kedahberubah

JERLUN 29 September - Semua pihak bertanggungjawab membimbing dan menggilap potensi kanak-kanak yang merupakan permata negara sehingga berkembang dengan baik dan mencapai tahap membanggakan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, potensi dimaksudkan ialah kemampuan mereka bagi mencapai, menghasil atau melakukan sesuatu yang banyak bergantung kepada kebolehan, bakat, kekuatan, kesanggupan dan keupayaan untuk berkembang maju.

"Potensi diri mereka juga berkait rapat dengan kebolehan dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan bakat. "Semua ini boleh dikembangkan menerusi interaksi dengan persekitaran dan pendidikan berkualiti di rumah serta sekolah," katanya ketika berucap merasmikan Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat peringkat negeri di Alor Biak, di sini semalam.

Mukhriz berkata, usaha untuk mencungkil, memupuk, mengembang dan meningkatkan bakat kanak-kanak yang sedang membesar sukar dilakukan tanpa pendidikan bermutu.

Berikutan itu, katanya, ibu bapa dan guru seharusnya memahami kecerdasan serta potensi murid sejak awal lagi.

Sumber: Utusan
karnivalict

KULIM 29 September - Kerajaan Kedah menetapkan pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sebagai satu daripada agenda Transformasi Kerajaan Negeri Kedah, berikutan kedudukan negeri itu yang berada di tangga ketiga terbawah dalam aspek kadar penembusan jalur lebar.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, kadar penembusan jalur lebar isi rumah di Kedah hanya mencapai 53.7 peratus berbanding 67.1 peratus di peringkat nasional.

Katanya, Makmal Transformasi Teknolgi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Negeri Kedah yang bermula sejak awal September lepas telah banyak membincangkan secara terperinci berkaitan status semasa, isu–isu dan cabaran serta mekanisme pelaksanaan bagi pembangunan ICT di Kedah.

"Input–input yang diberikan amat berguna bagi perancangan peningkatan kadar penembusan jalur lebar Negeri Kedah di samping mentransformasikan Negeri Kedah menjadi negeri maju berpendapatan tinggi.

Ia juga turut mengambil kira inisiatif-inisiatif di bawah (Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi) NKEA - Kandungan dan Infrastruktur Komunikasi.

" ICT akan bertindak sebagai pemboleh kepada sektor–sektor utama negeri seperti pertanian, pelancongan, industri, usahawan dan lain–lain lagi," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian Karnival Jalur Lebar 1Malaysia peringkat negeri Kedah di Padang Umum Kulim di sini semalam.

Teks ucapan Mukriz dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat dan Teknologi Tinggi Norsabrina Mohd Noor yang mewakili beliau merasmikan majlis itu.

Karnival tigahari anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kerajaan Kedah dan Telekom Malaysia itu bermula Jumaat.

Mukhriz berkata, berdasarkan input daripada Makmal Transformasi itu, pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan tahap liputan telekomunikasi di negeri ini menunjukkan peningkatan di mana syarikat–syarikat telekomunikasi sedang dan dalam perancangan menaik taraf perkhidmatan telekomunikasi mereka seperti daripada perkhidmatan 3G kepada perkhidmatan 4G.

" Ia penting bagi memastikan akses telekomunikasi adalah seiring dengan kemajuan teknologi semasa. Kita berharap agar syarikat–syarikat telekomunikasi sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi merangka perluasan liputan telekomunikasi yang menyeluruh termasuklah perluasan pemasangan wi-fi di kawasan–kawasan pelancongan, medan–medan selera, kawasan membeli belah dan lokasi–lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai," katanya.

Katanya beliau amat berharap agar ICT akan menjadi pemacu kepada Transformasi Sosio dan Ekonomi Negeri Kedah. "Pembangunan ICT tidak hanya bergantung kepada infra sahaja tetapi perlulah seiring dengan pembangunan kandungan tempatan. Pembangunan kandungan tempatan pula harus fokus kepada semua peringkat umur yang mana tidak hanya tertumpu kepada minat Generasi Y sahaja," katanya.

Sumber: Bernama
pelajarobes
Oleh SAFINA RAMLI

Huzaidy Husain (tengah) bersama urusetia program melancarkan program berjalan kaki dan mengayuh basikal bagi pelajar yang mengalami obesiti di Kampus UUM Sintok, Alor Setar, baru-baru ini.

ALOR SETAR 25 September - Seramai 92 pelajar yang mengalami obesiti dari daerah Kubang Pasu menyertai program mengayuh basikal dan berjalan sejauh 8.5 kilometer atau 10,000 langkah di dalam kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, baru-baru ini.

Pegawai Kesihatan Daerah 2, Pejabat Kesihatan Kubang Pasu, Dr. Azlina Azlan berkata, program yang dianjurkan itu adalah khusus untuk golongan pelajar berkenaan.

Katanya, langkah penganjuran program yang bertemakan Jom Hidup Sihat, Aktifkan Diri itu adalah bagi mengawal pelajar obesiti yang dianggap sebagai satu penyakit apabila tisu-tisu lemak berlebihan.

"Lebih teruk lagi apabila mereka dalam golongan ini akan mengalami gangguan dan kecederaan organ-organ badan dan seterusnya menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

"Oleh itu, Pejabat Pelajaran Daerah Kubang Pasu, Pejabat Kesihatan, Ketua-Ketua Panitia Pendidikan Jasmani dan Pusat Budaya dan Seni UUM mengambil langkah untuk menganjurkan program bagi pelajar obesiti ini," katanya di UUM di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM, Huzaidy Husain berkata, program itu dilihat sebagai satu usaha bersama untuk meningkatkan kesihatan dalam kalangan pelajar di sekitar kampus.

"Hubungan UUM amnya dan PBS khususnya dengan PPD Kubang Pasu dan Pejabat Kesihatan daerah ini sentiasa dijalankan dan perjalanan 10,000 langkah di kampus ini merupakan aktiviti yang amat baik bukan sahaja untuk menjaga kesihatan, malah menjalinkan hubungan antara jabatan kerajaan di daerah ini," ujarnya.

Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah ceramah kesihatan, Senam Sintok 1Malaysia, Explorace dan mengayuh basikal dalam kampus.

Kesemua 92 pelajar itu akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka akan berganti-ganti mengayuh basikal yang disediakan oleh Pusat Sukan UUM dan berjalan kaki untuk sampai ke destinasi yang ditetapkan.

Selain daripada aktiviti itu, pasukan yang berjaya menamatkan aktiviti dalam masa yang ditetapkan akan menerima hadiah yang disediakan oleh pihak urus setia.

Sumber: Utusan
Oleh JAMLIAH ABDULLAH

aspirasi

Mukhriz Mahathir bersalaman dengan sebahagian warga pendidik Kedah dalam majlis Perjumpaan Bersama Warga Pendidikan Kedah di Alor Setar, kelmarin.

ALOR SETAR 20 September - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir semalam melancarkan program pendidikan Aspirasi Top 5 2015 dalam usaha meletakkan prestasi negeri di kalangan kelompok lima cemerlang dalam pencapaian gred purata peperiksaan awam (GPPA) menjelang 2015.

Mukhriz melancarkan program tersebut sempena majlis Perjumpaan Bersama Warga Pendidikan Kedah di Wisma Darul Aman di sini.

Menurut beliau, inisiatif Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah untuk melonjak negeri ini memaparkan kesungguhan dan komitmen jitu untuk bersama-sama menjayakan hasrat kerajaan negeri.

"Kedah suatu ketika dahulu cemerlang dalam pendidikan dan saya percaya usaha ini mampu melonjakkan Kedah kembali cemerlang dalam bidang ini.

"Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong dan memberi kerjasama yang tidak berbelah-bahagi kepada usaha memartabatkan pendidikan di negeri ini selaras dengan Aku Janji Barisan Nasional Kedah yang akan sentiasa berusaha meletakkan bidang ini dan pembangunan modal insan di tahap lebih baik," katanya dalam majlis tersebut.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain; Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah dan Pengarah Pendidikan negeri, Mansor Lat. Dalam majlis itu, Mukhriz turut melahirkan hasrat golongan pelajar generasi Ulu Albab dapat dilahirkan di negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha ke arah pembinaan generasi Ulu Albab yang ditafsirkan sebagai kumpulan manusia yang mempunyai pemikiran bersih dan sempurna sehingga mampu memahami hakikat sesuatu perkara secara betul.

"Generasi Ulul Albab inilah yang sewajarnya dilahirkan sebagai generasi harapan negara," katanya.

Beliau juga menyeru semua warga pendidikan negeri ini berusaha keras meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini demi menjayakan aspirasi kerajaan.

"Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tonggak utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah.

"Para pendidik memainkan peranan penting dalam melahirkan insan yang berpendidikan, bermoral tinggi dan dipenuhi dalam dirinya nilai-nilai yang murni," katanya.

Sumber: Utusan
sabrina-mdnoor
 KULIM 19 September - Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini, terus mendapat sambutan dalam kalangan pelabur domestik dan asing selepas mencatatkan pelaburan tambahan dengan nilai terkumpul lebih RM7.7 bilion baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi negeri, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara pemain utama yang membuat pelaburan tambahan tersebut adalah First Solar, Infineon Technology dan Fuji Electric.

"Kebanyakan pelabur terutamanya asing terus yakin dengan keupayaan Kerajaan Persekutuan dan negeri menyediakan prasarana terbaik di sini. Sejak memulakan operasi pada tahun 1996, tiada syarikat yang menutup kilang mereka di KHTP ini.

"Walaupun menghadapi turun naik dari segi kemasukan pelaburan, namun kebanyakan pelabur kembali yakin menanam modal lebih-lebih lagi selepas Kedah dimenangi semula Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah fasa kedua dan ketiga pembinaan bangunan tambahan bernilai RM52 milik syarikat pembuat peralatan sokongan hospital, LMA International N.V (LMA) dari Belanda, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pemangku Presiden Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), Annuar Mohd. Sadar dan Pengarah (Pengilangan) LMA, Andrej Baranek.

Norsbarina berkata, kerajaan negeri yakin jumlah pelaburan di KHTP dapat ditingkatkan dalam tempoh terdekat ekoran sokongan Kerajaan Pusat dan beberapa agensi seperti Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Dalam perkembangan lain, beliau memuji langkah LMA yang menggaji kesemua pekerja tempatan dalam kilang tersebut.

Katanya, tindakan tersebut juga boleh membantu kerajaan mengatasi masalah pengangguran di samping meningkatkan pendapatan serta taraf hidup dalam kalangan penduduk tempatan.

"Pembangunan fizikal dan penanaman modal asing di kawasan Kulim sudah tentu dapat membantu meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. Dengan adanya peluang pekerjaan, para penduduk tidak perlu berpindah ke kawasan lain dan ini menjadikan kawasan ini terus berdaya maju," katanya.

Sumber: Utusan
kitarsemula

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR 16 September - Kerajaan negeri menyasar meningkatkan kadar kitar semula daripada tiga peratus kepada 22 peratus menjelang tahun 2020.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir (gambar) berkata, sasaran itu selaras dengan tahap kesedaran kitar semula yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

"Saya akui sasaran itu tinggi tetapi saya lebih suka meletak sasaran tinggi supaya usaha kita menjurus ke arah itu. "Maksudnya dasar dan pendekatan yang bakal diamalkan oleh Kedah mesti menjurus ke arah itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kebersihan Kedah (3K) di Taman Wira Mergong di sini kelmarin.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatan Kuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim.

Menurut Mukhriz, antara faktor paling penting bagi menjayakan sasaran berkenaan ialah untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, masyarakat perlu melalui satu transformasi jika benar-benar mahu Kedah indah dan selesa untuk didiami.

Dalam pada itu, beliau juga tertarik dengan usaha meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan anak-anak kecil mengenai betapa penting kitar semula menjadi budaya dalam kalangan masyarakat.

Katanya, bahan buangan harian seperti kertas, surat khabar dan botol plastik boleh menjana pendapatan apabila dikitar semula menjadi satu bahan berguna.

"Saya berharap amalan itu menjadi budaya warga Kedah supaya akhirnya Kedah terkenal sebagai negeri yang bersih, indah dan selesa didiami," katanya.

Sumber: Utusan
mufti

KUBANG PASU 14 September - Seminar menangani isu-isu Syiah peringkat institut pengajian tinggi zonutara di Hotel Darulaman di sini yang berakhir semalam mencapai resolusi untuk mengambil tindakan lebih aktif bagi mengekang dan mendepani fahaman berkenaan.

Timbalan Mufti Kedah, Syeikh Marwazi Dziyauddin berkata, tindakan tersebut dinyatakan oleh para peserta bersesuaian dengan peranan mereka sebagai mahasiswa.

Katanya, para peserta mencapai resolusi untuk berusaha mengekang fahaman Syiah menerusi pemantapan ilmu pengetahuan Islam yang sebenar mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Mereka akan bergerak lebih aktif mengikut peranan masing-masing di dalam dan luar universiti termasuk dengan pelbagai program kemasyarakatan," katanya kepada pemberita selepas seminar berkenaan semalam.

Seminar dua hari yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Kedah dan Pusat Pengajian Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) itu merupakan siri ketiga dianjurkan jabatan tersebut selepas seminar yang dikhususkan kepada para pendakwah, tokoh agama, guru dan pelajar baru-baru ini.

Seminar menangani isu-isu Syiah berkenaan dijangka melibatkan pula pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas Hari Raya Aidiladha ini.

Dalam pada itu, Syeikh Marwazi berkata, pihaknya turut menggalakkan para mahasiswa supaya aktif dalam pelbagai bentuk penulisan mengenai isu Syiah bagi mempelbagaikan pendedahan dan penyampaian kepada masyarakat.

Katanya, pendekatan itu penting kerana pengikut Syiah juga menggunakan pelbagai bentuk saluran untuk menyampaikan fahaman berkenaan.

"Jadi kita harus menjawab isu Syiah menerusi saluran sama dengan ruang yang ada," ujarnya.

Sumber: Utusan
MADA
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR 12 September - Seluas 3,018 hektar tanah sawah jerlus di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat dipulihkan dengan penambahbaikan sistem saliran di kawasan berkenaan sejak tahun lalu.

Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz berkata, pemulihan tanah jerlus berkenaan merupakan program jangka panjang yang diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melibatkan kawasan sawah seluas 8,107 hektar.

"Buat masa ini sebahagian kerja pemulihan yang menelan kos sebanyak RM3.77 juta hampir siap dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan PenanamanPadi peringkat MADA di sini hari ini.

Othman berkata, tindakan jangka pendek pemulihan tanah jerlus di dalam MADA dimulakan pada tahun lalu bagi kawasan sawah seluas 854.7 hektar dengan kos RM996,000 dan tindakan berkenaan dapat memulihkan 567.3 hektar kawasan sawah yang terjejas.

Menurut beliau, secara keseluruhan program jangka panjang pemulihan berkenaan melibatkan anggaran kos sebanyak RM64.68 juta.

Katanya, program itu merangkumi pembatalan dua musim penanaman padi iaitu Musim 2/2013 dan Musim 1/2014 serta pemberian bantuan wang ihsan melibatkan 3,877 peladang dengan keluasan kawasan 6,791 hektar.

"Selain itu, pembinaan dan pembaikan infrastruktur dan sistem saliran membabitkan skop kerja pembinaan atau pemulihan infrastruktur saliran, pembuangan enapan di parit-parit utama, meninggikan ban saluran air, pembinaan stesen pam saliran termasuk pengambilan balik tanah.

"Program itu juga merangkumi penyediaan tanah sawah selepas pemulihan tanah jerlus termasuk melaksanakan kerja-kerja meracun dan putaran tanah," ujarnya.
Dalam pada itu Othman berkata, keluasan serangan haiwan perosak, penyakit utama padi dan rumpai mencatatkan penurunan pada Musim 1/2013 berbanding musim sama tahun lalu.

Katanya, sehingga pertengahan bulan lepas, jumlah kawasan serangan haiwan perosak siput gondang emas menurun daripada 3,974 hektar kepada 445 hektar dan serangan tikus daripada 3,808 hektar kepada 1,187 hektar.

"Serangan penyakit karah padi juga menurun daripada 412 hektar kepada 18 hektar manakala keluasan kerosakan akibat padi angin pula dapat dikurangkan daripada 5,948 hektar kepada 1,005 hektar.

"Kita sedang menjalankan penyelidikan terperinci mengenai punca penurunan berkenaan termasuk mungkin disebabkan penggunaan benih padi baharu kerana masalah dalam industri padi sentiasa berubah," katanya.

Sumber: Utusan
aiu
RAIS Yatim (kiri) melawat kawasan Kampus Al-Bukhary International Universiti ketika mengadakan lawatan dan taklimat berkenan kolaborasi antara AIU dan UIAM di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

ALOR SETAR 10 September - Penubuhan satu jawatankuasa kerja dicadangkan bagi melihat peluang kerjasama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Al-Bukhary International Universiti (AIU), di sini.

Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, penubuhan jawatankuasa itu akan membolehkan pihak universiti melihat dengan lebih dekat apakah perkara-perkara utama yang boleh dikongsi memandangkan ia bertaraf antarabangsa.

"Terdapat banyak faktor persamaan yang mendorong ke arah kerjasama itu. Lagi cepat cadangan itu dimajukan kepada pihak terbabit, adalah lebih baik bagi kedua-dua universiti dan negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke AIU, di sini baru-baru ini.

Lawatan berkenaan bertujuan melihat dengan lebih dekat kemudahan prasarana serta kursus-kursus peringkat ijazah yang ditawarkan AIU.

Beliau berkata, jalinan kerjasama antara universiti itu juga sekali gus mampu menjana ke arah peningkatan kecemerlangan kedua-dua institusi pengajian tinggi itu.

Rais berkata, antara kursus-kursus yang boleh diadakan kolaborasi antara UIAM dan AIU adalah Perbankan Islam, Perdagangan Islam, Tamadun Islam, ICT dan Pengajian Komputer dan Pengajian Perniagaan.

AIU mempunyai pelajar antarabangsa dari lebih 50 negara dengan hanya 20 peratus pelajarnya merupakan rakyat tempatan yang terdiri dalam kalangan golongan miskin cemerlang dalam pelajaran.

Sumber: BERNAMA
tarifair
 
ALOR SETAR 9 September - Kerajaan Kedah tidak berhajat mengeluarkan kertas putih mengenai masalah Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) dan anak syarikatnya, Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB).

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, audit forensik yang dibuat jelas menunjukkan kemelut yang berlaku dalam Insaniah dan IHSB.

Ketika ditanya perkembangan siasatan kemelut Insaniah berikutan cadangan wakil rakyat pembangkang dalam sidang Dun baru-baru ini agar kerajaan negeri mengeluarkan kertas putih berikutan banyak pendedahan salah tadbir dan penyelewengan dalam Insaniah dan IHSB semasa pakatan pembangkang  memerintah, beliau berkata ia tidak perlu.

Mukhriz ditemui pemberita di sini hari ini selepas menyampaikan sumbangan peribadi dan zakat oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah kepada 35 pelajar negeri ini yang akan melanjutkan pengajian di tiga buah universiti di Jordan.

Mengenai tindakan undang-undang, menteri besar berkata, kerajaan negeri akan melihat keperluannya kemudian.

"Sekarang belum perlu kerana kita menghadapi masalah dengan akaun anak-anak syarikat IHSB. Nak dapat penyata kewangan yang boleh diterima pun susah," kata Mukhriz.

Mengenai pelajar Kedah, beliau berkata, seramai 156 orang yang sepatutnya melanjutkan pengajian di Mesir menerima tawaran Kementerian Pendidikan untuk belajar di universiti tempatan termasuk Insaniah.

Di samping itu sebahagian besar pelajar Kedah di Mesir masih berada di negara bergolak itu atas sebab tertentu namun kerajaan negeri tetap memantau perkembangan mereka untuk dibawa balik sekiranya perlu, kata Mukhriz.

Mengenai Rektor Insaniah yang baharu, menteri besar berkata, seorang calon tempatan telah dipilih dan akan diumumkan apabila surat pelantikannya dikeluarkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah bersetuju dengan calon itu yang akan bertanggungjawab memulihkan maruah dan martabat Insaniah dalam tempoh tiga tahun.

Terdahulu, ketika berucap kepada pelajar yang akan ke Jordan Rabu ini, Mukhriz menasihati mereka supaya menjaga hubungan baik Malaysia dengan negara tempat mereka belajar dengan tidak mencampuri urusan dalaman negara berkenaan.

"Jauhilah golongan penyebar ajaran Syiah dan politik yang tidak ada kena mengena dengan Malaysia. Belajarlah menjadi cemerlang," katanya.

Sumber: Bernama
Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
opstandaharga
Seorang peniaga (kanan) mengisi borang yang diberikan oleh pegawai penguat kuasa dalam Ops Tanda Harga yang dijalankan di tiga restoran 24 jam di Alor Setar, Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 9 September - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri Kedah semalam menjalankan operasi Ops Tanda Harga di tiga restoran yang beroperasi 24 jam.

Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri, Kelyn Bolhassan berkata, operasi tersebut dijalankan bertujuan memantau sekiranya terdapat premis makanan yang menaikkan harga berikutan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen seliter.

Katanya, operasi kedua yang dijalankan selepas pengumuman kenaikan harga minyak itu mendapati rata-rata pemilik restoran masih mengekalkan harga sama pada minuman serta makanan.

"Sebelum kenaikan harga juga kita membuat tinjauan dan operasi yang dijalankan ini akan dilakukan secara berkala untuk memastikan tiada kenaikan harga barang.

"Kita juga belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga makanan dan minuman di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi Ops Tanda Harga di sini hari ini.

Operasi lebih satu jam itu bermula pada pukul 10 pagi dengan melibatkan 12 penguat kuasa.

Kelyn berkata, selain restoran 24 jam, operasi yang sama turut dijalankan di restoran lain dan premis perusahaan makanan.

Beliau berkata, sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga barang mereka boleh disiasat di bawah Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993. Ujarnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000.

"Saya nasihatkan kepada peniaga agar tidak menaikkan harga manakala pengguna pula diminta memberikan kerjasama dengan membuat aduan sekiranya mereka rasa terdapat kenaikan harga barang," katanya.

Orang ramai di negeri ini yang ingin membuat aduan berhubung kenaikan harga barang boleh menghubungi KPDNKK Kedah di talian 04-7001800 pada waktu pejabat.

Sumber: Utusan
Oleh OPAT RATTANACHOT
ncer
KULIM 9 September - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Kedah akan menubuhkan sebuah Makmal Transformasi bagi meningkatkan lagi usaha menarik pelabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, penubuhan makmal terbabit turut dijadikan platform untuk berkongsi strategi antara kerajaan Kedah dengan NCIA untuk melipatgandakan kemasukan pelaburan asing.

"Di samping itu, makmal tersebut memainkan peranan penting bagi membolehkan pemain-pemain utama di KHTP pada masa kini menggandakan kerjasama dengan sektor kerajaan dan institusi pengajian tinggi sekitar.

"Sebagai contoh, kita boleh menggunakan kepakaran di Pusat Penyelidikan Kolaborasi Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) untuk meningkatkan strategi menarik pelabur melalui makmal itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Inovasi anjuran Infineon Technology Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Presiden dan Pengarah Urusan Infineon Technology (Kulim) Sdn. Bhd., Datuk Tan Soo Hee dan Pengurus Besar Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Mohd. Razali Husain.

Dalam perkembangan berkaitan, Redza Rafiq berkata, NCIA memperuntukkan sebanyak RM15 juta kepada Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) dan pihak berkuasa tempatannya untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur di KHTP baru-baru ini.

Beliau berkata, peruntukan tersebut antara lain bertujuan menaik taraf jalan raya, lampu isyarat dan sistem sensor automatik di taman teknologi tinggi terbabit.

"Selain itu, sebuah gelanggang futsal, badminton dan gerai makanan juga akan dibina di kawasan berkenaan dalam tempoh terdekat. Ini bukan sahaja untuk kegunaan warga industri tetapi turut meningkatkan keyakinan para pelabur sama ada yang sudah ataupun baharu membuat keputusan melabur di sini," jelasnya.

Sumber: Utusan
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
jemaahhaji
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan cenderamata dan mengucapkan selamat jalan kepada 279 orang jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama terus dari Alor Setar ke Madinah di Kompleks Tabung Haji Kepala Batas, Alor Setar, Kedah, semalam. Turut hadir, Jamil Khir Baharom dan Mukhriz Mahathir.

ALOR SETAR 9 September - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga nama baik negara sepanjang berada di Tanah Suci.

Seri Paduka bertitah, baginda tidak mahu jemaah haji Malaysia terpengaruh dengan pergolakan yang sedang berlaku di Asia Barat kerana tindakan seumpama itu boleh menjejaskan nama negara dan hubungan baik antara kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi.

"Ikutilah segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi supaya segala urusan dapat dipermudahkan serta berjalan lancar," titah baginda semasa berangkat menyempurnakan Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1434 Hijrah Wilayah Utara di Kompleks Haji dan TH Hotel di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji menerusi penerbangan terus julung kali dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini ke Madinah.

Sebanyak lima penerbangan berlepas terus dari Alor Setar ke Madinah pada musim haji kali ini melibatkan 1,400 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) B777 bermula hari ini dan berakhir pada 13 September ini.

Berangkat sama Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Yang turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Fahad A. H. Al-Rashid.

Tuanku Abdul Halim turut menasihatkan bakal jemaah haji agar memberikan tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur.

Titah baginda, para jemaah haji memerlukan pengorbanan tinggi dari segi mental, fizikal dan spiritual di samping penjagaan kesihatan dan kebersihan diri serta sekeliling yang baik.

Dalam pada itu, baginda mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji dan agensi terlibat khususnya Kerajaan Kedah yang memberikan kerjasama untuk menjadikan penerbangan terus dari Alor Setar ke Madinah menjadi satu realiti.

Tuanku Abdul Halim juga mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas komitmennya untuk mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji.

"Ini terbukti dengan penerbangan terus ke Tanah Suci dan terbinanya Kompleks Haji yang baharu untuk kemudahan para jemaah haji. Beta berharap Kompleks Haji dan TH Hotel yang beroperasi sepenuhnya pada musim haji tahun ini mampu memberikan lebih kemudahan, kelancaran dan keselesaan kepada bakal jemaah haji dalam urusan pelepasan," titah baginda.

Seri Paduka turut menyeru agar semua umat Islam Malaysia bersyukur kerana negara ini mempunyai sebuah organisasi seperti Tabung Haji yang menjadi salah satu ikon negara selain menjadi contoh kepada negara-negara Islam di seluruh dunia.

Sumber: Utusan
Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
 
ktpc
Mukhriz Tun Mahathir berbangga dengan kecekalan Naimah Abdul Rashid terpaksa bertongkat untuk naik ke pentas utama bagi menerima Diploma Akuantansi (Perdagangan) di majlis Konvokesyen Ke- 13 Politeknik Seberang Perai di Seberang Perai, Pulau Pinang, kelmarin.

BUKIT MERTAJAM 8 September - Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC), terus menerima suntikan pelaburan yang besar mencecah RM10 bilion berdasarkan persetujuan beberapa syarikat dari luar negara yang mahu melabur di kawasan itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, beberapa syarikat dari luar negara telah bersetuju untuk membeli tanah-tanah di situ seluas lebih 400 hektar bagi membina kilang masing-masing.

“Perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif kerana KTPC berterusan menarik minat pelabur dalam bidang teknologi tinggi seperti tenaga solar dan elektrik. Ini sekali gus melonjak imejnya sebagai kawasan pelaburan teknologi tinggi terbaik di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan upacara menandatangani surat hasrat antara Politeknik Seberang Perai (PSP) dengan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd .(KTPC), dan Tes Consultancy Sdn. Bhd., di sini semalam.

Terdahulu, Mukhriz turut menyempurnakan majlis konvokesyen ke-13 PSP yang menyaksikan seramai 1,481 orang graduan menerima diploma manakala lima lagi menerima sijil masing-masing.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, ketika ini kerajaan negeri sedang merangka satu makmal transformasi bagi menarik lebih banyak pelaburan dalam negeri (FDI) yang akan melonjakkan lagi pertumbuhan ekonomi Kedah dan satu pengumuman penting mengenai makmal itu akan dibuat dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai bidang pelaburan utama di KTPC, Mukhriz berkata, kawasan itu masih memfokuskan bidang-bidang teknologi tinggi seperti semi konduktor, tenaga boleh diperbaharui dan industri peranti farmaseutikal dan perubatan.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Pembangunan Industri dan Penyelidikan KTPC, Annuar Mohd. Saffar berkata, pelabur dari Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman terus menunjukkan minat menjadikan Kulim sebagai lokasi pelaburan mereka.

“Dijangkakan lebih 9,000 peluang pekerjaan baharu akan turut ditawarkan. Ketika ini sudah lebih 80 syarikat berada di situ dengan nilai pelaburan mencecah RM30 bilion," katanya.

Sumber: Utusan
Kuala Kedah

ALOR SETAR 4 September - Buat pertama kali dalam tempoh lima tahun, kerajaan negeri Kedah menjangka memperoleh pendapatan berlebihan bagi tahun 2013, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Menurutnya, perolehan itu disumbangkan oleh hasil cukai tanah yang dijangka mencapai RM200 juta tahun ini manakala cukai taksiran lain dijangka meningkat hasil tindakan memperkemaskan sistem kutipan.

"Bajet tahun lepas mensasarkan pendapatan bagi tahun ini sebanyak RM640 juta tetapi kita jangka angka itu akan meningkat sedikit," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mukhriz berkata, perkembangan positif itu hasil Makmal Transformasi yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk membangunkan negeri melalui idea baharu membabitkan pihak berkepentingan.

Beliau turut mengumumkan Kota Perdana dalam kawasan industri Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan menjadi Taman Sains untuk menempatkan industri berteknologi baharu di Kedah.

"Taman Sains ini dirancang bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat serta menggalak perdagangan dan industri pelancongan dua hala Malaysia-Thailand.

"Kewujudannya akan membuka peluang untuk industri kecil dan sederhana tempatan berkembang manakala perdagangan dan industri pelancongan merentas sempadan Malaysia-Thailand berkembang," katanya.

Bagaimanapun, Mukhriz tidak menyatakan jangka masa pembangunan Taman Sains itu namun menjelaskan usaha menarik pelaburan bermula dengan menemui pelabur asing luar negara dalam masa terdekat.

Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan serta Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail akan mewakili kerajaan negeri membentangkan kertas kerja mengenai 'Bandaraya Getah' di Kota Putra, Padang Terap kepada pelabur China di Yunan, Oktober ini.

"Selain bertanggungjawab menerangkan peluang pelaburan di Kota Putra, Ku Abdul Rahman juga akan berusaha menarik pelaburan ke Taman Sains Kota Perdana," kata Mukhriz.

Katanya, mesyuarat Exco hari ini juga membuat keputusan agar kerajaan negeri meneruskan permohonan bantuan kewangan daripada Kerajaan Pusat untuk menyediakan prasarana mencukupi seperti jalan dan jambatan bagi menyokong pelaburan baharu.

Sumber: BERNAMA
tarifair

ALOR SETAR 5 September - Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) diminta membuat kajian dan mengesyorkan satu kadar rata tarif air yang kompetitif untuk digunakan secara seragam bagi semua akaun kilang di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) bermula 1 Ogos tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, penyeragaman kadar tarif air itu dipohon Persatuan Pengusaha Syarikat Perindustrian Kulim (KITA) dalam perbincangan dengan wakil kerajaan negeri baru-baru ini ekoran kadar yang berbeza ketika ini.

"Kita berharap ada satu kadar yang seragam dan mesti kompetitif jika dibandingkan dengan negeri jiran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Menurut Mukhriz, hasil perbincangan itu juga, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan kadar tarif air kategori T3 (bermula RM1.05 satu meter padu) kepada 21 akaun melibatkan 15 kilang yang selama ini mendapat keistimewaan sehingga 31 Julai tahun depan.

Kata beliau, bermula 1 Ogos 2014, SADA akan mengguna pakai tarif air kategori T4 untuk semua pengilang di KHTP termasuk 21 akaun yang menikmati kadar tarif istimewa itu.

"Bagaimanapun SADA diminta membuat kajian dan mengesyorkan satu kadar tarif air bermula tarikh itu," ujar beliau.

Tambahnya, pengumuman mengenai tarif air itu dibuat supaya kilang-kilang di KHTP dapat merancang dari segi kos operasi melibatkan penggunaan air sekali gus mengelakkan kekeliruan mengenainya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, menerusi Program Transformasi Ekonomi Sempadan (BETP) melibatkan kawasan sempadan Kedah dengan Thailand, Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan menjadi kawasan industri baharu.

Katanya, kerajaan negeri mengharapkan kawasan tersebut menjadi taman sains dan teknologi yang akan menarik pelaburan dari seluruh dunia dalam teknologi terkini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan berteraskan teknologi.

"Kita juga mahu menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai kawasan perdagangan dan perniagaan supaya pelancong yang menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand dapat membeli belah di situ.

"Ini memberi peluang perniagaan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan untuk menjual produk mereka," katanya.

Mengenai perkembangan rancangan pembangunan bandar raya getah di Padang Terap, Mukhriz berkata, wakil kerajaan negeri akan membentangkan kertas kerja mengenainya di China pada bulan depan.

Kata beliau, bagi menerangkan kepada pelabur-pelabur di sana mengenai peluang yang diwujudkan di bandar raya getah berkenaan dengan harapan mereka menempatkan pelaburan berkaitan dengan getah di kawasan itu.

Sumber: Utusan
Oleh SAFINA RAMLI
karyasastera

MUKHRIZ Mahathir mendeklamasi puisi sambil diiringi petikan gitar Ramli Sarip sempena Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Alor Setar, malam semalam.

ALOR SETAR 3 Sept. - Hasil karya sastera sebagai cabang budaya wajar dimartabat secara kolektif untuk menjadi sebahagian pengisian bulan kemerdekaan di negara ini serta menjadi pemangkin menyemai semangat cintakan negara.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, oleh itu usaha komprehensif dan inovatif perlu dilakukan bagi melahirkan generasi muda yang kreatif supaya dapat meneruskan legasi pembinaan masyarakat melalui puisi.

"Puisi seharusnya menjadi cerminan keperibadian masyarakat negeri Kedah yang berbudaya luhur kerana tema yang dizahirkan penyair berbeza antara satu sama lain, namun persoalan manusia sejagat, permasalahan sosial dan perkembangan politik dapat digarap dan dihayati bersama.

"Setiap penyair yang memasuki dunia kreatif menuju destinasi yang sama tetapi menggunakan kaedah berbeza. Apabila puisi dan lagu bersatu, keharmoniannya dapat kita rasai dalam getaran jiwa yang memberi rangsangan kepada sebuah masyarakat madani," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Malam Puisi dan Lagu Bulan Kemerdekaan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah di Pumpong, di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, Mukhriz turut menunjukkan bakat berpuisi dengan mendeklamasikan puisi bertajuk Kedah Aman Makmur nukilan Abdul Mutalib Abdul Rahman sambil diiringi petikan gitar oleh Ramli Sarip.

Selain Mukhriz, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar turut mendeklamasi puisi.

Turut mendeklamasikan puisi ialah Puzi Hadi, Azmi Ismail, Suliha Yusuf, Khalid Salleh dan penonton turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Ramli Sarip dan kumpulan Kopratasa.

Menurut Mukhriz, program yang dianjurkan JKKN itu dilihat berupaya memberi nilai tambah terhadap kemeriahan bulan kemerdekaan melalui aktiviti seni dan budaya.

"Program pembudayaan bahasa melalui puisi taktala seluruh negara meraikan bulan kemerdekaan adalah langkah yang dianggap bertepatan.

"Malam ini satu lagi sejarah akan dirakam lantaran puisi sebagai artifak budaya yang tidak ternilai harganya memberi kefahaman bagaimana tamadun masyarakat berkembang," ujarnya.

Sumber: Utusan
eidaman
ALOR SETAR 2 September - Environment Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) melabur kira-kira RM2 juta bagi menjalankan operasi kitar semula di seluruh daerah ini di sebuah pusat kitar semula di Tajar di sini selewat-lewatnya November tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mhd. Saiful Anuar Zainal berkata, pusat kitar semula seluas 0.8 hektar dan dilengkapi peralatan canggih serta moden itu bakal menjadi pusat pengumpulan dan pengasingan bahan buangan yang boleh dikitar semula untuk penduduk di daerah ini.

Katanya, pusat kitar semula yang beroperasi secara sistematik itu adalah yang pertama di negara dan program baharu E-Idaman tersebut dijangka mampu menyemai sikap mengitar semula barang buangan dalam kalangan masyarakat.

"E-Idaman juga akan mewujudkan pusat pengumpulan kecil di semua lokasi taman perumahan untuk memudahkan orang ramai mengumpul bahan buangan yang boleh dikitar semula.

"Barang yang sudah diasingkan sendiri oleh orang ramai itu kemudiannya akan dibawa ke pusat kitar semula di Tajar untuk proses pengasingan dan pembungkusan yang lebih teliti," katanya selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri E-Idaman di Kedah Royal Club di sini hari ini.

Menurutnya, menerusi program itu, E-Idaman tidak akan membayar barangan kitar semula itu dengan wang tunai, sebaliknya menawarkan insentif yang sesuai kepada komuniti terlibat seperti kawalan keselamatan, tuisyen percuma untuk pelajar sekolah, khidmat landskap dan sebagainya.

"Ini adalah penglibatan komuniti yang mana ketua kampung atau Jawatankuasa Keselamatan, Kemajuan dan Kebajikan Kampung (JKKKK) menjadi penyelaras program kitar semula ini," ujarnya.

Katanya, program yang bermula di Alor Setar itu akan diperluaskan ke daerah lain iaitu Sungai Petani, Kulim dan Langkawi seterusnya, ke Perlis secara berperingkat.

"Dengan adanya program kitar semula ini, dapat membantu negara mencapai sasaran 22 peratus tahap kitar semula menjelang 2020 berbanding hanya sembilan peratus pada masa ini," tambahnya.

Sumber: Utusan
Ketua-Polis-Kedah-Datuk-Ahmad-Ibrahim
ALOR SETAR 1 September - Indeks jenayah di Kedah menurun sebanyak 12 peratus dalam tujuh bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam tempoh sama juga sebanyak 5,214 kes dicatatkan berbanding 5,933 kes pada tahun lalu.

"Bagi kes yang diselesaikan untuk Januari sehingga Julai lalu adalah sebanyak 2,199 kes berbanding 2,777 kes tahun lalu.

"Jenayah kekerasan mencatatkan sebanyak 1,117 kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 1,153 kes dengan kadar penurunan sebanyak 3.12 peratus.

"Penurunan indeks jenayah ini adalah kerana kita telah menyelesaikan banyak kes kecurian kenderaan sekali gus membendung jenayah lain berkaitan," katanya selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman mulai 9 September ini dan tempat beliau diambil alih Datuk Zaleha Abdul Rahman berkuat kuasa hari ini.

Zaleha sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan Pentadbiran Bukit Aman.

Abdul Ghafar mula berkhidmat di negeri ini pada 2007 sebagai Ketua Jabatan Pengurusan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Daerah Kota Setar pada 2008 seterusnya menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Kedah pada 2010.

Sumber: Utusan