tiadasisih
Tiada masyarakat disisih Muhyiddin diiringi Ahmad Sohaimi (tengah), disambut penduduk kampung ketika hadir majlis sarapan di jeti nelayan Kampung Kuala Dulang Kecil, Sungai Limau, Yan, semalam.- Foto Amran Hamid

Yan 31 Oktober - Kerajaan tidak pernah mengambil sikap menyisih mana-mana kumpulan masyarakat, termasuk orang Cina walaupun Barisan Nasional (BN) ditolak kaum itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini terbukti melalui Bajet 2014 dibentangkan baru-baru ini, yang menyaksikan kaum Cina turut menerima manfaat terutama melalui bajet pendidikan, sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak mengatakan BN tidak menyokong kaum Cina.

Saya percaya orang Cina di negara ini tahu menilai tanggungjawab kerajaan dalam membantu semua kaum” Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri “Baru-baru ini Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) bentang Bajet 2014 dan beliau ada menyebut soal pendidikan dan selaku Menteri Pendidikan, saya mengesahkan tahun ini seperti tahun lalu, peruntukan khas RM50 juta disediakan sebagai tambahan khusus untuk sekolah Cina.

Rakyat diutama

“Selain itu, kita juga menjaga semua guru di sekolah Cina dengan RM1.8 juta kita belanjakan setiap tahun untuk membayar gaji mereka. Kalau pembangkang kata kerajaan tidak bantu sekolah Cina, itu tidak betul dan peruntukan ini bukan hanya tahun ini, malah sudah puluhan tahun kita bagi.

“Bayangkan kalau kerajaan BN tidak bertimbang rasa, pasti kita tidak mahu bagi. Apa yang pasti kita mahu sekolah Cina yang ada terus kekal dan tidak boleh ditutup,” katanya pada majlis perjumpaan bersama masyarakat Cina Sungai Limau di Bilik Gerakan Jentera BN di Batas Lintang, di sini.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan RM1.8 juta untuk tiga sekolah Cina di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, membabitkan RM1 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Min, SJKC Yok Meng (RM750,000) dan SJKC Pek Wah (RM50,000). Turut diluluskan dana permulaan RM200,000 untuk Tabung Pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Limau.

Sementara itu, Muhyiddin mengakui melihat peningkatan dalam sokongan kaum Cina terhadap BN berbanding ketika PRU-13 lalu, terutama di DUN Sungai Limau yang menyaksikan kesediaan masyarakat Cina yang lebih terbuka untuk menerima agenda kerajaan.

“Saya percaya orang Cina di negara ini bersikap ‘pragmatik’ kerana mereka tahu apa yang penting, termasuk tahu menilai tanggungjawab kerajaan dalam membantu semua kaum bukan saja meliputi Melayu, Cina dan India, malah juga Iban, Kadazan dan banyak lagi kaum di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sumber: Berita Harian
pasarnelayan
YAN 30 Oktober - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kelulusan pembinaan pasar nelayan serta peruntukan RM2.5 juta bagi projek tukun tiruan di sini.

Beliau berkata RM500,000 lagi diperuntukkan untuk penambahbaikan Jeti Kuala Dulang Kecil, Sungai Limau di sini.

Peruntukan dan kelulusan itu adalah tanggungjawab kerajaan bagi menaik taraf hidup nelayan yang sememangnya menjadi antara keutamaan kerajaan, katanya.

"Oleh itu kalau jeti di Sungai Limau tak elok, belanja RM500,000 kita luluskan, kalau nelayan kata tak ada tempat untuk buat berniaga jadi mereka nak pasar, Menteri (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) tadi kata, boleh.

"Kemudian katanya tak cukup tukun tiruan...dimaklumkan pimpinan negeri tadi dah ada RM2.5juta peruntukan untuk menambah tukun-tukun tiruan," katanya pada Majlis Sarapan 1Malaysia di Kuala Dulang Kecil, di sini hari ini.  

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Yan, Saidin Kassim dan calon BN bagi PRK Dun Sungai Limau, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Muhyiddin berkata nelayan, selain petani dan peladang, adalah kumpulan istimewa dari pandangan mata kerajaan kerana tanpa usaha dilakukan mereka, negara akan menghadapi ancaman besar dalam agenda Jaminan Keselamatan Makanan negara.

"Oleh sebab itu perkara (jaminan makanan) ini paling penting, bukan sahaja untuk negara kita malah seluruh dunia dan saya sebutkan sejak saya menjadi menteri pertanian sehingga sekarang, kita tak akan abai aspek pertanian negara, walaupun menjadi negara maju, industri bertambah bagai cendawan, kilang-kilang bawa masuk pelabur, sediakan pekerjaan.

"Soal makanan tak boleh kita abaikan, ia tetap akan menjadi asas dan keutamaan kerajaan Barisan Nasional, maka sebab itu apa yang telah kita usahakan, akan kita lipat gandakan, mana kurang  kita tambah," katanya.

Sementara itu, mengenai pencerobohan kawasan perairan oleh nelayan-nelayan yang tidak mempunyai kelayakan lesen bagi kategori tertentu, Muhyiddin berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menguatkuasakan peraturan berkaitan bagi mencegah isu berkenaan berlarutan.

"Saya diberitahu, di Kuala Kedah sahaja 23 kes penguatkuasaan dilakukan, mereka yang terlibat telah ditahan APMM dan di Kuala perlis ada 29 kes, maknanya penguatkuasaan ini akan terus dijalankan supaya jangan ada pihak yang tak berhak menceroboh masuk ke kawasan yang tak dibenarkan," katanya.

Sumber: Bernama
muhyiddinsyukur
YAN 30 Oktober - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur permohonan maafnya kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak atas kenyataannya yang didakwa Pas menghina bekas menteri besar Kedah itu, diterima baik oleh keluarga Azizan.

Muhyiddin berkata, anak kelima Azizan, Mohd Rafi'ie, telah menghantar maklumat kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pagi ini bahawa keluarga Allahyarham telah menerima permohonan maaf yang dibuat oleh beliau semalam.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Mukhriz telah memaklumkan kepadanya atas penerimaan maklumat tersebut melalui Khidmat Pesanan Ringkas(SMS) daripada Mohd Rafi'ie pagi ini.

"Saya syukur kerana teks yang dikemukakan anakanda beliau (Azizan) menyatakan keluarganya telah terima mohon maaf saya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama masyarakat Cina kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau di Pusat Operasi BN di Sungai Limau Dalam, dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berharap isu itu dianggap selesai dan tidak lagi akan dibangkitkan.

Isnin lepas, Pas termasuk Dewan Pemudanya mendesak supaya Muhyiddin menarik balik kenyataannya yang didakwa mereka mengaitkan isu pemansuhan subsidi gula dengan penyakit kencing manis Azizan yang dididakwa telah menyinggung dan mengguris hati keluarga bekas menteri besar Kedah itu.

Berikutan itu, Muhyiddin semalam membuat permohonan maaf semasa lawatannya di Bukit Choras, namun menafikan kenyataannya mempunyai unsur penghinaan dan bertegas ianya diputar belitkan, selain meminta pihak yang membuat tuduhan menyemak semula rakaman ucapannya di SMK Sungai Limau, Sabtu.

Sumber: Bernama
kelabusahawankdh
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

Mohd. Ali Mohd. Rustam memberi sumbangan zakat kepada Roslan Md. Daud yang cacat penglihatan dalam program Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bersama penduduk Simpang Tiga Sungai Limau di Pusat Daerah Mengundi Simpang Tiga, Jerai, Kedah, semalam.

JERAI 30 Oktober - Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), akan menubuhkan Kelab Usahawan PUNB di seluruh negeri bagi menyediakan ruang kepada para usahawannya untuk berhubung dan menyokong antara satu sama lain.

Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, penubuhan kelab berkenaan juga bertujuan memberi inspirasi kepada usahawan dan seterusnya menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan ahli.

"Menerusi kelab ini, para usahawan bukan sahaja dapat memantapkan hubungan silaturahim malah dapat menggunakan platform ini untuk bertukar dan berkongsi sebarang permasalahan serta pengalaman perniagaan melalui sesi perkongsian ilmu, bengkel dan jaringan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama, usahawan PUNB Kedah dan penyampaian zakat perbadanan itu di Sungai Limau di sini hari ini.

Pada majlis itu PUNB turut menyampaikan zakat kepada 30 penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Menurut Mohd. Ali, penubuhan Kelab Usahawan PUNB turut memberi manfaat kepada usahawan untuk mendapatkan idea-idea perniagaan baharu yang kreatif dan inovatif menerusi perbincangan untuk dikongsi bersama.

"Semua perancangan ini memerlukan sokongan semua pihak terhadap usaha yang dijalankan kerajaan untuk membela nasib rakyat.

"Kedah merupakan negeri pertama menubuhkan kelab ini. Selain menubuhkan di negeri-negeri, kita juga merancang untuk menubuhkannya mengikut beberapa industri seperti perniagaan emas," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat 25 Oktober lalu, PUNB telah membeli sebanyak 102 unit premis perniagaan yang bernilai secara keseluruhan kira-kira RM113 juta.

Di Kedah, katanya, sebanyak lima unit telah dibeli oleh perbadanan itu dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.62 juta.

Sumber: Utusan
mabims

LANGKAWI 30 Oktober - Hubungan dan kerjasama erat yang terjalin antara negara-negara anggota Pertemuan Khas Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (Mabims), mampu menjadi benteng kukuh dalam menghadapi isu dan cabaran yang mengancam umat Islam di Nusantara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata selain isu liberalisme dan pluralisme umat Islam Nusantara turut berdepan serangan pemikiran yang boleh membawa perpecahan.

"Di rantau kita, Islam tidak kurang hebatnya diancam walaupun bukan dalam bentuk peperangan, isu-isu yang dihadapi perlu ditangani dengan serius agar kedaulatan Islam teguh dan terpelihara," katanya semasa pelancaran Alumni Bas MABIMS sempena Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) ke-38 di sini, malam tadi.
  
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
  
Pertemuan Mabims diadakan setiap dua tahun dengan Thailand dan Filipina dijemput sebagai pemerhati. Program Bas Belia Mabims dilaksanakan sejak 2009 menunjukkan tanda positif apabila pesertanya berjaya membentuk rangkaian hubungan persaudaraan Nusantara dalam melaksanakan misi dakwah serta perkongsian ilmu dengan masyarakat, kata Jamil Khir.
  
Menurutnya projek bakti sosial pertama dilaksanakan Mabims pada 2009 bersama masyarakat Orang Asli di Malaysia diikuti projek sekolah agama dasar di Provinsi Pontianak, Indonesia dan perkampungan saudara baru di Kampung Buluh, Brunei Darussalam.
  
Projek ini kemudian diteruskan pada 2011 di kawasan bencana letusan gunung Merapi, Indonesia, seterusnya pada 2012 di Kampung Tradisi, Terengganu dan tahun ini diadakan di Pulau Langkawi.
  
"Peranan alumni ini diharap dapat merealisasikan hasrat para menteri dan pegawai kanan Mabims untuk lebih dikenali di kalangan negara Islam dalam usaha dakwah dan sumbangan ke arah wahdattul ummah," tambahnya.

Seramai 40 peserta terdiri daripada 10 orang dari setiap negara mengikuti Bas Belia Mabims bermula 25 Okt lepas dari Bangi ke Alor Setar sebelum berakhir di Langkawi dengan matlamat berkongsi ilmu bersama masyarakat di samping memperkenalkan Malaysia, sebagai negara mesra pelancong.
  
Bercakap kepada pemberita kemudian, Othman berkata pertemuan SOM di Langkawi membincangkan tujuh bidang antaranya modul insan Islam, dakwah dan peranan belia dalam meningkatkan keharmonian masyarakat Islam di Nusantara.

Sumber: Bernama
remajapengurusanjenazah
SUNGAI PETANI 30 Oktober - Bermatlamat melahirkan remaja cemerlang bukan sahaja dari segi akademik dan sahsiah, malah kerohanian dan keagamaan turut diberi tumpuan, membolehkan satu bengkel pengurusan jenazah dianjurkan.

Pengerusi Kelab Rakan Muda Jerai, Azwan Jamaludin berkata, selain menambah ilmu pengetahuan berhubung fardu kifayah, kursus itu juga mendidik remaja dalam memberi kesedaran mengenai kehidupan dan kematian seseorang Muslim.

Menurutnya, seramai 101 peserta mengambil bahagian dalam kursus berkenaan yang diadakan di surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 5, Jalan Jeniang, Gurun dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Utara, Pejabat Belia dan Sukan Daerah.

Hadir sama merasmikan majlis, Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Yan, Shahrul Zaman Morat selain Pengetua SMK Batu 5, Rosidah Musa.

Menurut Azwan, melalui pendekatan sedemikian, ia sebenarnya mampu membudayakan tuntutan ilmu fardu kifayah dalam usaha melahirkan generasi muda cemerlang dunia dan akhirat.

Beliau berkata, kesemua peserta dilihat berpuas hati dengan sesi yang dijalankan dan diharap ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam kehidupan seharian.

“Saya berharap kerjasama ini akan terus berpanjangan sekali gus mampu menjalin hubungan erat untuk program lain pada masa depan,” katanya.

Menurutnya, program bermanfaat akan terus dianjurkan sebagai salah satu tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dengan matlamat membangunkan generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Sumber: Sinar Harian
adungurunmca
Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir (tengah) bersalaman dengan warga pendidik ketika hadir pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Kedah bersama Warga Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dulang di Yan hari ini.

YAN 28 Oktober - Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir. bercadang melantik anggota Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Gurun Dr Leong Yong Kong sebagai anggota Exco negeri bagi mengisi kuota MCA selepas menerima surat rasmi daripada parti itu.
  
Beliau berkata kedudukan Dr Leong bergantung kepada surat rasmi Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai resolusi mesyuarat agung luar biasa parti itu 20 Oktober lepas yang membenarkan anggota MCA menerima pelantikan jawatan peringkat kerajaan negeri.
  
Kedah memang mengosongkan satu protfolio untuk Adun MCA dalam barisan Exco negeri ekoran keputusan mesyuarat agung parti itu pada 2011 dan 2012 melarang anggotnya memegang jawatan dalam kerajaan apabila parti itu kalah pilihan raya umum ke-13.
      
"Sebelum ini pun saya telah menulis surat kepada presiden MCA mengenai sama ada boleh ataupun tidak kerajaan negeri melantik seorang Adun MCA menjadi Exco.
  
"Pada waktu itu saya menerima jawapan secara bertulis juga daripada presiden MCA yang menyatakan biarlah tunggu setelah EGM MCA selesai," katanya pada majlis perjumpaan bersama pemimpin dan anggota MCA di Bilik Gerakan parti itu bagi pilihan raya kecil DUN Sungai Limau dekat sini hari ini. Kedah mempunyai dua Adun dari- Dr Leong dan Chua Thiong Gee (Kulim).
  
Sebelum ini, Mukhriz pernah berkata portfolio yang disimpan untuk wakil MCA ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan.

Sumber: Bernama
martabatsektorpertanian
MUHYIDDIN Yassin melambai tangan kepada orang ramai ketika hadir di Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan MADA 2013 di PPK MADA, Bukit Besar, Kedah, semalam.

JERAI 26 Oktober - Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited untuk terus memartabatkan sektor pertanian sebagai agenda penting negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor tersebut amat diperlukan lebih-lebih lagi ketika kebanyakan negara di dunia kini menghadapi krisis kekurangan bahan makanan.

"Sektor pertanian dan perladangan adalah bidang yang penting untuk menentukan Malaysia terus mengeluarkan bahan makannan yang perlukan. Kita tidak pernah meminggirkan malah sentiasa mendokongnya. Saban tahun ia diberikan peruntukan cukup besar. Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, sektor ini mendapat RM6 bilion.

"Kita tahu semua perlukan makanan. Disebabkan itulah peruntukan disediakan agar menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makananan utama. Ini juga adalah satu jihad iaitu tuntutan agama yang kita perlu laksanakan untuk memastikan makanan mencukupi," katanya ketika berucap dalam Majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) di Bukit Besar, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga dari semasa ke semasa merangka strategi berkesan bagi memastikan sektor pertanian terus berdaya saing dan pada masa sama mencatatkan hasil yang tinggi.

"Memang kita sedar bahawa sekarang anak-anak muda tidak begitu mesra dengan sektor pertanian sekarang. Namun, kita sedang usahakan secara giat untuk pastikan sektor ini terus maju termasuk menggunakan teknologi moden dan memperkenalkan amalan pertanian baik (GAP)," katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar, Muhyiddin menegaskan, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang memburuk-burukkan usaha kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

"Mereka sebagai ahli politik juga faham kerana sudah sampai masa GST ini digunakan tetapi tetap mahu memanipulasi. Umumnya semua tahu bahawa kita memerlukan sistem percukaian yang lebih efisien dan cekap. Jadi GST ini perlu dilaksanakan kerana ia memang terbukti berkesan malah digunakan di lebih 160 buah negara.Lebih penting lagi, inilah masa yang paling sesuai kerana kadar inflasi masih rendah iaitu sekitar dua peratus. Tambahan pula kerajaan telah mengambil kira keupayaan dan kemampuan setiap golongan sebelum mengambil keputusan," katanya.

Sumber: Utusan
bangunpondokYAN 26 Oktober - Isu berkaitan agama di negeri Kedah dianggap sebagai keutamaan dan institusi berkaitannya akan terus dibela kerajaan negeri, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan sekadar cakap kosong tetapi merupakan komitmen berdasaran kemampuan kerajaan negeri dengan dibantu kerajaan pusat.

"Soal agama ini kita letak bab paling awal (terdahulu) dan kita beri keutamaan berkait dengan agama termasuklah dalam soal kebajikan sekolah pondok, maahad tahfiz, sekolah agama bantuan kerajaan, surau dan juga masjid.

"Sebab itu tidak pelik apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang (disini) dan banyak berjumpa dengan warga pondok yang menunjukkan kesungguhan kerajaan pusat membantu sekolah pondok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Asar berjemaah bersama Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Pondok Moden Nahdzah, Bukit Besar dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM3 juta bagi pembinaan dewan makan Pondok Moden Nahdzah selain asrama bagi Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah yang terletak di hadapan pondok tersebut.

Pondok Moden Nahdzah merupakan pusat pengajian agama khas bagi warga emas yang dibuka pada Februari tahun ini yang menjadi pelengkap kepada SMA Nahdzah yang merupakan sekolah agama bantuan kerajaan yang dibuka sejak 1946.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pondok Moden Nahdzah dan SMA Nahdzah, Nasir Othman berkata ini kali pertama sumbangan sedemikian diterima pihaknya dan juga kali pertama pimpinan tinggi negara hadir ke pusat pengajian agama berkenaan.

"Ini (peruntukan) satu anugerah besar tak terduga. Ini bukan masalah politik tapi masalah pendidikan. Saya juga rasa seronok kerana pemimpin tertinggi ambil berat mengenai agama dan pendidikan umat Islam," katanya.
Beliau berkata, pada masa ini terdapat 40 pelajar di Pondok Moden Nahdzah dan 780 pelajar di SMA Nahdzah.

"Kita punyai asrama yang mencukupi bagi Pondok Nahdzah. Cuma di SMA Nahdzah, asrama yang ada cuma mampu menampung 420 orang pelajar," katanya.

Sumber: Bernama
zipy
JERAI 26 Oktober - Projek berimpak tinggi Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dicadangan di daerah ini tidak akan diteruskan jika mendapat tentangan masyarakat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, sebarang projek yang hendak dilaksaksanakan di negeri itu perlu mendapat persetujuan masyarakat setempat.

"Secara umum sebarang projek pembangunan yang mahu dibawa termasuk di Jerai perlu mendapat maklum balas masyarakat yang terlibat. Jika ada tentangan dan berasas kita akan pertimbangkan.

"ZIPY mendapat rungutan daripada masyarakat yang mengusahakan bendang di persisiran pantai Yan. Walaupan ada cadangan bernilai berbilion ringgit kita tangguhkan dulu," kata Mukhriz.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di sini hari ini.

ZIPY menjadi bahan kempen pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau yang sedang berlangsung.

Pada Jun lalu kerajaan negeri dilaporkan akan melaksana semula dengan nilai pelaburan berbilion ringgit selepas tertangguh beberapa tahun di bawah pentadbiran Pas Kedah sebelum ini.

Merapoh Resources Corporation Sdn. Bhd. (Merapoh) yang juga merupakan pemaju asal akan menerajui projek itu.

ZIPY yang ditukar kepada projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub (SULIHH) selepas Pas Kedah mengambil alih kerajaan negeri pada 2008 itu adalah projek penapisan minyak di kawasan laut yang ditambak di Sungai Limau, Yan dan minyak mentah dari Asia Barat akan diimport dan diproses untuk dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji tersebut siap.

Kerajaan Barisan Nasional Kedah pada 2007 mengumumkan projek itu hasil perancangan rapi dan menyasarkan keuntungan sebanyak RM400 juta setahun dalam bentuk cukai dari projek itu yang dijadual siap pada 2014 mengikut perancangan awal selain menawarkan pekerjaan kepada kira-kira 30,000 orang.

Sumber: UTUSAN ONLINE
muziumpadi
JITRA 24 Oktober - Lembaga Muzium Negeri Kedah akan menganjurkan Karnival 7 Hari 7 Malam Muzium Padi dari 11 hingga 17 November ini dalam usaha mempertingkatkan promosi negeri Kedah termasuk kepada pelancong luar negeri.

Karnival yang diadakan di pekarangan Muzium Padi, Gunung Keriang di Alor Setar dibuka dari pukul 9 pagi hingga 11 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan Kedah Aminuddin Omar berkata, selain menarik lebih ramai pengunjung, karnival itu juga bertujuan menyokong kerajaan negeri Kedah dalam mencapai aspirasi membangunkan sektor pelancongan dan warisan ke peringkat lebih tinggi.

"Karnival kali ini merupakan kesinambungan kepada program Karnival Jom Pi Muzium Padi yang berjaya menarik hampir 100,000 pengunjung pada tahun 2011 dan 2012," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah itu berharap karnival itu dapat mempromosikan dan mengeratkan hubungan antara muzium-muzium Malaysia serta membuka peluang kepada usahawan dan peniaga kecil dan sederhana dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

"Tahun ini kita telah jemput pihak muzium dari Melaka, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak untuk turut serta di mana mereka boleh mempamerkan barangan dari muzium masing-masing. Pengunjung bolehlah datang ke Muzium Padi dan tidak perlu pergi jauh untuk melihat barangan dari muzium negeri lain," kata Aminuddin.
Sementara itu, beliau berkata, dari Januari hingga kini, sejumlah 80,000 pengunjung telah datang ke Muzium Padi dan dianggarkan 200,000 pengunjung akan hadir ke karnival tujuh hari itu.

"Saya berharap agar orang ramai daripada pelbagai kaum dapat memeriahkan karnival kali ini kerana ini merupakan satu-satunya muzium berkonsepkan padi diperkenalkan di dunia," katanya.

Pelbagai program akan diadakan sepanjang karnival berlangsung iaitu pameran dari muzium-muzium negeri lain selain gerai jualan oleh pelbagai agensi, pertandingan memasak, pertandingan mewarna, persembahan 'Mek Mulong' dan pelbagai program hiburan serta ilmiah.

Sumber: BERNAMA
banjirpendang
ABDUL Rahman Ismail (kiri) melawat mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan di Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang, Kedah, semalam.

PENDANG 23 Oktober - Seramai 250 orang melibatkan 71 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, di sini hari ini selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan sejak semalam.

Pegawai Daerah Pendang, Abdul Rahman Ismail berkata, kesemua mangsa yang dipindahkan membabitkan empat mukim iaitu Guar Kepayang, Padang Pusing, Air Puteh dan Bukit Raya.

"Kita menubuhkan bilik gerakan banjir sejak semalam dan buat masa ini kita hanya membuka sebuah pusat pemindahan.

"Penduduk dinasihatkan segera berpindah ke pusat pemindahan yang dibuka 24 jam itu sekiranya kawasan rumah mereka dinaiki air," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mangsa, Rosliza Abdul Razak, 26, berkata, mereka sekeluarga mula berpindah ke pusat pemindahan pukul 9 pagi semalam apabila kawasan rumah mula dinaiki air.

"Walaupun air hanya naik pada paras lutut di luar rumah sejak tiga hari lalu namun saya dan suami nekad untuk berpindah kerana bimbang keselamatan kami dan dua orang anak yang berumur tiga tahun dan dua bulan," katanya.

Rosliza yang tinggal di Kampung Bonggol Besi di sini berkata, ini merupakan pengalaman kelima dia dan keluarganya berpindah ke pusat pemindahan disebabkan kawasan rumah mereka sering dinaiki air pada musim hujan.

Seorang lagi mangsa, Marshitah Said, 28, memberitahu, kedudukan rumahnya di Kampung Batu Hampar Kanan di sini yang terletak berhampiran Sungai Pendang menyebabkan dia mengambil keputusan untuk pindah ke pusat pemindahan sejak pagi semalam.

Sumber: Utusan
botkaram

MOHD. Noor Had (kanan) menyampaikan sumbangan RM200 kepada Mohd. Abdullah Basir salah seorang mangsa bot karam yang selamat semasa dalam perjalanan pulang dari laut ke jeti Kota Kuala Muda, Sungai Petani, kelmarin.

SUNGAI PETANI 23 Oktober - Enam mangsa bot karam kerana ombak besar semasa dalam perjalanan pulang dari laut di Kota Kuala Muda di sini semalam mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kedah.

Pengarah lembaga itu, Mohd. Noor Had berkata, pihaknya tampil menghulur sumbangan RM200 setiap seorang bagi meringankan sedikit bebanan setelah mereka tidak bekerja kerana masih berada dalam keadaan trauma itu.

"Walaupun sumbangan diberi tidak seberapa nilainya tetapi dapat menceriakan mereka semula," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Di antara penerima sumbangan itu termasuk Razuan Hassan, 42; Mohd Ashraf Rosli, 15; Mohd. Abdullah Basir, 18; Ridzuan Ismail, 30, dan Nazaril Ismail, 25.

Kejadian itu berlaku kira-kira 10.35 pagi semalam, apabila mereka terjatuh ke dalam laut setelah bot itu terbalik secara mengejut. Bagaimanapun, seorang daripada mangsa yang dilaporkan hilang, Mohd. Akmar Md. Zain, 19, dari Kampung Keda, Kuala Muda di sini berjaya ditemui semula di kawasan Tanjung Tokong, Pulau Pinang. Dia kini mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Seorang penerima sumbangan, Mohd. Abdullah ketika ditemui berkata, dia gembira kerana pihak LKIM Kedah begitu prihatin dan memberi sedikit sumbangan selepas kejadian itu.

Di samping itu, menurut Razuan dari Kampung Tepi Sungai Kuala Muda, hanya dalam sekelip mata sahaja bot miliknya terbalik semasa ombak besar itu.

"Semasa kejadian, kami berada tidak jauh dari jeti pendaratan, nasib tidak menyebelahi dan banyak barang dan ikan yang diperoleh hilang di dalam laut," katanya.

Sumber: Utusan
bajirkilatas
NURUL HIDAYAH HAMID

ALOR SETAR 21 Oktober - Hujan lebat lebih sejam di sekitar Bandaraya Alor Setar menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air mencecah 0.5 meter, kira-kira jam 4 petang kelmarin.

Difahamkan, hujan lebat sejak jam 3 petang kelmarin menyebabkan Taman Kiara dan Jalan Datuk Kumbar turut dilanda banjir kilat sehingga mengakibatkan laluan tenggelam.

Naib Pengerusi Penaja Persatuan Penduduk Taman Kiara, Shariffudin Zaini Awang, 36, berkata, sebanyak 500 keluarga yang tinggal di dua fasa taman perumahan berkenaan terjejas dan mengalami kesulitan berikutan kediaman mereka dinaiki air.

“Taman perumahan berkenaan dipercayai mengalami banjir kilat di atas beberapa faktor termasuklah sistem tali air sepanjang dua kilometer (km) yang tidak diselenggarakan dengan baik dan paras kediaman rendah.

“Berikutan tali air tidak diselenggarakan sejak sekian lama, maka air melimpah ke kawasan berdekatannya,” katanya.

Katanya, kejadian banjir kilat yang melanda turut menyebabkan mereka mengalami masalah kulit dan kerosakan perabot masing-masing.

"Kami mengharapkan pihak berkenaan mengambil tindakan dengan menyelenggarakan tali air berkenaan segera demi membolehkan masyarakat setempatnya menjalani kehidupan lebih selesa," katanya.

Manakala, kira-kira 10 keluarga di Kampung Darat, Hutan Kampung, dekat sini, terus menanggung kesulitan apabila banjir kilat berulang kembali sehingga menyebabkan mereka berhabis ribuan ringgit untuk membaiki rumah masing-masing.

Penduduk, Mohamad Shaharrudin Shuib, 40, berkata, walaupun tindakan diambil seperti meninggikan lantai kediaman namun masalah masih berlarutan.

"Kami perlu memakai kasut but untuk memasuki kediaman masing-masing ekoran masalah berterusan," katanya.

Rakannya, Shukri Ismail, 33, berkata, isu banjir kilat yang menenggelamkan kediaman mereka sejak beberapa tahun ini hanya akan dapat diselesaikan sekiranya tindakan diambil seperti membina sistem saliran demi menyalurkan air ke sungai berdekatan.

Dalam pada itu, masalah banjir kilat yang menenggelamkan kediaman penduduk turut dialami hampir 30 penghuni Taman Permai Baru, Batu 3, Jalan Langgar, dekat sini.

Penduduk, Mohd Rus Salleh, 51, berkata, perkara terbabit berlaku disebabkan kediaman mereka berada di kedudukan rendah berbanding taman perumahan baru berhampiran sehingga mengakibatkan kawasan berkenaan seolah-olah kolam sekiranya hujan.

Katanya, walaupun penduduk menggunakan pam untuk menyedut air keluar ke tempat tadahan, bagaimanapun ia tidak surut berikutan kolam takungan air terbabit terlalu penuh hingga mengalirkan semula air sehingga sampai ke kediaman mereka.

"Kami mengharapkan tindakan jangka panjang daripada pihak berkenaan seperti membina laluan air, sebelum taman perumahan baru berdekatan mendapat Sijil Kelayakan Menduduki (CF) yang dijangka mengeruhkan keadaan sedia adanya," katanya.

Sumber: Sinar Harian
hakisanbukitacau
GUAR CHEMPEDAK 20 Oktober - Sekitar kawasan di Bukit Acau dekat sini yang dilaporkan mengalami hakisan sebenarnya berada dalam daerah Kuala Muda.

Setiausaha Majlis Daerah Yan, Faizal Rizal Mohammad berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan selepas laporan dalam Sinar Harian pada 12 September yang lalu berkaitan rungutan penduduk yang risau hakisan tanah di kawasan berkenaan mampu meragut nyawa.

“Pihak kami ada menerima aduan daripada penduduk setempat yang tinggal di Lorong Rasha Belakang Taman Desa Indah 2, Guar Chempedak, mengenai kejadian tanah runtuh, namun siasatan mendapati ia di bawah daerah lain.

“Lantas, pihak kami mengemukakan aduan melalui telefon kepada Pejabat Daerah Kuala Muda manakala menerusi surat dilakukan pada 22 September untuk tindakan selanjutnya daripada pihak berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan hujan lebat secara berterusan mengakibatkan Bukit Acau runtuh dua kali sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap penduduk tempatan di Lorong Rasha Belakang Taman Desa Indah 2, dekat sini.

Difahamkan, kira-kira enam keluarga dikejutkan bunyi kuat dipercayai akibat runtuhan bukit terbabit secara berperingkat dalam kejadian pertama berlaku pada 10 September, manakala runtuhan kedua berlaku tiga hari kemudiannya.

Keadaan ini mengakibatkan masyarakat setempat termasuk dari Kampung Tok Kau, Titi Bom dan Setia Jaya terputus hubungan berikutan laluan berkenaan adalah satu-satunya jalan untuk ke Bukit Jenun dan Gurun.

Sumber: Sinar Harian
mangsakebakaran
ABDUL Azeez Rahim (dua dari kanan) menjamu selera bersama penduduk kampung ketika mengunjungi rumah baharu Zainol Yahaya (empat dari kanan) ketika majlis penyerahan rumah di Kampung Charuk Bunting, Baling, baru-baru ini.

BALING 18 Oktober - Seorang penduduk Kampung Charuk Bunting di sini melahirkan rasa syukur dan terharu kerana dapat beraya di rumah baru mereka setelah rumah pusaka yang berusia 30 tahun musnah terbakar pada Jun lalu.

Zainol Yahaya, 75, turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat beraya dengan sempurna walaupun rumah kesayangannya musnah terbakar.

"Terima kasih kepada pemimpin di sini yang amat prihatin dengan masalah rakyatnya dengan memberi pelbagai bantuan segera kepada saya sekeluarga bagi meringankan beban yang kami tanggung," katanya di sini kelmarin.

Rumah dua bilik yang dibina itu menelan belanja hampir RM20,000 siap sepenuhnya menjelang Aidiladha.

Menurutnya, kehidupannya kini lebih selesa dengan rumah baru yang didiaminya dan seterusnya dapat menjalani kehidupan dengan lebih selamat kerana rumah yang dibina lengkap dengan ciri-ciri pendawaian yang selamat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim berkata, bantuan segera dalam tempoh 24 jam akan dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Rakyat Baling (YPRB) untuk diberikan kepada mangsa apabila berlaku tragedi malapetaka seperti kebakaran, banjir dan sebagainya.

"Melalui YPRB, bantuan segera akan diberikan dalam tempoh 24 jam kepada mangsa tragedi kebakaran, banjir dan sebagainya mengikut keperluan mangsa yang terlibat.

"Ini adalah satu pengorbanan pemimpin dan rakyat di daerah ini untuk turut sama membantu mangsa bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka," katanya ketika merasmikan rumah baru di Kampung Charuk Bunting.

Menurut Abdul Azeez, usaha tersebut dilakukan sementara mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya agar mangsa dapat menjalani kehidupan seperti biasa walaupun ditimpa musibah.

Sejak lima tahun lalu katanya, lebih 300 buah rumah telah dibina dan 2,700 buah rumah telah dibaiki melalui pelbagai agensi bagi mengatasi masalah kemiskinan penduduk di sini.

Pada masa yang sama, Abdul Azeez turut mengumumkan tiga buah kontena yang diubahsuai bagi menjadi sebuah kediaman sebagai penempatan sementara jika berlaku musibah yang tidak diingini kepada mereka yang memerlukan.

Sumber: Utusan

kebakaran

SURAYA Yaacob (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran penyewa kedai di Bangunan Seroja di Pendang, Kedah, baru-baru ini.

PENDANG 9 Oktober - Kerajaan negeri akan mencari jalan penyelesaian membantu 14 peniaga di Bangunan Seroja di sini yang terlibat dalam kebakaran awal pagi Ahad lalu, termasuk berbincang dengan Majlis Daerah Pendang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, pihaknya peka dengan permasalahan peniaga terbabit yang kebanyakannya bergantung hidup dengan berniaga di bangunan tersebut.

"Antara langkah awal adalah menyediakan tempat berniaga sementara kepada mangsa terlibat. Kita juga akan berbincang dengan pihak Majlis Daerah Pendang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran tersebut baru-baru ini.

Pada lawatan tersebut, Suraya turut menghulurkan bantuan dalam usaha meringankan beban mangsa terbabit.

Dalam pada itu menurut seorang mangsa, Zainab Ahmad, 51, beliau kini terpaksa menjual surat khabar di khemah di hadapan kedainya yang kini tidak boleh digunakan lagi.

Katanya, akibat kejadian tersebut, kedai yang disewa sejak 11 tahun lalu rosak teruk dan dia menanggung kerugian kira- kira RM100,000.

"Saya amat berharap agar peniaga di sini dapat menerima bangunan baharu secepat mungkin kerana ini merupakan pendapatan utama untuk menampung perbelanjaan keluarga.

"Kami juga mohon agar sewa kedai baharu nanti berpatutan dan tidak terlalu tinggi memandangkan kadar sewa kedai sebelum ini hanyalah RM100 sebulan," katanya.

Seorang lagi mangsa, Osman Hashim, 51, yang menjalankan perniagaan sejuk beku mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri untuk meringankan beban mereka.

Sumber: Utusan
pondokagama
MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir pada majlis makan malam Madrasah Taufiqiah Al-Halimiah Padang Lumat atau Pondok Pak Ya, Padang Lumat, Sungai Limau, kelmarin.

ALOR SETAR 4 Oktober - Kerajaan negeri Kedah sentiasa menghargai sumbangan pondok pengajian agama dalam memperkasa kehidupan rakyat selari dengan perjuangan UMNO dan Islam sejak sebelum negara merdeka.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kerajaan negeri juga memperakui jasa tokoh-tokoh agama di negeri ini atas pengorbanan mereka menentang penjajah dan komunis.

"Oleh itu adalah wajar hubungan antara kerajaan negeri dan pondok-pondok agama yang sekarang banyak dijadikan Sekolah Agama Rakyat (SAR) diteruskan agar Kedah terus maju bagi merealisasikan wawasan kepimpinan negara.

"Saya akan minta Jabatan Agama Islam Kedah berbincang dengan SAR dan ketua-ketua pondok supaya bantuan perlu dapat disalurkan," katanya semasa berucap pada majlis makan malam Menteri Besar bersama Warga SAR di di Madrasah Taufiqiah Al-Halimiah Padang Lumat, 35 kilometer dari sini, malam semalam.

Pada majlis itu, Mukhriz menyerahkan bantuan berjumlah RM1.2 juta berdasarkan perkapita pelajar sumbangan Yayasan Gerak Fikir, sebuah badan bukan kerajaan di negeri ini kepada 11 SAR di Kedah.

Sebelum itu, Mukhriz yang disertai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Kedah Mohd. Rawi Abdul Hamid, Mufti Kedah Datuk Sheikh Baderuddin Ahmad, pengerusi Majlis Pengetua SAR Kedah Datuk Sheikh Abdul Razak Yusof, para guru dan pelajar menunaikan solat Maghrib diikuti bacaan Yasin dan doa selamat sebelum menunaikan solat Isyak.

Dalam ucapannya, Mukhriz juga mencadangkan supaya SAR membuat kajian untuk menarik pelajar negara-negara asing belajar di sekolah mereka.

"Impak kedatangan ramai pelajar asing membantu melonjak ekonomi, sektor pelancongan dan sudah tentu usaha mengukuhkan syiar Islam akan berkembang lebih cepat," katanya.

Sumber: BERNAMA
langkawi island

LANGKAWI 2 Oktober - Kerajaan negeri merancang untuk memberi nafas baharu kepada kempen 'Senyum Selalu' melibatkan pelbagai sektor dalam industri pelancongan dan penduduk tempatan bagi memikat hati para pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan negeri, Mohd. Rawi Abd. Hamid berkata, sikap ramah dan melemparkan senyuman dalam bidang pelancongan adalah penting kerana sikap itu mempengaruhi persepsi pelanggan.

Katanya, penggiat industri pelancongan termasuk di Langkawi masih kurang memberi perhatian terhadap sikap ramah dan budaya senyum jika dibandingkan Thailand dan Indonesia.

"Mungkin kita akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) untuk melancarkan semula kempen senyum yang pernah diadakan dahulu.
"Kempen ini melibatkan semua peringkat seperti di kaunter hotel, kedai, restoran, stesen teksi dan lapangan terbang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan hotel terbaharu MK Land Holdings Berhad, Ombak Villa yang disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di sini kelmarin.

Yang hadir sama isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Lada, Tan Sri Khalid Ramli.

Mohd. Rawi berkata, dengan senyuman dapat meletakkan pelancong dalam keadaan selesa, memberi gambaran bahawa mereka sedang diterima dengan hati terbuka dan sedia diberi layanan selain memperkenalkan imej bersopan santun rakyat negara ini.

Katanya, infrastruktur pelancongan boleh dibina tetapi usaha untuk menanam budaya senyum dalam industri tersebut merupakan satu cabaran yang perlu dihadapi.

"Dengan senyuman itu kita tidak perlu berbahasa. Kita tahu orang boleh menilai bahawa kita sedang menerima dengan hati terbuka dan sanggup memberi layanan.

"Lihat di Thailand, hanya dengan senyuman dan perkataan 'sawadikap' sudah cukup untuk membuat pelancong berasa perkhidmatan yang bakal diberikan adalah istimewa," katanya.

Sumber:Utusan
institutintergiti
ALOR SETAR 1 Oktober - Kerajaan Kedah akan menjalin kerjasama dengan Institut Integriti Nasional, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membantu mengurus tadbir negeri dengan lebih baik dalam usaha menjadikan Kedah sebuah negeri berintegriti tinggi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, negeri Kedah terpilih menjadi negeri pertama untuk bekerjasama dengan institut tersebut.

"Saya rasa terhormat kerana Kedah dipilih sebagai negeri contoh untuk melaksanakan satu program integriti yang akan membantu kerajaan negeri mengurus tadbir negeri.

"Kita akan bincang dengan terperinci selepas ini bagaimana untuk melaksanakannya, saya sebenarnya ternanti-nanti idea yang bakal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dan rakan-rakan lain untuk bantu tingkatkan tahap urus tadbir di Kedah ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis Wacana Integriti Ke Arah Budaya Politik Yang Sihat dan Demokratik bersama ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, kerjasama itu seiring dengan apa yang dihasratkan kerajaan negeri untuk memastikan tahap integriti yang tinggi dalam kalangan anggota pentadbirannya.

"Dalam usaha untuk memajukan negeri banyak perkara yang kita hendak lakukan, semua itu akan menjadi payah sekiranya ada unsur-unsur yang melanggar etika atau integriti.

"Saya bimbang kalau tidak diberi perhatian yang sewajarnya mungkin projek yang kita mahu lancarkan itu tidak menjadi atau terbengkalai atau tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Seng Kuan berkata, pihaknya berharap Kedah menjadi model negeri yang mempunyai urus tadbir baik dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

"Kita akan melakukan transformasi dari segi urus tadbir di Kedah dan berharap Kedah akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam soal integriti," katanya.

Sementara itu, Seng Kuan memberitahu, kerajaan meluluskan penubuhan pasukan pemantau bagi projek bernilai RM500 juta ke atas sekali gus menunjukkan kerajaan serius dalam soal integriti dan pembanterasan rasuah.

"Pasukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan melawat semua negeri untuk menerangkan pelan integriti dan pembanterasan rasuah serta membantu syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan urus tadbir yang baik," ujarnya.

Sumber: Utusan
jalurlebarkedah
KULIM 30 September - Kadar penembusan jalur lebar dalam kalangan penduduk Kedah masih dianggap rendah iaitu hanya 53.7 peratus jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Kedah menduduki tiga tangga terbawah dalam aspek kadar penembusan jalur lebar yang mana kadar keseluruhan di peringkat nasional adalah sebanyak 67.1 peratus.

Beliau berkata, ekoran itu, kerajaan negeri kini menggandakan usaha meningkatkan kadar tersebut dengan meletakkan pembangunan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai salah satu agenda utama transformasi.

"Bagi tujuan menangani isu-isu berkaitan ICT, kerajaan negeri pada awal bulan ini menubuhkan Makmal Transformasi ICT untuk melihat dan memperincikan mekanisme pelaksanaan pembangunan.

"Daripada makmal itu, input berguna telah diberikan dan digunakan bagi perancangan peningkatan penembusan jalur lebar di samping mentransformasikan negeri Kedah sebagai negeri berpendapatan tinggi selaras dengan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) - Kandungan dan Infrastruktur Komunikasi," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Jalur Lebar 1Malaysia peringkat negeri di Padang Umum Kulim, di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi, Datin Norsabrina Mohd. Noor.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri mengutamakan agenda ICT kerana turut menjadi faktor penting dalam menentukan hala tuju Kedah sebagai negeri maju pada masa akan datang.

"ICT akan bertindak sebagai pemboleh kepada sektor-sektor utama negeri seperti pertanian, pelancongan, industri, usahawan dan lain-lain," katanya.

Sementara itu, Norsabrina berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Pusat menubuhkan sebanyak 33 Pusat Internet 1Malaysia (PP1M) dan Pusat Internet Desa bagi membolehkan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan internet berkelajuan tinggi.

"Selain itu, sebanyak 252 kawasan kediaman telah terlibat dalam program Kampung Tanpa Wayar (KTW),"  jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, sebanyak 22,390 premis kediaman dan perniagaan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Bakar Arang serta Taman Ria Jaya di Sungai Petani kini dilengkapi port perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan tinggi (HSBB) yang dikendalikan TM Berhad. "Dari segi jumlah langganan, Kedah mencatatkan sebanyak 5,000 pelanggan HSBB," katanya.

Sumber: Utusan