggan-pelanggan Tesco bagi mengurangkan jumlah sisa untuk dilupuskan di tapak pelupusan.

"Pelanggan Tesco kini berpeluang menyertai permainan yang dicipta Envi dengan menukarkan barangan kitar semula kepada pasukan kitar semula Envi yang akan membelinya dengan harga yang menarik.

"Orang ramai juga berpeluang memenangi hadiah menarik seperti televisyen LCD, telefon pintar, hamper dan baucar Tesco dengan menyumbangkan barangan kitar semula yang terbanyak," jelasnya.

Tambahnya, antara barangan yang diterima adalah kertas, botol plastik, tin aluminium, kotak minuman, sisa elektronik dan barangan itu perlu berada dalam keadaan bersih.

"Usaha ini dijangka dapat mengumpul sekurang-kurangnya satu tan barangan kitar semula setiap hari program dijalankan dengan sasaran 2,000 pengunjung," ujarnya.
Jelas beliau, program kutipan barangan kitar semula yang dianjurkan Envi itu akan diadakan setiap Jumaat dan Sabtu bertempat di tempat letak kereta bermula 10 pagi hingga 2 petang.

Sumber: Utusan
6projekair
ALOR SETAR 28 November - Kerajaan negeri Kedah akan melaksanakan enam projek termasuk pembinaan loji air baharu serta menaik taraf loji rawatan air dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah bekalan air di sekitar kawasan Padang Terap, Pokok Sena dan Sik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim berkata, antara projek-projek itu ialah menaik taraf loji rawatan air Kuala Nerang yang bernilai RM12.5 juta, cadangan pemasangan paip agihan dari kolam (S1) Kuala Nerang hingga ke rumah pam Padang Kerasak bernilai RM8.4 juta serta cadangan pembinaan loji air Lubuk Merbau bernilai RM12 juta.

Katanya, tiga lagi projek ialah cadangan pembinaan tangki sedutan dan menaik taraf rumah pam di Kampung Tengah dengan nilai RM500,000, cadangan pembinaan loji air Pokok Sena bernilai RM50 juta dan menaik taraf sistem agihan air ke sempadan Sik (Gulau dan Belantik) bernilai RM16 juta.

"Projek menaik taraf loji rawatan air Kuala Nerang yang bernilai RM12.5 juta sedang rancak dijalankan dan dijangka siap pada Januari tahun depan.

"Projek-projek lain masih menunggu peruntukan daripada kerajaan Pusat dan pihak kami berharap projek ini akan diberi keutamaan memandangkan masalah air di kawasan ini telah lama berlaku," katanya demikian selepas menghadiri taklimat isu air dan kes melibatkan tanah antara penduduk Padang Terap dan Tradewinds Corporation Bhd. (Tradewinds) di Pejabat Tanah dan Daerah Padang Terap di sini semalam.

Sumber: Utusan
khatananakyatim
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menyemburkan air kepada sekumpulan anak-anak yatim sebelum majlis berkhatan anjuran Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di Merbok, Sungai Petani, semalam.

SUNGAI PETANI 26 November - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah Hamidun hari ini berkenan berangkat ke majlis berkhatan melibatkan anak-anak yatim daerah Kuala Muda anjuran Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Sungai Petani, Merbok dekat sini.

Ketibaan Raja Permaisuri pada pukul 11 pagi itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Ahmad Fisol Md. Nor.

Raja Permaisuri kemudian berkenan mengurniakan sumbangan kepada 33 anak yatim dari sekitar daerah Kuala Muda dan menyaksikan keterujaan anak-anak yatim yang lengkap berbaju Melayu mandi air pancuran daripada pili bomba sebelum dikhatankan.

Sementara itu, Tajul Urus dalam ucapannya berkata, beliau menjunjung kasih atas keberangkatan Raja Permaisuri mencemar duli ke majlis tersebut bagi meraikan anak-anak yatim.

"Anak-anak ini sudah hilang kasih sayang daripada ibu bapa. Namun, hari ini, kita berbangga kerana menunaikan tanggungjawab menjaga kebajikan mereka," katanya.

Sumber: Utusan
kedahjelapang
Oleh JAMLIAH ABDULLAH

MUKHRIZ Tun Mahathir bersalaman dengan pengunjung pada Hari Peladang Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah, di Taman Jubli Emas, Suka Menanti Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 26 November - Kerajaan negeri akan berusaha melonjakkan penghasilan sektor pertanian di negeri ini dengan memberi tumpuan bukan sekadar penanaman padi sebaliknya kegiatan pertanian lain demi menjadikan Kedah sebagai Jelapang Makanan Negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, status Kedah sebagai Jelapang Padi Negara merupakan satu kelebihan dan tidak harus dipinggirkan sebaliknya diperkasa dengan mengetengahkan sektor pertanian yang berpotensi bagi menjamin bekalan makanan negara, selain meningkat pendapatan golongan petani.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri merangka dan menyusun hala tuju industri serta kegiatan pertanian yang menjadi antara bahan perbincangan utama dalam Makmal Transformasi Kedah sebelum ini.

"Kita lihat negara maju walaupun hebat dalam bidang teknologi tinggi dan kalau ada bidang pertanian, hasil pertanian di negara itu tetap dipertingkatkan. Perlu ada keseimbangan antara pertanian dan industri," katanya pada majlis perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kedah 2013 di Taman Jubli Emas Jalan Suka Menanti di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Mengulas lanjut, kata Mukhriz, pihaknya yakin dengan potensi sumber manusia dan tanah pamahnya yang terbentang luas lagi subur, iklim yang sesuai dan prasarana yang maju mampu menukilkan kehebatan Kedah sebagai negeri pertanian utama dan maju pada dekad akan datang.

"Saya lihat sektor pertanian yang berasaskan makanan adalah sesuatu yang sangat penting kerana kita terlibat dengan padi dan mahu menjamin bekalan makanan negara. Kalau boleh kita ingin keluarkan makanan yang pelbagai antara lain permintaan untuk makanan yang bersifat organik bagi manfaat kepada masyarakat.

"Ini usaha menggantikan eksport kita terhadap makanan organik. Kita tidak mahu di pasar raya kebanyakan makanan berkhasiat hanya diimport dan mahal, maksudnya orang yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk membeli makanan berkhasiat tinggi," katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi menggapai impian itu, perubahan struktur, budaya kerja serta nilai pemikiran masyarakat pertanian dan agensi di bawahnya perlu dipugar, digegas dan melalui proses baik pulih secara besar-besaran.

"Saya mengharapkan petani, penternak dan nelayan di Kedah lahir antara golongan usahawan berjaya.

Mereka unggul sebagai peniaga bidang pertanian yang mampu mempelbagaikan teras ekonomi dan punca pendapatan termasuk kegiatan agro-pelancongan.

"Biarlah petani, penternak dan nelayan di Kedah menjadi antara konglomerat hebat dan "tuan tanah" yang dihormati masyarakat. Memiliki ladang yang luas, kaedah pertanian sistematik, pekerja pengurusan yang profesional selain keupayaan pemasaran sehingga menembusi pasaran luar negara," katanya.

Sumber: Utusan
NOOR FAIZAL GHAZALI
kedahjepun
Mukhriz (kanan) berbincang dengan Suzuki dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam, baru-baru ini.

ALOR SETAR 24 November - Kerajaan negeri akan menerokai kepakaran dan teknologi tinggi dari Wilayah Mie, Jepun, dalam usaha meningkatkan hasil tanaman padi di negeri ini selain meneroka potensi pelaburan dalam sektor berteknologi tinggi.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sebagai pengeluar padi terbesar di Jepun, kerjasama dan  perkongsian bersama Wilayah Mie sangat relevan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berminat untuk belajar daripada pengalaman Wilayah terbabit dalam menarik minat pelabur dari wilayah-wilayah lain di negara itu.

“Kita berharap untuk membawa teknologi yang mereka ada dengan menarik pelabur dari Wilayah Mie ke Kedah.

“Ini kerana banyak teknologi canggih yang digunakan untuk sektor pertanian padi di sana berkaitan dengan sektor pertanian padi di sini,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Gabenor Wilayah Mie, Eikei Suzuki dan delegasi Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) di kediaman rasmi Menteri Besar, di Seri Mentaloon, di sini, baru-baru ini.

Mukhriz berkata, Kedah juga perlu memanfaatkan hubungan baik dengan Wilayah Mie serta peneraju industri di sana bagi pertimbangan supaya melabur di Kedah.

“Selain menjadi pengeluar padi terbesar di jepun, Wilayah Mie juga berada pada kedudukan keempat sebagai pengeluar automotif terbesar di Jepun.

“Mereka sangat terkenal dalam sektor pembuatan elektronik dan elektrik (E&E) berteknologi tinggi. Antaranya seperti Panasonic dan Toshiba. Kita berminat untuk mengetahui bagaimana mereka mengembangkan pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS), pertukaran budaya dan pelancongan.

“Lawatan ini adalah tepat pada waktunya selepas ekonomi Jepun pulih di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Shinzo Abe.

"Saya adalah peminat beliau di mana beliau seorang pemimpin yang berfikiran di luar kotak. “Jepun sememangnya menjalani banyak perubahan sedang berlaku. Jadi banyak kecenderungan daripada apa yang sedang berlaku di Jepun boleh memberi manfaat Kedah dan negara secara keseluruhannya kerana kita juga menjalani proses transformasi,” katanya.

Sementara itu, Suzuki berkata, rakyat Jepun yang terlibat dalam sektor pertanian pembuatan di kawasan luar bandar turut dapat merasakan pemulihan ekonomi yang berlaku di negara itu.

Sumber: Sinar
NOOR FAIZAL GHAZALI
kajiadat
Kumpulan Nasyid Sekolah Menengah Maahad Tahfiz Sains Alor Setar bergambar dengan Akhil Hayy selepas membuat persembahan bersama. - Foto Sinar Harian oleh NOOR FAIZAL GHAZALI

ALOR SETAR 24 November - Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) diminta meneliti adat yang diamalkan oleh masyarakat agar tidak bertentangan dengan hukum Islam.

Exco Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan, Aminuddin Omar berkata, langkah itu perlu agar mereka tidak terkeliru dan terus mengamalkan adat yang bercanggah dengan agama.

Untuk itu, jabatan agama perlu memberi satu pencerahan mengenai adat yang boleh dipegang atau diamalkan.

"Aktiviti yang berkaitan dengan adat adalah perkara yang dekat dengan agama kerana meliputi cara hidup sesebuah masyarakat.

"Oleh itu, adat yang menjurus kepada menerapan nilai keagamaan dan perpaduan masyarakat perlu diteruskan," katanya selepas merasmikan program Merakyatkan Seni Budaya: Festival Adat 2013 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah dengan kerjasama kariah Majlis Kampung Wang Tepus, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JKKN Kedah, Abdul Mutalib Abdul Rahman dan selebriti Akhil Hayy.

Menurutnya, selama ini masyarakat mengamalkan pelbagai bentuk adat tradisi yang kadang kala dalam bentuk turun temurun tanpa diperhalusi dengan betul.

"Ia akan menjadi masalah jika bercanggah dengan agama kita (Islam)," katanya.

Mengenai program itu, Aminuddin berkata, pihaknya bersama jabatan kerajaan sentiasa menyokong program seumpama ini dalam usaha mempertahankan warisan masyarakat setempat.

"Kita perlu memperkasakan khazanah yang ada dalam masyarakat bagi membentuk perpaduan. Misalnya hari ini kita tonjolkan adat cukur jambul bayi, adat berendoi dan berzanji.

"Jika sesuatu adat itu menyimpang dari syariah Islam, ia memerlukan kata putus atau cadangan Jaik agar masyarakat tidak keliru dengan adat istiadat," katanya.

Sumber: Sinar
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
buburasyura
Badrol Hisham Hashim (dua dari kiri) bersama Suraya Yaacob (empat dari kiri), Badruddin Amiruldin (kanan) dan Pengarah Bahagian Pengiklanan, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Abdul Khani Daud (kiri) mengacau bubur asyura ketika program Karnival Asyura Negeri Kedah 2013 di Menara Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 23 November - Lebih 300 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bergotong-royong menyediakan 41 kawah bubur asyura bagi menyemarakkan sambutan Maal Hijrah 1435 di pekarangan Menara Alor Setar di sini hari ini.

Karnival Asyura Kedah itu dianjurkan oleh Tourism Malaysia Kedah dengan kerjasama kerajaan negeri, Buraqoil, Menara Alor Setar, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).

Persiapan dilakukan seawal pukul 8 pagi oleh para peserta untuk menyediakan bubur asyura dengan pelbagai resipi agensi masing-masing sebelum diedarkan kepada orang ramai yang melintasi jalan utama berhadapan Menara Alor Setar dan mereka berkunjung ke situ selain di hotel-hotel.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob; Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin; Pengarah Tourism Malaysia Kedah, Roslan Othman dan Pengurus Besar Menara Alor Setar, Haslinda Abdul Rashid.

Karnival sehingga pukul 5 petang itu turut dimeriahkan dengan aktiviti lain seperti persembahan The Tariking, persembahan artis, kuiz pelancongan, silat, demonstrasi mengisar beras dan persembahan pancaragam pelajar sekolah.

Badrol Hisham berkata, selain menyemarakkan kedatangan bulan Muharam dan tahun baru kalendar Islam, karnival berkenaan juga mengeratkan ukhuwah sesama jabatan dan NGO di negeri ini serta memperkenalkan menu tersebut kepada para pelancong khususnya dari luar negara.

Katanya, karnival juga adalah sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 untuk mewujudkan kepekaan masyarakat terhadap kempen tersebut seterusnya menjadi program Pelancongan Berasaskan Kemasyarakatan (CBT) sebagai salah satu aktiviti pelancongan di Kedah.

"Ini juga memberi peluang kepada pelancong yang berkunjung ke Kedah untuk turut serta dalam komuniti tersebut bagi menimba pengalaman baharu dan merasai aktiviti masyarakat tempatan.

"Para pelancong gemar pada perkara unik dan bubur asyura merupakan makanan tradisional istimewa yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa. Kemungkinan karnival ini diadakan setiap tahun dan lebih besar lagi pada tahun depan," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan karnival tersebut.

Dalam pada itu, Roslan berkata, Tourism Malaysia Kedah cuba mempromosikan bubur asyura sebagai salah satu produk pelancongan dengan mempelopori penganjuran karnival seumpama itu yang mendapat sambutan menggalakkan daripada 41 agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Katanya, ini secara tidak langsung dapat mengetengahkan bubur asyura utara kepada orang ramai dan pelancong.

"Penyediaan bubur asyura mempunyai pelbagai cita rasa mengikut wilayah seperti di selatan dan timur tanah air. Secara tidak langsung kita mulakan dengan Kedah dan merupakan satu promosi kepada semua," katanya.

Sumber: Utusan
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
haramketum
MUKHRIZ Mahathir (tengah) memotong pokok ketum sebagai gimik pelancaran perasmian program Percambahan Minda: Dadah dan Daun Ketum Pemusnah Senyap Anak Bangsa di Dewan Kodiang, Jerlun, Kedah, semalam. Turut kelihatan Hakimi Hamidon (kiri).

JERLUN 22 November - Kerajaan Kedah akan berbincang dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan ahli-ahli Parlimen dari negeri ini untuk mengusulkan pengharaman penanaman daun ketum dalam usaha menyekat penyalahgunaan bahan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya memandang serius kegiatan menanam pokok ketum yang dilaporkan dilakukan secara berleluasa terutama di kawasan kampung dan pedalaman sehingga menyumbang kepada peningkatan jumlah penagih air ketum di negeri itu.

"Kita akan minta kerajaan supaya memberi perhatian dengan meminda atau mengubah undang-undang sedia ada untuk mengharamkan terus penanaman pokok ketum ini," katanya berucap dalam majlis penutup Program Percambahan Minda: Dadah dan Ketum Pemusnah Senyap Anak Bangsa anjuran AADK Daerah Kubang Pasu di Dewan Pekan Kodiang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif dan Pengarah AADK negeri, Hakimi Hamidon.

Seramai 200 penduduk setempat hadir dalam program itu yang melibatkan pelbagai aktiviti termasuk tayangan video dan dokumentasi penagihan ketum, bicara ilmu dan pameran AADK.

Kata Mukhriz, beliau melihat sendiri pokok-pokok ketum ditanam di bahagian belakang rumah penduduk, walau bagaimanapun tindakan tidak dapat diambil kerana undang-undang sedia ada tidak begitu jelas mengenai penanaman pokok tersebut.

"Kalau ambil daun dan proses, itu baru salah mengikut undang-undang (Akta Racun 1951) dan jika nak bendung masalah ini kena bermula daripada proses penanaman (pengharaman)," ujarnya.

Sementara itu Hakimi memberitahu, AADK akan terus mengadakan program seumpama itu dengan memfokuskan isu penagihan ketum di kawasan-kawasan berisiko termasuk di Jerlun.

"AADK akan mengadakan program-program pencegahan dalam memastikan gejala penagihan air ketum ini dapat dikurangkan seterusnya dibanteras," katanya.

Sumber: BERNAMA
Oleh OPAT RATTANACHOT
korekpasirinas

SUNGAI PETANI 21 November - Kerajaan Negeri mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir di kawasan Bukit Inas, Mukim Bujang, Merbok dekat sini, diberhentikan sementara waktu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang mungkin timbul terhadap penduduk akibat aktiviti tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati projek tersebut telah diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan kemudiannya diserahkan pula kepada kontraktor untuk mengeluarkan pasir.

"Walaupun syarikat ini mempunyai kebenaran untuk mengeluarkan hasil pasir, namun kerajaan negeri memandang serius impak yang berlaku terhadap penduduk.

"Kita telah mengarahkan PKB memberhentikan sementara projek ini sehingga langkah penyelesaian dibuat dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan penduduk terlibat di kampung tersebut, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di Bukit Inas merayu Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda segera menjalankan siasatan berhubung aktiviti mengorek pasir berhampiran kampung mereka yang didakwa dilakukan kira-kira sebulan lalu.

Penduduk mendakwa, aktiviti tersebut memusnahkan pelbagai pokok besar di tanah milik kerajaan untuk dijadikan tempat mengumpul pasir sebelum dikeluarkan bagi pasaran tempatan.

Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, satu perbincangan lanjut akan dijalankan pihaknya dengan PKB dan agensi terlibat seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda pada Ahad ini.

"Kita memandang serius aduan penduduk yang ditimpa masalah akibat kegiatan mengeluarkan pasir itu.

Saya selaku ADUN kawasan terbabit sendiri juga berpandangan kita tidak berniat menghalang kegiatan ini tetapi ia perlu dijalankan secara berhemah dan tidak mendatangkan kesusahan kepada penduduk," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menasihatkan kepada para kontraktor yang terlibat dalam kegiatan mengeluarkan pasir agar memastikan sensiviti penduduk setempat semasa menjalankan kegiatan mereka.

Sumber: Utusan
kedahpadi

ALOR SETAR 20 November - Kerajaan Kedah berhasrat menyumbang sehingga 60 peratus kepada hasil pengeluaran padi negara menjelang 2020 berbanding kira-kira 35 peratus ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, antara projek yang membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi ialah menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan (EPP) 10.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk projek penambahbaikan pengairan dan saliran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Sejak sekian lama kepadatan tali air MADA tidak dapat ditingkatkan dari 18 meter sehektar dan dengan projek ini ia dijangka ditingkatkan kepada 30 meter sehektar.

"Projek ini sekali gus membantu pengeluaran hasil padi dapat ditingkatkan antara lapan hingga 10 metrik tan sehektar," katanya ketika ditemui selepas menggulung usul Bajet 2014 Kedah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Suraya, MADA juga diberi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan jumlah kawasan sawah persendirian dijadikan estet padi pada kadar 5,000 hektar setahun dalam tempoh 10 tahun.

Sehingga kini menurut beliau, sejumlah 15,000 hektar estet padi telah dilaksanakan.

"Kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan semua pihak seperti MADA dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) bagi memastikan keberkesanan dan kecepatan projek termasuk soal pengambilan tanah," ujar beliau.

Dalam pada itu Suraya memberitahu, kerajaan negeri sedang mengkaji semula kenaikan harga minimum padi kepada petani pada kadar yang lebih baik selepas tidak dikaji semula dalam tempoh 15 tahun.

Sumber: Utusan
bangunkansempadan

ALOR SETAR 20 November - Kedah komited untuk membangunkan bandar sempadan yang berjiran dengan Thailand iaitu Kota Putra, Durian Burung dan Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kawasan tersebut dibangunkan di bawah Pelan Perancangan Pembangunan Induk Sempadan melibatkan projek hab perindustrian Rubber City di Kota Putra dan Kota Perdana.

''Di bawah pelan ini kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan sektor swasta bagi pembangunan kedua-dua projek tersebut.

''Perancangan teliti sedang dijalankan supaya pelaksanaan projek tersebut mencapai objektifnya," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 hari ini.

Ahmad Zaini bertanya tentang perancangan kerajaan negeri mengenai pembangunan bandar sempadan di Durian Burung dan Bukit Kayu Hitam.

Menurut Mukhriz, komitmen pembangunan itu direalisasikan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat swasta yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Putrajaya pada 28 Februari lalu.

''Ini merupakan pencapaian yang berkesan dalam meningkatkan keyakinan, komitmen dan usahasama antara pihak berkaitan. MoU itu juga dilihat mampu meningkatkan minat pelabur asing untuk melabur dalam projek pembangunan bandar sempadan tersebut," katanya.

Mukhriz berkata, bagi merealisasikan pembangunan itu, kerajaan menyediakan prasarana di kawasan sempadan termasuk menyiapkan pos kawasan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), klinik kesihatan, kuarters penjawat awam dan menempatkan sebuah Kem Sahara dari Rejimen Artileri Diraja di pintu masuk Kota Putra yang menjadi penghubung dengan Ban Pra-Korb di Thailand.

Katanya, bagi Bukit Kayu Hitam, CIQ sedia ada akan dibangunkan sebagai sebuah kompleks yang lebih baik di bawah konsep Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan Syarikat Northern Gateways Infrastructure Sdn. Bhd.

''Projek dijangka dapat dimulakan pada suku pertama 2014 setelah syarikat memenuhi semua syarat di bawah konsep PPP itu. Projek ini akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan," katanya.

Mukhriz memberitahu di Durian Burung pula kerja-kerja menyediakan tapak projek pembangunan Rubber City di Kota Putra akan dimulakan akhir 2014 atau awal 2015.

''Pembangunan ini akan mengambil masa sehingga 10 tahun untuk dilengkapkan sepenuhnya dengan komponen-komponen pembangunan secara keseluruhan," katanya.

Sumber: Utusan
asramanelayan
ALOR SETAR 20 November - Kehidupan nelayan tidak banyak berubah walaupun mendapat pelbagai bantuan dan kemudahan dari kerajaan kerana pekerjaan itu bergantung kepada sumber ikan di laut.

Ali Yahaya (BN-Pentai Merdeka) berkata, keadaan ekonomi mereka tidak begitu stabil dengan pendapatan yang tidak menentu termasuk bergantung kepada keadaan cuaca sebelum turun ke laut.

Namun begitu, nasib golongan itu boleh diubah dengan memperkasakan tahap pendidikan anak mereka agar berjaya dan mampu menyara kehidupan keluarga masing-masing.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menempatkan anak nelayan yang cemerlang dalam pendidikan di sekolah asrama penuh untuk menjamin masa depan yang lebih cemerlang.

“Kalau ikut sistem meritokrasi, anak nelayan memang tidak layak ke sekolah asrama penuh tetapi mereka perlu diberi kelonggaran.

“Dengan ini, mereka boleh mencapai prestasi yang menggalakkan dalam pendidikan,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2014 di sidang Dun semalam.

Nor Saidi Nayan (BN-Kuah) bangun mencelah dengan mencadangkan agar Kedah mendahului negeri lain menyediakan sekolah asrama penuh untuk anak nelayan dan petani agar nasib keluarga mereka terbela.

“Beri sedikit kelonggaran. Selalunya pelajar dapat 5A baru boleh masuk sekolah asrama. Tetapi kalau mereka dapat 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dah kira layak. Ia sama seperti 5A untuk anak orang biasa.    

“Kalau ada Maktab Rendah Sains Mara khusus untuk anak polis dan tentera, apa salahnya kerajaan negeri melakukan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata langkah itu wajar kena petani dan nelayan banyak berkorban kepada masyarakat dengan menyediakan sumber makanan utama untuk negara,” katanya.

Ali turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kadar pinjaman kereta dan perumahan untuk Adun yang dirasakan agak rendah dan tidak bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Kadar yang diberi sekarang ini adalah begitu rendah dan tidak mencukupi untuk membeli kereta dan “Elaun Adun baru naik. Kalau boleh kerajaan negeri tengoklah pula jumlah pinjaman kereta dan rumah untuk Adun,” katanya.

Menurutnya, sumbangan perayaan RM5,000 setahun kepada Adun juga wajar dikaji semula ia tidak mencukupi untuk kegunaan pelbagai majlis sepanjang tahun.

Sumber: Sinar
isuairnov
ALOR SETAR 19 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah hari ini diberitahu Kedah akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air yang kritikal menjelang 2025 jika hanya bergantung kepada empangan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri Datuk Suraya Yaacob berkata ini kerana Kedah memerlukan bekalan air yang banyak bagi menampung kegunaan orang ramai dan pengairan padi selain air yang perlu disalurkan kepada Pulau Pinang dan Perlis.

Katanya kerajaan negeri sedar pembukaan empangan baharu akan melibatkan keluarga dan tanah petani dan ia sememangnya termasuk dalam pertimbangan kerajaan negeri sebelum empangan baharu dibina.

"Ia melibatkan penggunaan air dan untuk sawah yang merupakan hasil utama negara dan juga negeri.

Dalam pertimbangan ini kita akan mendapatkan titik terbaik. Kajian telah dilakukan, ia (empangan baharu) amat perlu dilakukan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor) di sini.

Phahrolrazi membangkitkan mengenai keperluan mengorbankan tanah untuk dibina empangan baharu iaitu projek "Jeniang Transfer" dengan anggaran kos lebih RM200 juta kerana ia melibatkan kawasan tanah yang luas iaitu melebihi 1,000 hektar.

Ketika ini terdapat empat empangan di Kedah iaitu Empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris.

Suraya berkata dalam soal mengorbankan tanah bagi pembinaan empangan, beliau yakin persetujuan boleh dicapai.

"Air ini untuk pengairan dan penggunaan (orang ramai). Ini belum ambil kira air yang kita hantar ke Pulau Pinang dan Perlis. Kita juga jadi sumber air untuk negeri-negeri terlibat. Ia melibatkan keperluan lebih lima juta orang atau  1,000 keluarga yang terpaksa kita tangani," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Kama Noriah (BN-Pedu), Suraya berkata dalam usaha membangunkan program pertanian padi, kerajaan negeri merancang menjayakan projek-projek pengalihan air dari Sungai Muda ke Sistem Pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), yang melibatkan komponen Empangan Beris, Empangan Naok, Empangan Reman dan "Jeniang Transfer".

"Projek ini amat penting bagi negeri Kedah untuk meningkatkan kemudahan pengairan bagi kawasan Mada. Ia melibatkan keluasan 36,000 hektar dalam kawasan pengairan Mada meliputi Wilayah III Pendang dan Wilayah IV Kota Sarang Semut," katanya.

Beliau berkata projek "Jeniang Transfer" yang melibatkan pembinaan terusan pemindah, terusan penghantar dan Empangan Naok akan dilaksanakan dengan kos berjumlah RM222.3 juta melibatkan keluasan 1,545 hektar.

Sementara itu, Suraya berkata kawasan pertanian khususnya kawasan padi yang diselenggarakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah adalah seluas kira-kira 15,000 hektar yang melibatkan lebih 16,000 keluarga tani manakala lebih 80,000 hektar lagi adalah dalam kawasan Mada.

Sumber: Bernama
Oleh SAFINA RAMLI
empangan
ALOR SETAR 19 November - Projek Jeniang Transfer yang melibatkan pembinaan terusan pemindah, terusan penghantar dan empangan Nauk akan dilaksana bagi mengelak Kedah mengalami masalah kekurangan air yang kritikal melibatkan pesawah dan rakyat negeri ini menjelang 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob berkata, projek itu yang bernilai RM222.3 juta dan melibatkan tanah seluas 1,545 hektar adalah jalan terbaik untuk menyelamatkan negeri ini daripada menghadapi masalah kekurangan bekalan air.

"Memang jika dilihat kita ada banyak air tetapi mengikut kajian sumber air untuk mengairi sawah padi serta untuk bekalan air bagi rakyat Kedah ini tidak akan mencukupi memandangkan Kedah juga merupakan sumber air untuk semua pihak.

"Kita merupakan pembekal air untuk Perlis dan Pulau Pinang, kita kena lihat yang mana penting, bekalan air untuk dua juta rakyat atau kepentingan 1,000 keluarga di kawasan yang akan dibangunkan projek Jeniang Transfer ini.

"Kita telah usahakan kajian kesan penilaian alam sekitar (EIA) dan sekarang menunggu maklum balas daripada Kerajaan Pusat mengenai pampasan yang akan diberikan kepada kira-kira 1,000 keluarga yang terlibat dengan pembinaan projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13.

Dalam pada itu, Suraya ketika ditemui di luar sidang DUN berkata, masalah utama yang dihadapi negeri Kedah ialah ketiadaan kawasan takungan air yang besar jika musim hujan melanda.

"Kita ada empat empangan iaitu empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris tetapi hanya tiga sahaja yang digunakan untuk keperluan rakyat Kedah sepenuhnya.

"Air daripada empangan Beris disalurkan sepenuhnya untuk kegunaan rakyat Pulau Pinang, katalah kita ada hampir dua juta penduduk, 10,000 hektar sawah padi untuk diairi dan kita memang tidak ada jalan lain selain untuk usahakan bina empangan baharu," katanya.

Sumber: Utusan
psmck
ALOR SETAR 19 November - Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) menyambut baik cadangan kerajaan negeri supaya bayaran pajakan RM10,000 yang dikenakan ke atas Pulau Pinang disemak dan dinilai semula mengikut harga semasa.

Pengerusinya, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof berkata, kadar tersebut diguna pakai sejak 1800 melalui perjanjian antara Sultan Kedah ketika itu, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah dan Leftenan Gabenor Pulau Pinang, Sir George Leith Baronet dan tidak pernah disemak atau dinilai selepas itu.

"Tidak salah jika Kedah membuat tuntutan kerana bayaran RM10,000 itu tidak memadai dengan nilai semasa. Daripada segi sejarah Pulau Pinang dan Seberang Perai disifatkan masih hak milik Kedah mengikut perjanjian tersebut.

"Walaupun usaha ini mungkin memakan masa yang panjang, namun harus dimulakan demi masa depan rakyat Kedah dan persatuan akan berusaha membantu sedaya upaya daripada segi menyalurkan bukti-bukti sejarah berkaitan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir supaya nilai pajakan itu dikaji semula ketika membentangkan belanjawan Kedah 2014 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13 di Wisma Darul Aman semalam.

Menurut Wan Shamsuddin, pihaknya sedang merancang pelbagai seminar berkaitan isu tuntutan tersebut termasuk tuntutan supaya Pulau Pinang dan Kedah dikembalikan kepada Kedah untuk menjelaskan secara terperinci perkara berkaitan kepada rakyat.

"Bukti perjanjian tersebut masih berkuat kuasa hingga sekarang yang mana Kerajaan Persekutuan masih membayar royalti RM10,000 setiap tahun kepada Kedah.

"Jadi Kedah boleh membuat tuntutan ke atas Pulau Pinang dan berdasarkan kadar semasa bayaran RM10 juta pun mungkin terlalu kecil kerana bayaran RM10,000 menggunakan kadar asal 10,000 Spanish Crown sejak beratus-ratus tahun dahulu," katanya.

Sumber: Utusan
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
budgetkdh2014
ALOR SETAR 19 November – Kerajaan Kedah mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan awam.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, bonus tersebut akan dibayar pada  Januari 2014 bagi menghargai sumbangan dan kerja kuat penjawat awam negeri Kedah.

“Memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri merupakan teras yang penting untuk mencapai perkara-perkara yang digariskan bawah janji kerajaan negeri. Sejumlah RM239 juga disediakan untuk pembayaran emolumen kepada seluruh penjawat awam termasuk kenaikan gaji dan lain-lain habuan tahunan mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.

“Ini termasuk pengisytiharan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam. Bagi memperlengkap serta memperkasa pentadbiran negeri, sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk pembelian pelbagai aset jabatan bagi memastikan kelangsungan fungsi jabatan dan memperkemas sistem penyampaian untuk memastikan rakyat mendapat faedah yang optimum,” katanya.

Beliau berkata, keselesaan persekitaran tempat bekerja yang kondusif bagi membolehkan penjawat awam menyediakan perkhidmatan yang terbaik juga harus diberi penekanan.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM19.5 juta untuk membina dan menaik taraf pelbagai jabatan kerajaan di seluruh Kedah. Pada masa sama, pembangunan sukan di negeri ini juga tidak diketepikan.

“Kerajaan negeri bercadang untuk menghidupkan semula Majlis Sukan Daerah (MSD). Perkara ini akan dilakukan dengan melibatkan peruntukan RM200,000 kepada setiap daerah,” katanya.

Mukhriz berkata, setiap MSD ini akan dikendalikan oleh Setiausaha Kerja dan emolumen mereka melibatkan peruntukan RM300,000.

“Besar harapan kerajaan untuk melihat anak-anak Kedah berjaya di arena sukan. Bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi impian kita juga untuk melahirkan atlet kita yang unggul di persada dunia,” katanya.

Sumber: Sinar
MOHD IDROS MOHD ALI
budgetkdh2014

ALOR SETAR 18 November - Kerajaan Negeri Kedah menyediakan RM796 ,352,357 sebagai peruntukan untuk Bajet 2014.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Mahathir ketika membentangkannya di  Dun Kedah pagi ini berkata, RM560,729,637 disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan RM235,622,720 bagi perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, di bawah peruntukan mengurus, kerajaan negeri menyediakan RM243,127,123 untuk emolumen, pemberian dan kenaan tetap (RM322,280,105, perkhidmatan dan bekalan (RM130,982,105) dan pembelian aset serta lain-lain perbelanjaan masing-masing sebanyak RM32,252,183.

"Peruntukan ini adalah untuk melaksanakan langkah, program dan pelbagai projek pembangunan untuk memacu transformasi negeri," katanya.

Sumber: Sinar
budgetkdh2014
ALOR SETAR 18 November - Kerajaan Kedah akan memberi perhatian khusus kepada usaha membasmi kemiskinan di negeri ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di Kedah dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat.
 
Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, tema Bajet 2014 yang dibentangkan beliau di Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini, " Bajet Rakyat - Pertumbuhan Mampan, Pengagihan Saksama" adalah untuk mengimbangi antara soal pertumbuhan ekonomi dengan pembahagian hasilnya kepada rakyat negeri ini.
 
"Masih banyak yang agak terpinggir daripada arus pembangunan perdana. Penekanan untuk membasmi kemiskinan diberikan perhatian khusus. Di sini pentingnya kerajaan negeri sama dengan di Persekutuan. Kerjasama kedua-dua pihak banyak meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2014 di Wisma Darul Aman.
 
Katanya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama erat dengan pelbagai kementerian untuk pembangunan perumahan baharu dan baik pulih rumah yang memerlukan bantuan kerana ia juga sebahagian daripada pembasmian kemiskinan.
 
Mengenai kenaikan elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sebanyak RM1,300 sebulan menjadikan jumlah keseluruhannya RM6,961 seperti yang diumumkan dalam pembentangan bajet hari ini, Mukhriz berkata hasil penelitian kerajaan negeri mendapati elaun Adun di Kedah adalah yang terendah diMalaysia.

"Itu memberi gambaran bahawa kerja berat wakil rakyat negeri lebih berat apabila elaun begitu rendah. Untuk ringankan beban sedikit pertambahan sebanyak RM1,300..jadi kini lebih sikit daripada terendah (elaun Adun). Kita kaji sejak bulan Ogos dan berkuat kuasa mulai Disember," kata Mukhriz.
 
Berkenaan tindakan kerajaan negeri tidak memasukkan hasil jualan air mentah daripada sungai di Kedah yang mengalir ke Pulau Pinang dan Perlis seperti dilakukan kerajaan negeri terdahulu, beliau berkata bajet mestilah berdasarkan angka-angka yang benar dan tepat.
 
"Tak boleh letak angka selagi belum dimuktamad, belum bincang dengan pihak terlibat. (Penjualan) air mentah ke Pulau Pinang, kita tak bincang, jadi tak adil letak dalam bajet. Belum tentu dapat," katanya.

Mukhriz berkata, penjualan air itu masih satu isu yang perlu diselesaikan kerana ia melibatkan sumber air tadahan Kedah.
  
"Masih ada pertikaian sumber air. Kita akan teruskan dengan cara lain. Harap-harap tak timbul kekhuatiran di pihak Pulau Pinang," katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri Kedah juga akan membincangkan soal bayaran pajakan Pulau Pinang yang kini RM10,000 setahun, dengan kerajaan Persekutuan.
 
"Kita (Kedah) sebenarnya dah bangkitkan daripada dulu. Saya ingat tiada inisiatif bincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai pajakan Pulau Pinang. Ikut sejarah pajakan adalah 10,000 Spanish Crown, di mana nilainya kini jauh lebih besar.
 
"Sewaktu merdeka 10,000 Spanish Crown ditukar menjadi RM10,000. (Nilai itu) tak ada peningkatan, inflasi dan sebagainya. Yang dipajak adalah sebuah negeri, seluruh pulau dan sebahagian di tanah besar. Saya optimis, kerajaan Persekutuan beri pertimbangan positif," katanya.
 
Mukhriz berkata, banyak sumber pendapatan negeri tidak dikutip dengan serius menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.
 
"Ada situasi, pemohon minta tukar status tanah. Dia telah usahakan tanah itu dan dia ada peruntukan bayar kerajaan negeri tetapi kerana kertas kerja tidak dibuat untuk diluluskan kita tak dapat hasil," katanya.  

Sumber: Bernama
cerdik

ABDUL Aziz Sheikh Fadzir mengucapkan tahniah kepada Nor Hazwani Abdul Rashid setelah mendapat 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2013 di Ladang Buntar, Serdang, Bandar Baharu, Kedah baru-baru ini.

BANDAR BAHARU 18 November - Persatuan Kecemerlangan Pendidikan Negeri Kedah (Cerdik) menyediakan peruntukan khas sebanyak RM100,000 dalam usaha meningkatkan pencapaian murid sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu pada tahun hadapan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, peruntukan tersebut juga sebagai motivasi bagi guru-guru dan murid sekolah yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

"Kita menyediakan peruntukan khas sebanyak RM100,000 bagi memastikan murid-murid di kawasan Kulim Bandar Baharu ini terus meningkatkan usaha dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka.

"Antara langkah yang akan diambil adalah menyediakan insentif kepada murid cemerlang dan menambah baik kemudahan pendidikan di semua sekolah di kawasan ini. Semua ini dilakukan agar murid-murid di luar bandar khususnya tidak terpinggir daripada arus pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi seorang murid tahun enam, Nor Hazwani Abdul Rashid, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Buntar, dekat sini, yang berjaya memperoleh keputusan 5A 2B dalam UPSR baru-baru ini.

Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu melahirkan rasa bangga atas kejayaan Nor Hazwani yang mampu mencatatkan prestasi cemerlang walaupun hanya belajar di sekolah ladang.

"Nor Hazwani bukan sahaja menjadi contoh kepada murid di sekitar daerah ini malah kisah kejayaannya turut mendapat perhatian di seluruh Malaysia melalui hebahan media. Ini sekaligus membuktikan bahawa mereka yang tinggal di luar bandar juga boleh berjaya asalkan ada usaha," katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 kepada keluarga Nor Hazwani dan RM500 lagi daripada Tabung Barisan Nasional (BN) Kulim Bandar Baharu.

Abdul Aziz turut menghulurkan sumbangan RM3,000 kepada SJKT Ladang Buntar untuk tujuan pembangunan pendidikan pada masa akan datang.

Yang hadir bersama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd.Noor; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu; Mazlan Osman dan Guru Besar SJKT Ladang Buntar, S. Malarvili.

Sumber: Utusan
kemahiranberat

Mukhriz Mahathir mengalungkan pingat penghargaan kepada Najeman Cham yang menerima Anugerah Khas Pengerusi KEDA dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej KEDA di Dewan Budi Gemilang, Sik, Kedah baru-baru ini.

SIK 18 November - Persepsi masyarakat mengatakan latihan kemahiran berat dan melecehkan amat membimbangkan berikutan jumlah pelatih kemahiran yang dilahirkan amat sedikit.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kekosongan tenaga mahir sepatutnya diisi oleh rakyat dari negara ini, bukannya oleh orang luar.

"Ramai tenaga mahir dari luar negara bekerja di sini termasuk dalam bidang-bidang tertentu yang sepatutnya diisi oleh warganegara ini.

"Persepsi masyarakat yang mengatakan kerja-kerja kemahiran itu adalah berat dan melecehkan amat dikesalkan. Oleh sebab itulah banyak kerja kosong dalam pasaran kerja pada masa kini," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), di Dewan Budi Gemilang, Pusat Latihan KEDA di sini kelmarin.

Kolej KEDA mula beroperasi pada Mac 1988 sebagai Pusat Latihan KEDA (PUSTIKA) di Perangin di sini sebelum dikenali dengan nama baru iaitu Kolej KEDA.

Menurut Mukhriz, anggapan tersebut perlu dihapuskan dan masyarakat terutama ibu bapa perlu memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak mereka untuk menceburi bidang kemahiran.

Kata Mukhriz, Kolej KEDA menawarkan kursus kemahiran jangka panjang dan sehingga kini seramai 4,224 pelatih telah berjaya dilahirkan menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan SIRIM.

"Di samping itu, Kolej KEDA turut melaksanakan Kursus Kemahiran Jangka Pendek (dua hingga 10 hari) berteraskan kemahiran, pembangunan keusahawan, kepimpinan, minda insan dan teknologi maklumat," ujarnya.

Sementara itu pelatih Teknologi Kimpalan, Najeman Cham, 21 dari Kangar, Perlis yang mendapat Anugerah Khas Pengerusi KEDA merancang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada saya untuk belajar di Kolej KEDA dan seterusnya mendapat anugerah tertinggi ini. Terima kasih juga kepada semua pendidik yang tidak jemu mengajar serta mereka yang terlibat sehingga dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan mempunyai kemahiran dalam pasaran pekerjaan," katanya.

Sumber: Utusan
MADA
ALOR SETAR 18 November - Kerajaan negeri Kedah komited dan memberi tumpuan khusus untuk membasmi kemiskinan di negeri ini menerusi pelbagai pendekatan melibatkan kerjasama semua pihak di sebalik kerancakan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai banyak projek untuk mengangkat masyarakat termiskin, namun masih ramai yang tercicir daripada arus pembangunan perdana.

Beliau berkata, Kedah masih mempunyai 23,000 isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin.

"Atas kesedaran ini, kerajaan negeri akan berusaha dengan segala kudrat yang ada dan dengan iltizam kental untuk membasmi kemiskinan secara langsung dan tidak langsung," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13 di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurut Mukhriz, pendekatan secara langsung dimaksudkan adalah projek-projek perumahan menggunakan pelbagai kaedah dan melibatkan kerajaan Persekutuan, negeri dan swasta.

Pendekatan tidak langsung pula, katanya, melibatkan pembangunan ekonomi setempat yang membuka peluang untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seperti pelaburan asing dan tempatan, pembinaan infrastruktur pemangkin serta pembangunan modal insan.

"Semua ini bertujuan mengupayakan ekonomi golongan termiskin dalam kalangan kita," ujar beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, kesamarataan pemerintahan Pusat dan negeri lebih-lebih lagi kerajaan yang progresif dan mesra ekonomi adalah penting bagi mencapai taraf sebuah negeri maju, aman serta makmur untuk rakyat nikmati.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang akan melaksanakan transformasi pada tahun depan, kerajaan negeri Kedah tentu menyediakan bajet seiring dengan teras ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan di samping memastikannya mencapai matlamat bagi memenuhi janji dibuat.

Menurutnya, contoh bahawa hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri yang rapat boleh menghasilkan kesenangan kepada rakyat ialah dengan pengumuman projek penambahbaikan pengairan dan saliran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selain menerima peruntukan tambahan untuk projek estet padi.

"Yang beruntung nanti ialah para petani kerana hasil pendapatan akan meningkat. Rakyat tentu sekali akan mendapat limpahan nikmat daripada projek sebesar ini," katanya.

Sumber: Utusan
belanjawan2014
Mohamed Mustafa Ishak

ALOR SETAR 17 November - Belanjawan 2014 Kedah yang pertama kali dibentangkan oleh Datuk Mukhriz Tun Mahathir selaku Menteri Besar sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah selama tiga hari bermula esok, diharap dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi negeri ke tahap lebih kukuh.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, belanjawan itu diharap membolehkan kerajaan negeri membuka lebih banyak ruang untuk menarik kehadiran pelabur luar dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah.

Kata beliau, ia juga diharap dapat menggerakkan kembali ekonomi negeri yang sejak kebelakangan ini berada dalam keadaan suram.

"Kita mengharapkan semoga belanjawan kali ini akan merangsang kembali pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang rancak pertumbuhan ekonominya dan pada masa sama dapat mengatasi masalah hutang yang ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohamed Mustafa berkata, selain itu Belanjawan 2014 Kedah diharap dapat memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, prasarana dan bantuan kepada usahawan kecil.

Beliau percaya belanjawan yang bakal dibentangkan itu akan membantu kerajaan negeri memacu ekonomi dan dapat membuka kembali Kedah sebagai sebuah destinasi pelaburan serta pembangunan ekonomi penting di negara ini.

"Saya berharap kerajaan negeri dapat menjana pendapatan yang lebih baik daripada sebelum ini dengan adanya sektor baharu yang diberi penekanan seperti keusahawanan dan perniagaan kecil dalam meningkatkan lagi kegiatan ekonomi," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga wajar menyediakan peruntukan untuk program pengindahan Kedah, projek penebatan banjir dan juga kerja-kerja pengurusan sampah atau sisa dalam bandar yang merupakan perkara yang menjadi isu masyarakat.

Katanya, pembangunan semula sekolah agama yang terbiar diharap turut diberi perhatian dengan menyediakan peruntukan tambahan selain membuka peluang dan memperbaiki prasarana perniagaan bagi peniaga kecil di samping tidak melupakan sektor pertanian khususnya tanaman padi yang merupakan bidang sangat penting.

"Pembasmian kemiskinan, peningkatan prasarana, peluang perniagaan kecil, pembangunan sekolah agama dan peluang anak muda menceburi bidang ekonomi.

"Saya percaya ini satu bajet penting yang akan diberi tumpuan masyarakat kerana ini bajet pertama kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah Mukhriz. Saya percaya beliau ada sesuatu untuk diketengahkan kepada rakyat," katanya.

Sumber: Utusan
khidmatsetempatoku

SUNGAI PETANI 16 November - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasar untuk mewujudkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh negara dalam usaha menyalurkan perkhidmatan lebih berkesan kepada golongan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, PKS OKU akan berperanan sebagai pusat sehenti yang menawarkan pelbagai komponen perkhidmatan, termasuk Program Pemulihan Dalam Komuniti, Program Pemerkasaan Ekonomi, Perkhidmatan Kesihatan dan Perkhidmatan Sokongan untuk memberi manfaat kepada OKU, keluarga serta komuniti.

"PKS OKU di Bedong, yang dirasmikan hari ini, merupakan yang pertama di negara ini. Kita akan lihat PKS OKU ini sebagai satu standard dan model yang seterusnya akan dibawa ke seluruh negara.

"Kita juga berharap agar PKS ini akan dapat memberi kesedaran agar lebih ramai OKU tidak berdaftar untuk segera berdaftar dengan kita bagi membolehkan mereka menikmati hampir 25 keistimewaan yang disediakan untuk golongan OKU,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan PKS OKU Bedong hari ini.

Difahamkan, pembinaan PKS OKU Bedong yang bermula pada September 2009 dan siap sepenuhnya pada November 2010, menelan belanja RM5.3 juta.

Sebuah lagi PKS OKU iaitu di Marang, Terengganu akan dirasmikan tidak lama lagi.

Sumber: Bernama