Isnin, 08 April 2013 12:42 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

      ALOR SETAR - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Kedah mengambil tindakan memperkenalkan semula kesenian tradisional bagi mengangkat sukan dan budaya semakin dilupa serta ditinggalkan generasi muda pada masa kini melalui Program Merakyatkan Seni dan Budaya-Sentuhan Rakyat di Taman Rakyat Mergong, di sini baru-baru ini. Pengarahnya, Mohd Rizal Ismail berkata, pihaknya mensasarkan generasi muda, yang mana pada masa kini sudah kurang mempraktikkan mahupun mempunyai minat terhadap kesenian dan kebudayaan warisan negara ini.

      Menurutnya, berikutan kejayaan perlaksanaan aktivitinya di Kulim, Kuala Kedah dan Pokok Tai, Pendang baru-baru ini, maka penganjurannya pada kali keempat program ini diadakan di Bandaraya Alor Setar dan seterusnya akan dijalankan di Kulim. "Masa kini, semakin ramai golongan masa kini tidak mengetahui jenis dan keadah permainan tradisional seperti dam haji, congkak, tarik upih, jongkang-jongkit, batu selambut, gasing dan wau, juga tradisi seperti marhaban, wayang pacak, berendoi dan bertahnik ataupun upacara membelah mulut bagi bayi baru lahir yang dianggap unik oleh generasi lama,” ujarnya.

      Justeru, pihaknya juga memodenkan sukan seperti futsal dengan memasukkan elemen tradisional, yang mana pemain perlu memakai kain pelikat sewaktu bermain dalam permainan tersebut bagi menarik minat generasi muda terhadap kesenian tradisional ini. “Kini, generasi muda leka dengan persekitaran baru dengan permainan moden hingga seakan-akan lupa jati diri maka dengan adanya penganjuran program sedemikian maka ia membantu mengembalikan nostalgia dan minat terhadap kesenian warisan nenek moyang ini,” katanya. Mohd Rizal menjelaskan, sebahagian kesenian tradisional berkenaan hanya diketahui oleh orang-orang lama, iaitu ibu bapa mahupun datuk nenek yang pernah menikmati keseronokan permainan tradisional yang juga dikenali sebagai permainan rakyat berkenaan, manakala kebanyakan generasi muda sudah tidak memainkannya lagi.

      Tambahnya, tindakan membangkitkan kesenian itu diambil bagi memastikan permainan tersebut terus 'hidup' dengan mencari generasi pelapisnya dengan harapan warisan nenek moyang kita tidak lupus ditelan zaman dan arus kemodenan. "Dikhuatiri, jika sampai masa 20 tahun pada masa depan, segala seni dan budaya ini telah hilang, malah kita hanya mengenalinya melalui dokumentari mahupun buku sahaja,” katanya. Menurutnya, jika masyarakat tempatan sendiri tidak memainkan peranan mengangkat kebudayaan tersebut, maka siapa lagi yang harus dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan keindahan kesenian tradisional yang dimaksudkan itu ke persada dunia.

Terakhir Dikemaskini (Selasa, 09 April 2013 11:24)

Jumaat, 05 April 2013 11:40 | Ditulis oleh SARINA ISMAIL & SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

      ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dibubarkan pada 5 April 2013. Beliau memaklumkan perkara demikian selepas memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah pada 4 April 2013 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Pada pagi 5 April 2013 kira-kira jam 10.15 pagi beliau menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

      “Kelmarin (4 April) saya pergi jumpa Tuanku Sultan di Kuala Lumpur, pagi ini (5 April) saya jumpa Jemaah Pemangku Sultan untuk mendapat perkenan pumbubaran DUN. “Kedah dan Pulau Pinang antara negeri Pakatan Rakyat yang lewat mengumumkan pembubaran DUN. “Lepas ini saya akan maklum kepada Speaker untuk dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). “Lepas semua negeri bubar baru SPR akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pilihan raya,” jelas beliau kepada wartawan selepas menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang diadakan di Istana Anak Bukit, di sini.
Ahad, 31 Mac 2013 16:31 | Ditulis oleh MUSLIM ABDUL RAZAK

      BALING – Kerajaan negeri Kedah sangat ‘sayang’ dan prihatin terhadap rakyat apabila menyalurkan pelbagai sumbangan kepada insan yang memerlukan tidak mengira fahaman politik dan agama. Baru-baru ini wakil kerajaan negeri meyumbangkan RM5 ribu kepada Halijah Daud, 56, yang kehilangan (dipotong) kaki akibat penyakit kencing manis. Beliau yang tinggal bersama suaminya agak terkejut dan gembira dengan kehadiran wakil kerajaan negeri ke rumahnya. “Saya sakit kencing manis sejak tahun 2000 lagi dan kaki saya dipotong pada bulan satu tahun lepas. Saya agak sayu dan sedih kerana kini pergerakan saya agak terbatas serta banyak kerja yang sebelum ini dapat saya lakukan kini tidak dapat dilakukan lagi, untuk ke mana-mana saya perlu menggunakan tongkat,” katanya dalam tersenyum gembira. Beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan bantuan sebanyak RM5 ribu bagi membantu beliau untuk membeli kaki pasu yang berharga kira-kira RM11 ribu. Beliau berharap agar kerajaan negeri kini dapat terus mentadbir Kedah. Sebelum ini beliau mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

      Selain itu, seorang lagi, Razman Abdullah turut terharu dengan kunjungan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri kepadanya. Razman pernah mengalami kemalangan yang menyebabkan kehilangan mata sebelah kirinya serta penglihatan mata sebelah kanan agak kabur. Beliau turut menghidap penyakit Hepatitis C sejak enam tahun lalu. Beliau memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan dan ubat-ubatan. Razman kini bekerja sebagai penjaga kolam ikan keli milik tuannya dengan gaji sebanyak RM150 sebulan dan dia sekeluarga tinggal dirumah yang disediakan oleh majikannya. Isterinya bekerja di kedai perabut berhampiran dengan rumah mereka dengan gaji kira-kira sebanyak RM700. Mereka mempunyai dua orang anak, yang pertama berumur 18 tahun dan yang kedua dua tahun enam bulan. “Saya sangat terharu kerana dalam keadaan saya yang seperti ini masih ada pihak yang ingin membantu. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin kepada saya dan keluarga saya,” ujarnya. Beliau yang menerima RM1000 daripada kerajaan negeri turut mengharap bantuan daripada mana-mana pihak yang ingin membantunya dengan menyalurkan kepada RHB BANK, Razman Abdullah 15202800183860 atau menghubungi 013-5298898.

Khamis, 14 Mac 2013 09:44 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

      ALOR SETAR -Pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013. Pegawai Tadbir Futsal Negeri Kedah, Amran Hamid berkata, pada perlawanan peringkat pusingan kelayakan yang diadakan di Puchong, Selangor pada awal bulan Februari 2013, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah berjaya mengalahkan pasukan Triways FC, Selangor 2-0. “Pada perlawanan kedua, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah seri 1-1 dengan pasukan KSR Seri Cempaka, Kuala Lumpur,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Perjumpaan Jawatankuasa Futsal Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersama Pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

      Menurutnya, pada perlawanan ketiga, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah berjaya mengalahkan pasukan Kelab Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kuala Lumpur 12-0. “Pada perlawanan penentuan untuk melayakkan pasukan ke peringkat akhir pada kejohanan itu, pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah berjaya mengalahkan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam 10-3,” katanya. Beliau memberitahu, secara automatik pasukan Futsal Lelaki Negeri Kedah merupakan salah satu daripada empat pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013 yang akan diadakan tidak lama lagi. Amran menjelaskan, pasukan Futsal Wanita Negeri Kedah layak secara automatik ke Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013 kerana tiga pasukan sahaja yang mendaftar untuk pertandingan itu iaitu Kedah, Perak dan Negeri Sembilan. “Kita telah membuat persiapan awal bagi menghadapi kejohanan berkenaan dan matlamat kita adalah untuk berada di kedudukan keempat teratas liga. Kalau boleh, kita ingin menjadi juara pada kejohanan berkenaan,” katanya. Pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah yang ditubuhkan pada tahun 2007 kini di bawah bimbingan Pengurus Pasukan Lelaki, Encik Nesar Ahmad Khan Rafi Ahmad Khan manakala Pengurus Pasukan Wanita, Tuan Syed Yusof Syed Othman.

      Naib Presiden KFA, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim berkata, lebih RM600,000 diperuntukkan kepada pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah. “Kita berharap dengan peruntukan yang disalurkan itu dapat memberi semangat kepada pasuykan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam menghadapi Kejohanan Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2013,” katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib dalam ucapannya berkata, sukan futsal pada masa ini merupakan salah satu permainan rekreasi yang dilihat mampu mengetengahkan pemain-pemain yang berkebolehan sepertimana pemain-pemain bola sepak. “Kita berharap dengan adanya sukan futsal, ia secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada peminat-peminat sukan futsal untuk melibatkan diri dalam sukan berkenaan,” katanya. Pada majlis itu, YB. Dato’ Dr. Hamdan Mohamed Khalib turut menyampaikan peralatan sukan kepada pemain-pemain pasukan Futsal Lelaki/Wanita Negeri Kedah.

      Negeri Kedah terletak di utara Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negara Thailand. Pulau Langkawi, satu kawasan tarikan pelancong yang terkenal, adalah juga sebahagian daripada negeri Kedah.

      Bendera negeri memaparkan bulan sabit berwarna hijau di bawah perisai kuning dan dilingkungi oleh jambangan padi berwarna kuning di atas latar belakang merah. Merah adalah warna tradisional negeri dan juga melambangkan kemewahan, sementara bulan sabit adalah simbol agama Islam. Perisai melambangkan Sultan negeri sebagai pelindung dan penjaga rakyatnya