tunkuanuar

Tunku Annuar Sultan Badlishah meletakkan kalungan bunga sempena Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Kedah 2013 di Tugu Peringatan Jalan Tunku Bendahara, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

ALOR SETAR 31 Julai - Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah hari ini berangkat ke majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Kedah 2013 di Tugu Peringatan Jalan Tunku Bendahara di sini.

Dalam majlis itu, Tunku Annuar turut mencemar duli meletak kalungan bunga pada istiadat penuh bermakna tersebut.

Yang turut berangkat, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Yang hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang turut menyertai Tunku Bendahara meletak kalungan bunga.

Turut meletak kalungan bunga dalam istiadat itu ialah Pengerusi Kerajaan Tempatan, Bekalan Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim, selaku Pengerusi Jawatankuasa majlis dan Panglima 6 Briged, Brigidier Jeneral, Datuk Zulkapri Rahamat.

Terdahulu, Kapten Mohd. Syazwan Najmi Kamaludin daripada Batalion 165 Risik Tentera Darat mendeklamasi sajak bertajuk Pahlawan sebaik sahaja tiupan Last Post bergema.

Hari Pahlawan disambut setiap 31 Julai sejak 1960-an bagi memberi peluang kepada rakyat menghargai pengorbanan anggota perajurit yang terkorban demi mempertahan dan menegakkan kedaulatan negara.

Sumber: Utusan
insanintelektual

Mohd. Tajuddin Abdullah (empat dari kanan), Kamaruddin Che Ismail (tiga dari kanan) dan Mahadzir Hamid (dua dari kanan) bergambar bersama para pemenang Anugerah Desa Cemerlang Kemas peringkat Kedah di Masjid Al-Falah, Jeneri, Sik, kelmarin.

SIK 29 Julai - Kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran dan modal intelektual dalam usaha melahirkan insan berkualiti di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, ini termasuk ilmu sains, teknologi, keusahawanan, pembudayaan sikap progresif dan nilai etika serta moral tinggi.

Kata beliau, salah satu faktor yang menyebabkan kemiskinan luar bandar bukan hanya disebabkan kemiskinan fizikal semata-mata tetapi kerana kemiskinan minda.
"Kemiskinan minda dan sikap inilah yang menjurus kepada kemiskinan fizikal kerana insan tidak berupaya untuk berfikir mencari jalan keluar memajukan diri mereka," katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri di Masjid Al-Falah, Jeneri di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Kemas negeri, Kamaruddin Che Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Hamid.

Kampung Kuala Kerik di Jeneri dinobatkan sebagai johan pertandingan itu sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta sijil. Kampung itu juga akan mewakili Kedah ke pertandingan peringkat kebangsaan dari 10 hingga 25 Ogos ini.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, program yang diadakan mampu merapatkan hubungan antara anggota masyarakat, pemimpin tempatan dan jabatan-jabatan kerajaan.

Usaha itu juga berupaya mewujudkan sikap saling membantu dan toleransi yang menjadi pemangkin kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Apabila masyarakat bersatu maka mudahlah kerajaan merancang dan membawa kemajuan terutama kepada penduduk di luar bandar untuk keluar dari kepompong kemiskinan," katanya.

Sumber: Utusan
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
brgrayadiskaun
Ahmad Bashah (dua dari kanan) berbual sesuatu dengan seorang peniaga dalam program Jom Beli Barangan Raya 2013 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, kelmarin.

ALOR SETAR 29 Julai - Orang ramai berpeluang mendapatkan barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri pada harga diskaun sehingga 30 peratus pada program Jom Beli Barangan Raya 2013 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

Program yang berlangsung selama 10 hari itu adalah anjuran Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah bermula 26 Julai lalu hingga 4 Ogos ini.

Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, program tersebut adalah inisiatif kementerian untuk mengurangkan beban rakyat pada musim perayaan selain melaksanakan harga kawalan barangan keperluan.

"Pelbagai barangan yang dijual terus dari kilang ditawarkan pada harga lebih rendah dari pasaran bagi meringankan beban rakyat untuk menyambut Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program itu semalam. Hadir sama Pengarah KPDNKK Kedah, Mohd. Sakri Saleh.

Jom Beli Barangan Raya yang menawarkan pelbagai pilihan barangan berupa perabut, barangan elektrik, pakaian, kuih muih, permaidani dan aksesori wanita dibuka pada pukul 11 pagi hingga 11 malam.

Dalam pada itu, Mohd. Sakri memberitahu, program kali kedua itu disertai 36 syarikat dan peniaga dari Kedah, Perlis serta Pulau Pinang.

Katanya, pada tahun lepas, pihaknya mengadakan program itu selama lima hari dengan lebih 2,000 orang pengunjung dan nilai jualan RM250,000.

"Pada tahun ini penganjur memanjangkan tempoh program sehingga 10 hari dengan sasaran jualan melebihi RM500,000. Orang ramai perlu mengambil kesempatan untuk memperoleh barangan pada harga patut," katanya.

Sumber: Utusan
felcra

ALOR SETAR 29 Julai - Felcra Berhad (Felcra) hari ini menyerahkan dividen keuntungan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Menteri Besar Incorporated (MBI) kepada kerajaan negeri berjumlah RM33.13 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2010.

Penyerahan itu dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ramlee Abu Bakar kepada Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Yang hadir sama menyaksikan majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah dan Pengurus Besar Wilayah Utara Felcra, Mohamed Ismi Abdul Majid.

Ramlee berkata, dividen itu adalah hasil keuntungan Felcra yang membangunkan 2,287 hektar tanah milik MBI menerusi 13 projek tanaman getah dan sawit antaranya di Langkawi, Baling, Pendang, Sik, Pokok Sena serta Padang Terap.

"Projek-projek ini dibangunkan secara berperingkat dengan lapan daripadanya kini dalam proses untuk ditanam semula dan lima lagi sudah pun ditanam semula.

"Pengagihan dividen berdasarkan perjanjian yang ditandatangani pada 2007," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Menurut Ramlee, pembayaran dividen dilakukan Felcra kepada MBI sejak 2007 melibatkan jumlah keseluruhan RM45.3 juta dan penyerahan kali ini adalah yang terbesar.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kira-kira 5,800 peserta Felcra di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang menerima 'duit raya' sebanyak RM6.69 juta apabila agensi tersebut mengagihkan keuntungan interim pertama bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, pengagihan dividen itu melibatkan Kedah sebanyak RM4.2 juta, Perlis (RM2 juta) dan Pulau Pinang RM470,000.

Sumber: Utusan
MITI

Mustapa mencuba model baru motosikal KTM 690 R selepas merasmikannya di Kilang KTM Motonation Manufacturer Sdn Bhd di Jitra. - Foto Sharul Hafiz Zam

Alor Setar 29 Julai - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyokong permohonan Kerajaan Kedah mendapatkan peruntukan RM50 juta bagi menaik taraf khidmat bekalan air ke Bandar Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Inisiatif itu selaras pembangunan fasa keempat KHTP yang dijangka siap sepenuhnya Julai tahun depan sekali gus menambah keperluan bagi meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 170 juta liter sehari sedia ada kepada 200 juta liter sehari demi memastikan keperluan pelabur terus terjamin.

Sokongan MITI itu dinyatakan pada mesyuarat jawatankuasa bersama penyelaras industri dengan Kerajaan Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, selepas meneliti keperluan untuk membantu industri berkaitan yang menjadi tulang belakang KHTP selama ini.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kementerian juga pernah dikunjungi wakil pelabur dua tahun lalu yang meminta bantuan meningkatkan kapasiti air bagi menampung keperluan mereka sebelum masalah itu diselesaikan Datuk Mukhriz Mahathir, yang ketika itu timbalannya.

“Namun, selaras pembangunan fasa keempat KHTP di kawasan seluas 162.4 hektar, air dilihat antara keperluan utama yang perlu dipertingkatkan bagi menampung jumlah pelabur yang bakal bertambah. Dalam beberapa perkara dibincangkan termasuk infrastruktur KHTP, ada permohonan dari kerajaan negeri supaya bekalan air dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz yang kini Menteri Besar Kedah, berkata kerajaan negeri juga mendapat kerjasama baik MITI dalam beberapa perkara lain membabitkan pembangunan Bandar Getah di Padang Terap.

Sumber: Berita Harian
mukhrizantisyiah

JITRA 29 Julai - Enakmen anti-Syiah akan dimasukkan ke dalam undang-undang tubuh kerajaan Kedah dalam masa terdekat sebagai respons kepada reaksi positif masyarakat yang turut menentang fahaman Syiah, kata Timbalan Mufti Kedah Syeikh Marwazi Dziyauddin.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir telah mengarahkan supaya disegerakan pelaksanaan enakmen itu bagi membolehkan tindakan dikenakan terhadap pengikut Syiah yang menyebarkan fahaman sesat itu menerusi pelbagai cara.

Tindakan akan diambil paling cepat selepas Hari Raya, katanya ketika ditemui pada mesyuarat Jawatankuasa Gabungan Institusi Pondok, Maahad Tahfiz dan Ilmuan Sunni (Giptis) di sini malam tadi.

Beliau mengulas pengumuman Mukhriz baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu daripada menular dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Giptis Dr Abd Aziz Hanafi sementara itu mahu kerajaan mengkaji semula kurikulum Pendidikan Islam sedia ada dalam usaha mengekang fahaman Syiah yang dipercayai turut menular dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata misi dan falsafah subjek Pendidikan Islam perlu diperbaharui bermula di peringkat prasekolah agar pelajar tidak terpengaruh dengan amalan Syiah yang bertentangan dengan ajaran Islam.

"Kita minta kerajaan kaji semua silibus yang ada. Kita boleh minta ilmuan Sunni menulis semua sejarah Islam dan memartabatkan sahabat -sahabat Nabi yang tidak diiktiraf oleh Syiah.

"Kita mahu melihat mata pelajaran tersebut lebih berkesan dan misi, falsafah, kurikulum, silibus yang diajar di semua peringkat pengajian termasuk institut pengajian tinggi dilaksanakan mengikut kehendak Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Abd Aziz berkata pihaknya turut mengalu-alukan ilmuan Sunni dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bekerjasama dengan Giptis dalam usaha menentang habis-habisan fahaman Syiah yang bergerak secara diam-diam.

Beliau berkata pihaknya akan menganjurkan seminar pemantapan akidah untuk masyarakat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah agar tidak mudah diseleweng oleh fahaman Syiah dan ajaran sesat yang lain.

Sumber: Bernama
ibutunggal

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

Tunku Nafisah Sultan Badlishah (dua kiri) bertanya sesuatu kepada Sopiah Yaakob yang mengalami kecacatan setelah terlibat dalam kemalangan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2013 di Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 28 Julai - Seramai 170 penduduk terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas dari daerah Baling, Sik, Yan dan Kuala Muda dipilih menerima duit raya RM300 seorang daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dalam satu majlis di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Biro Kebajikan YSB, Datuk Tunku Nafisah Sultan Badlishah menyampaikan sumbangan itu dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Hari Aidilfitri 2013.

Program anjuran YSB itu adalah kali ke-14 diadakan dan pada tahun lalu, seramai 185 penduduk di daerah Kota Setar, Pendang, Padang Terap dan Kubang Pasu menerimanya.

Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid berkata, penyampaian sumbangan kepada para penerima itu dilakukan lebih awal bagi membolehkan mereka membuat persediaan untuk menyambut bulan Syawal tidak lama lagi.

Katanya, mereka yang menerima sumbangan itu adalah golongan miskin dan sebanyak RM55,000 diperuntukkan bagi membiayai program berkenaan.

Seorang warga emas, Sopiah Samad, 67, dari Simpor Besar berkata, dia gembira kerana dipilih oleh pihak YSB untuk menerima sumbangan tersebut.

"Wang sumbangan itu boleh digunakan untuk membeli keperluan hari raya," katanya.

Sumber: Utusan
sumbanganramadhan

Dari kiri, Badrul Hisham Hashim, Mahdzir Khalid dan Ghazali Ibrahim menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada golongan kurang bermampuan di Padang Terap, Kedah, semalam.

PADANG TERAP 27 Julai - Seramai 1,900 orang dari sekitar kawasan Parlimen ini menerima sumbangan keperluan harian yang diusahakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim di sini hari ini.

Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di pekarangan rumah Ghazali itu merupakan amal jariah dilakukan beliau sempena Ramadan sejak tujuh tahun lalu.

Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Padang Terap merangkap Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim.

Penerima terdiri daripada ibu tunggal, golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), veteran UMNO dan anak yatim diberikan sumbangan beras, kain pelekat atau batik dan duit raya.

Menurut Ghazali, barangan keperluan harian itu adalah hasil sumbangan beberapa pihak termasuk badan korporat bertujuan meringankan beban mereka pada Ramadan dan menjelang Syawal tidak lama lagi.

"Sumbangan ini juga antara lain bertujuan memberi keceriaan kepada penduduk pada bulan mulia ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, menerusi program itu dapat memupuk silaturahim serta perpaduan dalam kalangan penduduk apabila mereka saling beramah mesra dan bertanya khabar.

"Perpaduan adalah elemen penting dalam pembangunan khususnya di kawasan ini yang memerlukan lebih banyak kemudahan asas termasuk jalan raya," katanya.

Sumber: Utusan
Ketua-Polis-Kedah-Datuk-Ahmad-Ibrahim

ALOR SETAR 24 Julai - Polis akan memberi tumpuan kepada lima lokasi panas di negeri ini dengan menambah jumlah anggota sukarelawan polis di kawasan itu bagi membantu mencegah berlakunya jenayah.

Sukarelawan polis itu akan dibahagikan mengikut jumlah yang sesuai di lima lokasi tersebut iaitu Kubang Pasu, Kulim, Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, sukarelawan polis akan membantu anggota sedia ada dan mereka akan diberikan latihan yang secukupnya untuk melaksanakan tugas dengan baik.

"Ketika ini terdapat kira-kira 737 anggota sukarelawan polis di Kedah dan mereka telah menjalani kursus latihan asas polisdi Langkawi.

"Pertambahan jumlah anggota sukarela ini kita dapat mantapkan lagi pencegahan jenayah di kawasan panas yang menjadi tumpuan iaitu Kubang Pasu, Kulim, Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tamat Latihan Sukarelawan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Komandan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia Kedah, Supritendan Rozali Abd. Ghani.

Menurutnya, semua ketua polis daerah juga akan memberi latihan yang sesuai kepada sukarelawan polis yang ditempatkan di daerah masing-masing agar kemahiran mereka dapat ditingkatkan.

"Sukarelawan polis adalah keluarga kita dan saya bertanggungjawab ke atas mereka jadi saya mahu semua yang diberi tugas melaksanakannya dengan baik.

"Saya akan jaga kebajikan mereka dan apa yang polis terima akan saya cuba usahakan agar mereka juga dapat serta saya akan pantau tahap disiplin mereka," jelasnya.

Tambah Ahmad, jumlah anggota sukarelawan polis itu juga akan ditambah mengikut kekosongan yang ada.

Sumber: Utusan
kukuhpegangan

DR. Mahathir Mohamad menyampaikan sumbangan kepada guru-guru al-Quran sukarela di Masjid Ar-Rahman, Kampung Melele, Jerlun, Kedah, kelmarin. Turut hadir Mukhriz Mahathir (dua kanan). - BERNAMA

JERLUN 23 Julai - Ibu bapa dan guru agama diminta menyemai dengan mendalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dalam kalangan anak-anak di peringkat awal usia bagi membolehkannya dijadikan pegangan kukuh ketika dewasa kelak.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kegagalan berbuat akan demikian dikhuatiri menyebabkan mereka mudah dipengaruhi ajaran lain seperti Syiah atau ajaran sesat yang akan memecah belahkan masyarakat Islam.

“Jika kita tidak semai dengan mendalam sehingga kukuh iman mereka, saya khuatir masyarakat Islam terbahagi kepada dua dan bermusuh sesama mereka," katanya.

Beliau berucap dalam majlis penyampaian sumbangan kepada 628 guru al-Quran sukarela dan bidan kampung peringkat daerah Kubang Pasu serta majlis berbuka puasa di Masjid Ar-Rahmah, Kampung Melele, di sini semalam.

Dalam majlis itu, Yayasan Harmoni menerusi Pengarah Eksekutifnya, Datuk Mohd. Radzuan Abdullah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk diagihkan kepada golongan asnaf dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Hitam.

Yang hadir sama, isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan isteri beliau, Datin Norzieta Zakaria.

Dr. Mahathir berkata, peredaran zaman dan kemajuan teknologi seperti kewujudan internet yang membolehkan pelbagai cerita atau maklumat diperoleh dengan mudah mengakibatkan orang ramai senang terpengaruh dengan sesuatu perkara walaupun ia tidak baik.

“Ini keadaan yang harus difahami kerana jika tidak kuat iman kita boleh terpesong dari jalan yang benar," katanya.

Sumber: Utusan
tunm

Dr. Mahathir Mohamad mencuba songkok kegemarannya sambil diperhatikan pemilik kedai Songkok Style Tun, Sardi Dahar ketika membeli-belah di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, semalam. - UTUSAN/ KAMAL BASIR

ALOR SETAR 22 Julai - Para peniaga di kompleks beli-belah Pekan Rabu di sini, dinasihatkan menjadikan pengalaman berniaga di situ sebagai batu loncatan memajukan perniagaan masing-masing.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mereka tidak boleh sekadar berpuas hati berniaga di situ tetapi perlu menjadikan kompleks perniagaan tersebut sebagai platform untuk belajar dan mengembangkan perniagaan.

Katanya, mereka perlu mencari banyak peluang untuk berkembang maju dalam bidang berkenaan.

"Saya tidak mahu orang berniaga di sini kekal sampai mati dan diwariskan kepada anak sebaliknya Pekan Rabu ini adalah tempat mereka belajar berniaga.

"Selepas itu mereka kena cari peluang-peluang lain untuk berkembang maju dengan menggunakan pengalaman yang diperoleh di sini," katanya kepada pemberita selepas membeli-belah di kompleks itu hari ini.

Beliau yang pernah berniaga di situ diiringi Pengerusi Koperasi Pekan Rabu, Azmi Shahab meluangkan masa lebih sejam membeli pelbagai kuih tradisional selain menempah baju Melayu.

Dr. Mahathir berkata, Pekan Rabu merupakan lokasi beli-belah yang berjaya dan boleh dikembangkan ke seluruh negara supaya menjadi jenama terkenal.

"Trend Pekan Rabu ini boleh diguna di tempat-tempat lain supaya orang tahu Pekan Rabu ada di mana-mana," ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu turut mengesyorkan Pekan Rabu yang akan dibina semula membuat pengubahsuaian dari aspek reka bentuk melibatkan kedudukan tingkat bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada pengguna.

Sebelum ini, Kerajaan Pusat memperuntukkan RM55.58 juta untuk membina semula Pekan Rabu yang merupakan mercu tanda ikonik Kedah berusia lebih 93 tahun.

Kompleks perniagaan serba moden itu bakal dibina setinggi enam tingkat melibatkan empat tingkat lot perniagaan manakala dua tingkat lagi digunakan sebagai tempat meletak kereta.

Sumber: Utusan
modelbarujkkk

Oleh SAHBULAH DARWI dan SAFINA RAMLI

NAJIB Tun Razak memberi sumbangan kepada anak-anak yatim sambil diiringi Mukhriz Tun Dr. Mahathir sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kedah di Dewan Wawasan Kubang Pasu, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

KUBANG PASU 21 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan melaksanakan model baharu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memperkasakan kepimpinan akar umbi itu di seluruh negara mulai tahun depan.

Perdana Menteri berkata, model baharu itu antara lain menetapkan syarat had umur maksimum yang munasabah bagi individu berkhidmat iaitu tidak lebih daripada 65 tahun.

"Had umur yang ditetapkan adalah munasabah, lebih tinggi daripada had umur pesara awam.

"Kalau dah sampai 70 tahun dan tinggal dua batang gigi sukar pula nak buat kerja, umur 60 tahun pula masih bertenaga jadi umur 65 tahun ini sesuai," katanya ketika berucap dalam majlis berbuka puasa Perdana Menteri Bersama JKKK Kedah di Dewan Wawasan di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharum serta kenamaan lain.

Menurut Najib, antara ciri-ciri lain yang terkandung dalam model baharu tersebut adalah sesi latihan bagi menambah ilmu serta keberkesanan kepimpinan peringkat JKKK.

"Elaun mesyuarat untuk JKKK juga akan kita kaji semula dari semasa ke semasa mengikut kemampuan kerajaan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, tempoh jangka hayat perkhidmatan JKKK yang sepatutnya tamat pada Jun lalu akan dipanjangkan sehingga akhir tahun.
Dalam pada itu, katanya, semua JKKK di Kedah perlu membantu kepimpinan Mukhriz agar segala perancangan pembangunan untuk negeri ini berada di landasan yang betul.

"Saya berharap setiap JKKK yang dilantik akan memainkan peranan sepertimana yang digariskan. Fungsi JKKK ialah untuk menjadi tiang utama yang dapat tegakkan kerajaan negeri untuk membela rakyat," katanya.

Sementara itu, kata Najib, kerajaan Pusat akan memberi komitmen sebanyak 110 peratus kepada kerajaan negeri Kedah dalam usaha memajukan negeri itu setanding negeri-negeri jiran yang lain.

"Saya umumkan sebagai Perdana Menteri adalah menjadi tanggungjawab saya kalau rakyat dah bagi sokongan kepada Barisan Nasional (BN), saya akan bagi 110 peratus komitmen.

"Kalau tidak mampu saya gagahi diri juga supaya rakyat Kedah dapat melihat bahawa sokongan mereka terhadap BN adalah tepat," jelasnya.

Sementara itu, Najib kemudian menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah di Masjid Al-Muttaqin di Bandar Darulaman, Jitra dekat sini. Najib seterusnya menikmati moreh serta bersalaman dengan para jemaah sebelum meninggalkan masjid itu.

Sumber: Utusan
jgnpertikaifatwa

Mukhriz Tun Dr. Mahathir menyaksikan kesan kebakaran asrama sempena kunjungan beliau ke Maahad Tahfiz Al-Barakah, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. - utusan/Abd. Razak Osman

SUNGAI PETANI 21 Julai - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang menetapkan shisha adalah haram tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, umat Islam khususnya penghisap shisha perlu menerima keputusan itu secara terbuka tanpa membuat pelbagai andaian tentangnya.

"Lagipun menghisap shisha jika diteruskan boleh menyebabkan penyakit," katanya kepada pemberita selepas melawat Maahad Tahfiz Al-Barakah (Mantap), Tikam Batu di sini semalam.

Bangunan asrama pelajar Mantap musnah dalam satu kebakaran 15 Jun lalu mengakibatkan seorang pelajarnya, Aiman Nur Hakim Yahya, 13, meninggal dunia.
Pada lawatan itu, Mukhriz memberi sumbangan peribadi RM10,000 bagi membolehkan pihak pengurusan membina asrama baharu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sementara itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau aktiviti ajaran Syiah di negeri ini bagi memelihara akidah umat Islam.

Ketika berucap dalam majlis itu, beliau meminta pelajar menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan berusaha menjejak kaki ke pusat pengajian tinggi disediakan oleh kerajaan.

"Mereka juga boleh menceburi bidang lain yang lebih mencabar selepas menamatkan pengajian nanti," katanya.

Pengerusi maahad itu, Mazlan Osman mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang sanggup menghulurkan bantuan selepas kejadian kebakaran itu.

"Sehingga ini kita berjaya mengumpul lebih RM300,000 dan pembinaan bangunan asrama baharu perlu dilakukan untuk memastikan pelajar boleh tinggal di tempat lebih selesa," katanya.

Sumber: Utusan
kuliahagamaMB

Oleh: SAHBULAH DARWI

ALOR SETAR 21 Julai - Langkah kerajaan negeri mahu mewartakan sekatan penularan Syiah di negeri ini adalah bertepatan dengan kehendak Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tidak membenarkan umat Islam mengamalkan ajaran bercanggah dengan pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah.

Mufti negeri, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad (gambar) berkata, Tuanku Abdul Halim yang juga Sultan Kedah pernah beberapa kali menegaskan perkara tersebut dalam titah ucapan baginda sebelum ini agar umat Islam berpegang teguh kepada Ahli Sunah Wal Jamaah.

"Titah Seri Paduka diambil sebagai garis panduan tetapi tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada enakmen.

"Jadi jika satu enakmen diwartakan, maka kita melangkah ke satu tapak lagi untuk menyekat Syiah dengan cara mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang seperti menahan pengamal fahaman itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan mewartakan sekatan penyebaran Syiah dalam usaha membendung penularan ajarannya di negeri itu.

Mukhriz berkata, kewujudan fatwa tersebut juga akan membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan demi menyelamatkan akidah umat Islam.

Sheikh Muhamad Baderudin berkata, Syiah perlu disekat daripada berkembang kerana amat berbahaya berikutan fahaman itu telah rosak dari segi akidah.

Beliau berkata, enakmen itu membolehkan pihak berkuasa jabatan agama mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah atau pengamal ajaran Syiah itu dengan lebih berkesan. "Kita nak sekat Syiah supaya jangan menyerap masuk ke dalam masyarakat.

"Jadi ada beberapa cara iaitu yang pertama beri penerangan dan ilmu pengetahuan tentang penyelewengan Syiah kepada umat Islam dan kedua, wujudkan akta untuk dikuatkuasakan supaya boleh menahan pesalah," katanya.
Sheikh Muhamad Baderudin berkata, beliau mengalu-alukan langkah kerajaan negeri kerana beberapa daerah seperti di Pendang, Sungai Petani dan Alor Setar dikesan mempunyai pengikut Syiah yang cuba mengembangkan fahaman itu.

Sumber: Utusan
haramshisha
 Oleh: MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI

ALOR SETAR 20 Julai - Kerajaan Negeri Kedah sedia mewartakan pengharaman shisha selepas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskannya sebagai haram.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan, Mohd Rawi Abd Hamid berkata, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Exco untuk mendapatkan persetujuan sebelum diwartakan.

“Kita akan berbincang pada mesyuarat Exco akan datang untuk putuskan sama ada pengharaman itu perlu diwartakan atau sebaliknya.“Dalam masa sama, kita perlu dapatkan pandangan Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mohamad Baderudin Ahmad terlebih dahulu sebelum menguatkuasakannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, jika ia diwartakan, maka hukuman dan tindakan tertentu boleh dikenakan kepada mereka yang terlibat dalam sebarang aktiviti penjualan atau menghisapnya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan bahawa muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang diadakan pada 17 Julai lalu bersetuju memutuskan bahawa Shisha adalah haram.

Menurut laporan itu, Pengerusinya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, keputusan dibuat setelah mendengar pandangan dari kementerian kesihatan dan penelitian beberapa aspek yang boleh memberi kesan kepada pembangunan ekonomi dan pembentukan generasi.

Sumber: Sinar Harian
bazarramadhan
BALING 19 Julai - Peniaga-peniaga di bazar Ramadan diingatkan meningkatkan kualiti makanan dan minuman yang dijual serta menjaga kebersihan makanan dan persekitaran tempat perniagaan untuk menghindari sebarang penyakit.

Pegawai Kesihatan Daerah Baling, Dr. Delima Kalsom Wahab berkata, operasi dijalankan secara besar-besaran sepanjang bulan Ramadan di bazar sekitar daerah ini untuk memastikan pengendali makanan mempunyai cukup syarat dalam menjalankan perniagaan mereka.

"Operasi dijalankan untuk memastikan pengendali makanan di bazar Ramadan dalam keadaan bersih dan makanan yang dijual selamat serta memenuhi kehendak undang-undang.

"Sebanyak 27 Pegawai Kesihatan Daerah Baling melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di lebih 100 buah bazar yang disediakan di tapak letak kereta pekan Baling.

"Pemeriksaan dilakukan pegawai-pegawai kesihatan Bahagian Teknologi Makanan dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan. Turut sama menjalankan operasi tersebut ialah Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Baling (MDB)," katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Sumber: Utusan
rakyatsejahtera

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

ALOR SETAR 19 Julai - Kerajaan negeri memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat selaras dengan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pihaknya tidak akan ingkar dengan ikrar tersebut dengan mengambil tindakan-tindakan proaktif menerusi perkhidmatan kebajikan dan pembangunan sosial yang profesional serta perkongsian tanggungjawab strategik.

"Kerajaan negeri sentiasa memikirkan gerak kerja paling efektif untuk membantu golongan seperti orang miskin, kurang berkemampuan, orang kelainan upaya, anak- anak istimewa, ibu tunggal dan anak-anak yatim agar nasib mereka terbela.

"Kita mahu melihat golongan ini turut menikmati kualiti kehidupan yang baik dan tidak terabai ketika Kedah berkembang menjadi sebuah negeri maju dan Malaysia pula mencapai tahap sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada Pusat Dalam Komuniti (PDK) di negeri ini anjuran Semai Bakti dan Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (Bidara) di Seri Mentaloon, di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 280 peserta PDK terpilih menerima sumbangan kuih muih, baju dan duit raya. Yang turut hadir Yang Dipertua Bidara, Datin Norzieta Zakaria.

Menurut Mukhriz, bagi memenuhi aspirasi berkenaan, kerajaan Kedah mengharapkan sokongan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sukarela dan badan amal seperti Bidara untuk bersama-sama mencambah idea serta kaedah holistik bagi mengupayakan golongan itu.

"Sama-samalah kita bermuafakat untuk berusaha memenuhi keperluan golongan istimewa ini dengan matlamat menjadikan mereka insan yang mempunyai kehidupan bermakna, individu berdikari dan warga negara yang menyumbang ke arah kemajuan negara," ujanya.

Dalam pada itu, Norzieta berkata, menjadi hasrat Bidara untuk melangkah sederap dengan Kerajaan Kedah dalam merealisasikan asprirasi yang telah digariskan.

Katanya, sudah semestinya program transformasi kerajaan negeri tidak hanya terhad kepada aspek pembangunan semata-mata.

"Ia tentunya turut mencakupi pelbagai inisiatif untuk menjamin keadilan sosial terutama bagi kelompok masyarakat yang agak terpinggir dari arus perdana," katanya.

Sumber: Utusan
JKMmatatelinga
SURAYA Yaacob (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Hasan Man sempena Ziarah Ramadan di Kampung Gajah Mati, Pendang, Kedah, semalam.

PENDANG 17 Julai - Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah disaran menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dalam menyalurkan maklumat mengenai rakyat yang memerlukan bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, pegawai JKM mempunyai kelebihan kerana mereka mengetahui mengenai rakyat yang hidup dalam kesusahan kerana sering mendampingi mereka.

"Hal kebajikan rakyat adalah satu perkara yang amat dititikberatkan oleh kerajaan negeri jadi pegawai JKM perlu terus mendekati masyarakat dan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan negeri.

"Kalau ada rakyat yang susah dan perlu dibantu, maklumat tersebut harus disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan kita akan cuba membantu meringankan beban mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sempena program ziarah Ramadan JKM di Kampung Gajah Mati di sini hari ini.

Seramai 50 keluarga dari empat daerah iaitu Pendang, Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan terpilih untuk menerima bantuan sempena program tersebut.

Menurut Suraya, syarikat-syarikat korporat serta orang awam yang ingin beramal pada bulan Ramadan juga digalakkan untuk menyalurkan sumbangan kepada JKM Kedah agar program ziarah Ramadan JKM boleh terus dijalankan.

"Program ini telah masuk tahun kedua dijalankan dan hasil sumbangan datang daripada kakitangan JKM serta orang awam.

"Saya harap lebih banyak syarikat korporat tampil membantu dan saya akan menggerakkan tabung dana untuk program ini mulai tahun depan," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penerima bantuan, Hasan Man, 70, berkata, dia terharu kerana terpilih menerima bantuan daripada JKM pada Ramadan kali ini.

"Saya tinggal seorang diri di rumah kerana isteri yang sakit dijaga oleh anak, saya bimbang untuk tinggalkan rumah tanpa penghuni.

"Bantuan yang diberikan hari ini boleh digunakan untuk menampung kehidupan saya sepanjang Ramadan ini," katanya.

Sumber: Utusan
datukybsuraya

ALOR SETAR 17 Julai - Kerajaan Negeri Kedah akan membangunkan kira-kira 1,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri untuk tujuan pertanian, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob.

Beliau berkata Pejabat Tanah di setiap daerah akan diminta untuk berbincang dengan pemilik tanah dan pihak lain seperti penghulu bagi melaksanakan program tersebut.

"Tanah terbiar boleh diusahakan dengan tanaman seperti nanas misalnya. Ini ekoran Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia memerlukan kira-kira 500 hektar tanah di setiap negeri untuk mengusahakan tanaman itu," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang dekat sini malam tadi.

Suraya berkata tanah terbiar boleh diusahakan oleh golongan petani muda melalui pemberian subsidi modal oleh kerajaan persekutuan sebanyak RM20,000.
"Kalau mereka tidak ada tanah, kita akan beri tanah kira-kira empat hektar untuk mereka bangunkan dengan pelbagai aktiviti pertanian.

"Empat hektar sudah memadai bagi seorang petani muda ini," tambahnya.

Sumber: Bernama
Oleh JAMLIAH ABDULLAH

kuin

ALOR SETAR 15 Julai - Cadangan untuk menjadikan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebagai badan berkanun kerajaan negeri akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco, Rabu ini sebelum diputuskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, pihaknya akan membentangkan perkara tersebut dalam mesyuarat itu bagi tindakan selanjutnya.

"Kita kena bentangkan perkara ini dalam sidang DUN sebelum ia boleh diluluskan. Jadi saya akan bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Exco, Rabu ini dan kalau dipersetujui akan dimasukkan dalam sidang DUN akan datang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang cadangan kerajaan negeri untuk menjadikan Kuin sebuah badan berkanun negeri, iaitu antara enam langkah bagi menambah baik Kuin dalam mengembalikan hak dan kebajikan kakitangan kolej tersebut yang diabaikan oleh kerajaan negeri Pas sebelum ini.

Langkah tersebut dilihat oleh banyak pihak sebagai terbaik dan diyakini mampu meningkatkan sistem pengurusan serta gerak kerja kakitangan kolej berkenaan.
Dalam perkembangan lain, kata Mukhriz, kerajaan negeri memandang serius usaha penyebaran ajaran sesat di pusat tahfiz dan pondok di Kedah.

"Kerajaan negeri sentiasa memantau semua pondok dan tahfiz untuk pastikan mereka tidak lari daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Jika didapati demikian berlaku, tindakan susulan yang tegas akan diambil," katanya mengulas tentang laporan sebuah akhbar baru-baru ini berhubung sebuah pusat tahfiz di Yan, Jerai yang dikenalpasti mengamalkan ajaran sesat.

Sumber: Utusan
minyakjerlun

JERLUN 15 Julai - Penduduk Jerlun tidak perlu khuatir kepentingan mereka akan terjejas dengan cadangan membangunkan kawasan ini sebagai pusat industri minyak dan gas kerana pelaksanaannya kelak pasti mengambil kira segenap aspek serta tidak menganiaya mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz berkata, penduduk perlu memberi keyakinan kepada kerajaan Kedah untuk menjayakan projek tersebut agar seluruh rakyat dapat menikmati manfaatnya.

"Saya yakin kerajaan Kedah tidak akan melakukan perkara yang merugikan penduduk. Saya menyeru masyarakat Jerlun supaya memberikan kerjasama dan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap pelaksanaannya nanti," katanya di sini hari ini.

Pembangunan Jerlun sebagai pusat industri minyak dan gas yang mengambil kesempatan daripada perjanjian dua hala Malaysia-Thailand adalah antara rancangan yang terkandung dalam manifesto Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Othman berkata, projek itu merupakan bidang pembangunan baharu untuk dinikmati oleh rakyat pada masa hadapan, sejajar dengan peredaran zaman. Kata beliau, pelaksanaannya akan mengubah landskap Jerlun dan negeri ini amnya dalam aktiviti ekonomi yang memberikan kelebihan kepada penduduk tempatan meningkatkan pendapatan, selain mewujudkan peluang pekerjaan.

"Saya berharap projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kemajuan fizikal Jerlun dan faedahnya untuk dinikmati rakyat," ujar beliau.

sumber: Utusan
mukhriz-songkok
Jitra 14 Julai: Nasib 893 pelajar Kedah yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang di Mesir kini dipantau bagi menjamin aspek keselamatan mereka.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir berkata, berikutan itu beliau meminta pelajar terbabit menghindarkan diri daripada mendekati kawasan rusuhan. Katanya, kerajaan negeri turut mendapat laporan daripada pegawai berkaitan mengenai keadaan pelajar dari negeri ini, dan sentiasa mengutamakan soal keselamatan dengan memantau perkembangan terkini mereka dari semasa ke semasa.

“Jika keadaan menjadi semakin meruncing, kerajaan negeri akan memikirkan tindakan selanjutnya dalam usaha menjamin keselamatan pelajar Kedah di sana (Mesir). “Kita mungkin akan membawa pulang pelajar Kedah tetapi ia bukan satu langkah yang perlu diutamakan kerana untuk menjamin keselamatan, banyak cara lain yang dapat kita lakukan. “(Mungkin) kita boleh pindahkan mereka ke kawasan lebih selamat di Mesir dalam usaha memastikan keselamatan mereka terjamin serta tidak mengeluarkan belanja yang terlalu besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan kepada 280 guru al-Quran, bidan kampung dan tok mudim di Masjid al-Muttaqin, Pida 3, Tunjang, di sini, kelmarin. Menurutnya, tindakan memindahkan pelajar ke kawasan lebih selamat bertujuan memudahkan mereka meneruskan pengajian apabila keadaan di negara terbabit semakin pulih.

“Kita akan berbincang dengan Kerajaan Pusat, apakah tindakan yang akan mereka ambil dan kerajaan negeri akan mengikut apa yang disyorkan,” katanya.

Sumber: Metro
TanSriAzizan

Oleh: MOHD ISKANDAR OTHMAN

GEORGETOWN 13 Julai - Selepas hampir 67 hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), keadaan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan dilaporkan stabil dan semakin baik.

Isterinya, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, keadaannya bertambah baik dan sering dilihat tersenyum setiap kali ahli keluarga dan sahabatnya datang melawat.  "Tan Sri sekarang dalam tempoh pemulihan namun ia mengambil masa untuk beliau kembali pulih sepenuhnya.

"Beliau sudah mampu berkomunikasi namun tidak boleh bercakap dengan lancar sebaliknya akan menggunakan pen dan kertas jika mahu berinteraksi dengan ahli keluarga," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukriz Mahathir hari ini.

Bersyukur dengan keadaan kesihatan yang semakin baik, Azizan dikatakan berhasrat untuk membuat kenduri dan menyumbangkan seekor lembu kepada HPP. "Sebelum ini setiap kali Ramadan beliau akan membuat perkara yang sama (menyumbangkan seekor lembu) kepada mana-mana hospital di Kedah namun kali ini beliau memilih memberinya kepada HPP," katanya.

Faekah berkata, Azizan tidak dibenarkan menjalani ibadah puasa tahun ini berikutan keadaan kesihatannya yang memerlukan pemberian ubatan-ubatan secara berterusan.

Beliau berkata, suaminya kini masih lagi makan dan minum menggunakan tiub dan tidak mampu berpuasa sehingga hari ini. Azizan, 69, yang juga Adun Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya pada 9 Mei lalu setelah dimasukkan ke hospital pada 7 Mei akibat komplikasi diabetik. Beliau dipindahkan ke HPP dari Kedah Medical Centre (KMC) selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya.

Sumber: Sinar Harian
ncer
SUNGAI PETANI 11 Julai - Kerajaan Kedah komited untuk terus menjayakan agenda program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) agar muncul sebagai kawasan utama di rantau ini menjelang tahun 2025.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pelbagai strategi telah disusun rapi, antaranya memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian, pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan logistik.

"Sektor-sektor terbabit menawarkan potensi pelaburan yang besar. Matlamat kerajaan negeri adalah untuk membawa perubahan secara beransur-ansur ke arah mewujudkan masyarakat moden dan progresif.

"Dalam mencapai matlamat ini adalah penting bagi kita terus komited menjadikan Kedah sebagai destinasi pelaburan utama dan berdaya saing. Ini juga selari dengan matlamat NCER," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Al Rajhi Bank Cawangan Sungai Petani di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank Malaysia, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Nik Norzrul Thani.

Mukhriz berkata, ekonomi Kedah diunjur berkembang dengan kukuh memandangkan sektor perindustrian mencatatkan pertumbuhan yang baik. "Kemudahan infrastruktur di Kedah berada pada tahap kukuh dan mewujudkan persekitaran sesuai untuk perniagaan dan pelaburan," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bandar Sungai Petani misalnya merupakan salah satu daripada bandar yang paling progresif di negara ini. "Sungai Petani semakin menjadi tumpuan kerana adanya peluang yang tinggi dalam kalangan pelabur terutamanya sektor industri, perniagaan dan pendidikan.

"Selain itu, bank-bank tempatan dan asing berminat membuka cawangan, sekali gus menyediakan pilihan kewangan lebih luas kepada para usahawan," katanya. Beliau juga mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat untuk memacu agenda pembangunan negeri Kedah.

Sumber: Utusan
1M4U

Sebahagian peserta Program Sukarelawan 1M4U bekerjasama bergotong-royong membersihkan kawasan taman rekreasi berhampiran Dataran Balai Besar di Alor Setar, kelmarin. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir

ALOR SETAR 10 Julai - Sebanyak 100 pelajar menyertai Program Sukarelawan 1Malaysia for Youth (1M4U) yang dianjurkan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Program sukarelawan berbentuk gotong-royong yang diadakan di Dataran Balai Besar di sini semalam melibatkan dua buah sekolah rendah, empat buah sekolah menengah dan sebuah institusi pengajian tinggi.

Setiausaha Puspanita negeri, Rizawati Ramli berkata, menerusi program tersebut, golongan belia dapat didedahkan dengan kepentingan menjaga kebersihan di kawasan pusat bandar. "Aktiviti gotong-royong ini merupakan aktiviti tahunan yang kita lakukan, namun kali ini kita libatkan bersama golongan belia dalam memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mereka.

"Kita juga menyediakan aktiviti sampingan kepada peserta seperti senamrobik dan hadiah kepada kumpulan yang berjaya mengumpul sampah paling banyak," katanya kepada pemberita dalam program tersebut. Rizawati berkata, di samping mengadakan gotong-royong, Puspanita Kedah yang mempunyai ahli lebih 3,000 orang turut memfokuskan aktiviti kepada golongan wanita menerusi ceramah ilmu yang diadakan.

Sementara itu, peserta yang ditemui, Nor Shakirah Mohd. Shaharudin Shah, 18, berkata, walaupun program itu diadakan dalam masa yang singkat, namun banyak pengalaman diperoleh. "Menerusi aktiviti ini, saya dapat menyumbangkan tenaga dalam memastikan kebersihan di kawasan pusat bandar terpelihara agar kelihatan cantik di mata pelancong yang datang ke sini," katanya.

Seorang lagi peserta, Sarah Aufa Mohd. Ilias, 10, berkata, program tersebut merupakan gotong-royong di luar kawasan sekolah yang pertama pernah disertainya. Dia berharap agar program yang sama diteruskan pada masa akan datang untuk menyemai semangat cintakan kebersihan dalam kalangan murid sekolah.

Sumber: Utusan
gejalanegatif

TUNKU Puteri Intan Safinaz (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Cemerlang Idul Ilmi 2013, Mohamad Ridzwan Zulkefly di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 9 Julai - Golongan muda diingatkan agar menjadikan ilmu pengetahuan terutama berkaitan agama sebagai benteng mempertahankan diri daripada gejala negatif.

Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, ini kerana dalam era teknologi maklumat, golongan tersebut sering terdedah kepada unsur tingkah laku tidak sihat.
"Ilmu amat penting dan al-Quran juga sentiasa mengajar kita agar mencari ilmu, jadi tiada alasan untuk mengabaikan ilmu.

"Gejala ponteng, lepak dan kes buli melibatkan pelajar mungkin disebabkan kurangnya ilmu hingga menyebabkan nilai murni terhakis," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Idul Ilmi 2013 Maktab Mahmud, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.

Selain itu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, komitmen ibu bapa juga penting dalam membentuk modal insan yang cemerlang. Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa sukacita dengan pencapaian yang diperoleh oleh Maktab Mahmud sejak mula ditubuhkan pada 1936.

Menurutnya, Maktab Mahmud merupakan sebuah institusi tersohor yang melahirkan ramai cendekiawan tanah air. "Maktab Mahmud diharap dapat menjadi pemangkin dalam kalangan generasi muda dan semua pelajarnya perlu sentiasa meningkatkan kecemerlangan serta perlu menjauhkan perlakuan yang merosakkan minda," katanya.

Sumber: Utusan
zakat13

ALOR SETAR 9 Julai - Kadar zakat fitrah bagi negeri Kedah pada tahun ini kekal RM7, kata Penolong Setiausaha Jabatan Zakat Kedah, Redzuan Ahmad.

Redzuan berkata penetapan kadar zakat fitrah dilakukan selepas mengambil kira harga semasa beras. Katanya pihaknya telah melantik lebih 500 amil masjid bagi menjalankan urusan mengutip zakat fitrah di 552 masjid di negeri ini serta turut menyediakan kaedah pembayaran menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Tak ada alasan untuk orang Islam tidak membayar zakat fitrah. Kita dah sediakan kemudahan dan tempat untuk mereka berbuat demikian. Kalau tak sempat, bayar melalui SMS pun boleh dan kita tak kenakan sebarang cas tambahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini. Beliau berkata pihaknya mensasarkan kutipan zakat fitrah RM7.1juta tahun ini berbanding RM6.9 juta tahun lepas.

Sumber: Bernama
Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

kedatransformasi

Mukhriz Tun Dr. Mahathir beramah mesra dengan para penerima anugerah sewaktu majlis makan malam dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kedah di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 8 Julai - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) diminta bersama-sama menjayakan usaha transformasi Kedah yang sekali gus membantu kerajaan negeri menunaikan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, sebagai peneraju program pembasmian kemiskinan luar bandar, Keda diharap dapat meneruskan usaha dengan lebih berkesan selain melaksanakan pembinaan lebih banyak rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR).

"Pengalaman Keda dalam membangunkan kawasan luar bandar, membina rumah-rumah dan penempatan untuk golongan termiskin tentunya dapat mempercepatkan usaha kerajaan negeri mengatasi masalah pemilikan rumah di kalangan rakyat.

"Di samping itu, program-program latihan kemahiran dan kerjaya kepada anak keluarga miskin, program ekonomi keluarga miskin serta program kecemerlangan pelajar miskin hendaklah dipertingkatkan bagi membantu mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan," katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Keda 2012 di sini malam tadi.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Puat Mohd. Ali; Pengurus Besar Keda, Datuk Mohd. Arpan Shari, Pegawai Kemajuan negeri, Datuk Azmi Lateh dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Keda, Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi.

Mukhriz berkata, usaha Keda dalam membangunkan industri kecil dan sederhana serta usahawan tani juga perlu dipertingkatkan dan diberi pendekatan baharu manakala aspek pertanian komersial dan pemulihan tanah-tanah terbiar hendaklah dimajukan secara lebih komersial serta komprehensif.

Menurut beliau, agensi seperti Keda sangat penting dan dapat menjadi penghubung antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri kerana sokongan Persekutuan amat diperlukan terutama dalam usaha melaksanakan program serta projek untuk manfaat rakyat.

Dalam pada itu beliau berkata, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pegawai dan kakitangan Keda untuk berusaha mengeratkan perpaduan serta kerjasama semua lapisan masyarakat demi kemakmuran negeri selain menyedarkan rakyat mengenai peranan yang perlu dijalankan.

Katanya, Kedah tidak akan maju dan membangun jika rakyatnya tidak bersatu padu dan memberikan kerjasama serta menyokong usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Kini adalah masa untuk kita membangunkan Kedah supaya kemakmuran dapat dikecapi oleh semua rakyat tanpa mengira fahaman politik. Ini adalah menepati slogan Kedah Aman Makmur,"tegasnya.

Tambah Mukhriz, dalam usaha memajukan Kedah, satu transformasi perlu digerakkan dan segala kekuatan mesti digembleng disamping terus membangunkan setiap sumber yang ada di sekitar negeri ini.

Kata beliau, Kedah juga perlu meningkatkan kemahiran, kecekapan sumber manusia atau modal insan, memperkukuh dan menggerakkan sumber ekonomi dan alam.

"Saya yakin jika kita berusaha dan semua pihak menyokong usaha yang dijalankan, bukan mustahil Kedah menjadi negeri lebih maju pada masa hadapan," kata beliau lagi.

Sumber: Utusan