Rabu, 24 Ogos 2011 10:05 | Ditulis oleh Azie |



Isnin, 22 Ogos 2011 10:45 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM |




ALOR SETAR - Walaupun baru berusia antara empat hingga enam tahun namun 70 murid Tadika Seri Mega Sungai Petani telah didedahkan kepada perkembangan dunia luar dari bilik darjah.


Mereka yang ditemani oleh sepuluh orang guru serta 30 ahli keluarga murid, telah mengadakan lawatan ke pusat pentadbiran negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

Guru Besar tadika ini Encik A. Subramaniam memberitahu program lawatan sambil belajar ini diadakan sehari suntuk khusus untuk melawat tempat-tempat menarik di Alor Setar sahaja.

Menurutnya, kemuncak lawatan ini ialah di Wisma Darul Aman manakala tempat lain yang dimasukkan ke dalam senarai lawatan ialah Muzium Padi, Muzium Negeri, Istana Anak Bukit, Rumah Kelahiran Mahathir dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

“Kanak-kanak ini suka melihat kapal terbang dan kami membawa mereka ke sana untuk melihat tempat kapal terbang mendarat dan mengambil penumpang,” katanya.

Katanya, pihak pentadbiran sekolah sangat berpuas hati dengan program ini, kerana semua ibu bapa dan waris murid-murid memberi kerjasama sepenuhnya kepada program lawatan sambil belajar ini.

“Mereka juga menwarkan diri untuk ikut bersama dengan ini meringankan sedikit tugas guru-guru untuk mengawal dan menjaga 70 murid ini,” katanya.

Pihak pengurusan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah bermurah hati memberi makanan dan minuman kepada murid-murid ini.




Terakhir Dikemaskini (Isnin, 22 Ogos 2011 10:53)
Isnin, 22 Ogos 2011 10:46 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR |






JITRA – Seramai 50 orang fakir miskin menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, YB. Abdul Ghani Ahmad.


Program itu dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Ayer Hitam dengan kerjasama Surau Siti Aminah, Sungai Korok, Alor Biak, di sini.

Abdul Ghani dalam ucapannya berkata, sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang terpaksa dihadapi oleh golongan berkenaan terutama dalam menyambut Ramadan dan juga Hari Raya Aidilfitri.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan menjelaskan, usaha yang dilakukan pelbagai pihak dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik amat dihargai.

“Kita amat mengalu-alukan sumbangan dan penyertaan pelbagai pihak dalam usaha bersama-sama membantu golongan yang memerlukan seperti fakir miskin, anak yatim serta ibu tunggal,” ujarnya.




Terakhir Dikemaskini (Isnin, 22 Ogos 2011 10:55)
Rabu, 17 Ogos 2011 15:41 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM |

ALOR SETAR - Walaupun sepatutnya masih bercuti sehingga 29 Ogos ini Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan tetap mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon.

“Tak ada benda baru. Keputusan perlu perlu masuk mesyuarat Exco, termasuklah keputusan untuk memberi bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan kerajaan sempena raya. Kena Exco lulus,” katanya.

Beliau juga memberitahu keputusan memberi setengah bulan gaji itu termasuklah kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

Menyentuh mengenai kesihatannya, beliau memberitahu keadaannya semakin baik, namun masih meneruskan rawatan susulan mengikut prosedur biasa seperti pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan perjalanan jantung.

“Keadaan Alhamdulilah baik tapi di bawah pengawasan doktor. Dia tengok gula, jantung, tekanan darah. Lebih dua minggu menerima rawatan di IJN dan disambung rawatan di Kedah.

“Cuti sampai 29 haribulan tapi saya datang. Cuti rasmi cuti tak rasmi saya mai kerana tak mahu kerja-kerja pentadbiran negeri tergendala walaupun doktor suruh rehat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Menurutnya, dari segi fizikal beliau agak lemah tetapi boleh menjalankan tugas dan sebelum mesyuarat beliau telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan selama satu jam dan beliau mengambil masa dua jam setengah untuk mesyuarat ini.

Beliau juga memberitau selama tiga tahun bekerja beliau tidak pernah mengambil cuti dan semasa berada di IJN ramai ahli-ahli politik yang datang melawatnya termasuklah di pihak pembangkang.

“Ramai datang Dato’ Mahdzir Khalid, Dato’ Bashah, Dato’ Chow, Dato’ Saravanan, ramai lagi. Tak ingatlah dah, terima kasih banyak kerana lawat saya,” katanya.

YAB Dato’ Seri Azizan dimasukkan ke IJN selepas dinaishatkan oleh pakar dari Kedah Mecal Centre Alor Setar berikutan komplikasi jantung.



Terakhir Dikemaskini (Rabu, 17 Ogos 2011 15:47)
Ahad, 14 Ogos 2011 10:22 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR |



SIK - Seramai 150 orang yang terdiri daripada fakir-miskin, ibu tunggal, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) daripada empat Mukim dalam Daerah Sik menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri 2011.

Sumbangan itu disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultanah Kedah pada majlis penyampaian sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri 2011 yang diadakan di Dewan Wawasan Gemilang, di sini.

Program itu dianjurkan oleh Persatuan Wanita Kedah di Wilayah Persekutuan/Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Sik.

Sumbangan itu diberikan dalam bentuk barangan keperluan harian dan wang tunai. Sumbangan tersebut disalurkan oleh Yayasan Sultanah Hamimah yang mana baru sahaja ditubuhkan pada 15 Julai 2011.

Dalam majlis itu, dermawan-dermawan juga dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan melalui Yayasan Sultanah Hamimah agar banyak program kebajikan dapat dilaksanakan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB. Ustazah Hajah Ashah Haji Ghazali; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, YB. S. Manikumar.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sik, YB. Che Uda Che Nik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, YB. Haji Yahya Abdullah; Pegawai Daerah Sik, Dato’ Ismail Said; Pengerusi Persatuan Wanita Kedah di Wilayah Persekutuan/Selangor, Datin Wira Hasnah Abu Samah; Penghulu Mukim, Ahli-Ahli Majlis serta Pengerusi Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK).



Terakhir Dikemaskini (Ahad, 14 Ogos 2011 10:48)
Isnin, 08 Ogos 2011 10:19 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM |





ALOR SETAR, - Sebaik dilantik menjadi Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Alor Setar pada 17 Julai lalu, langkah pertama yang diambil adalah menjadikan Bandaraya Alor Setar sebagai Bandaraya Sejahtera, kata Datuk Bandar Dato’ Haji Mat Noh Ahmad dalam ucapan aluannya pada majlis pelancaran OSC Online MBAS.

Untuk tujuan itu, katanya, semua warga kerja MBAS diberi penerangan akan konsep tersebut supaya mudah untuk dihayati dan mudah untuk bekerja bagi mencapai matlamatnya.

“Saya telah menjemput Prof Dato’ Syeikh Omar Abd Rahman dari Universiti Putera Malaysia untuk membantu saya dan seluruh warga kerja MBAS bagi mencapai matlamat menjadikan Alor Setar Bandaraya Sejahtera.

“Ini adalah usaha memantapkan dan memodenkan Alor Setar supaya standing dengan lain-lain PBT. Selepas pelancaran ini tuan-tuan dan puan-puan boleh menggunakan kaedah ini untuk membuat permohonan pembangunan kepada MBAS dengan hanya melayari laman web MBAS www.mbas.gov.my.,” katanya.

Sistem ini melibatkan dua modul iaitu e-penyerahan dan e-pemprosesan di samping tujuh modul berkaitan. Melalui sistem ini permohonan boleh dikemukakan kepada Urusetia OSC manakala jabatan-jabatan teknikal dalaman dan luaran boleh mengemukakan dan memproses atas talian sahaja.

Beliau berharap pihak yang terlibat iaitu juru rancang, arkitek, jurutera, juru ukur tanah, pelukis pelan dan lain-lain perunding yang berdaftar supaya menerima perubahan ini.

Selain itu bagi warga kerja MBAS yang terlibat dengan sistem ini dapat dapat bersedia mempertingkatkan tahap kecekapan masing-masing.

Beliau juga menyarankan semua pihak konsultan supaya memahami dan mematuhi peraturan semasa mengemukakan permohonan pemajuan bagi mengelakkan daripada dikenakan denda dan kelewatan melaksanakan projek.

“Begitu juga kepada pemaju-pemaju agar dapat melaksanakan projek yang telah diluluskan dalam masa yang ditetapkan. Ini kerana masih ada pemaju yang tidak melaksanakan projek mereka walaupun telah diberi kelulusan dan terpaksa pula mengemukakan permohonan lain bagi melanjutkan tempoh kelulusan itu,

“Kami sentiasa membantu mempecepatkan proses permohonan tapi bila lulus tak laksanakan mengikut jadual,” katanya.



Terakhir Dikemaskini (Isnin, 08 Ogos 2011 11:02)
Ahad, 17 Julai 2011 09:46 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR |

ALOR SETAR, 14 Julai: Amalan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amalkan) merupakan budaya yang telah lama diamalkan di negeri matahari terbit iaitu Jepun sejak tahun 1980-an dan hanya baru sekarang setelah hampir 30 tahun, Amalan 5S ini dengan rasminya akan mula diterapkan dan diamalkan di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Haji Rasli Basir berkata, seperti yang telah dimaklumkan oleh pihak secretariat, MAMPU sekali lagi akan mengadakan sesi penilaian terhadap Sistem Penarafan Bintang atau SSR yang dijangka akan diadakan pada penghujung tahun ini.



“Pejam celik hanya tinggal kurang daripada setengah tahun untuk kita membuat persiapan dan persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi pengauditan SSR. Hasrat saya pada tahun ini adalah untuk kita mencapai lima bintang iaitu penambahan dua bintang kepada tiga bintang yang telah kita perolehi. Akan tetapi, perkara ini tidak semudah seperti memetik buah rambutan di atas pokok,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Amalan 5S Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Pekarangan Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, banyak kriteria-kriteria dalam penilaian SSR yang telah dibuat penambahbaikan dan beliau percaya kali ini pengauditan yang akan dijalankan akan bersifat lebih tegas, yang perlu ada mesti ada, untuk mendapat markah penuh, manakala yang separuh ada, maka akan mendapat separuh markah juga.

“Sepatutnya berdasarkan hasil pemerhatian yang lalu, pihak kita telah pun mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan criteria-kriteria yang dinilai telah dipenuhi dan bukannya baru hendak meneliti perkara ini,” katanya.

Haji Rasli memberitahu, pihak pengurusan telah memberi ganjaran yang sewajarnya kepada hasil usaha pegawai dan kakitangan yang telah bertungkus-lumus berusaha keras bagi memastikan kita dianugerahkan dengan tiga bintang pada sesi pengauditan yang lalu.

“Dua kumpulan telah berlepas ke Bandung dan kumpulan yang terakhir baru sahaja tiba dari Guangzhou. Diharapkan ganjaran ini akan menjadi pemangkin kepada tuan-tuan dan puan-puan bagi menggandakan lagi usaha untuk memastikan lima bintang menjadi milik kita kali ini,” jelasnya.

Sehubungan dengan itu juga, katanya, program yang diadakan pada kali ini adalah sebagai memenuhi salah satu criteria dalam penilaian Sistem Penarafan Bintang. Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amalkan merupakan lima tunggak kepada Amalan 5S ini. Fahami pengertian setiap satu S yang dinyatakan dan laksanakannya secara satu persatu mengikut susunannya.

Amalan 5S ini, ujarnya, tidak akan menjadi reality jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk merealisasikannya. Sebaliknya Amalan 5S ini adalah merupakan usaha berterusan yang melibatkan seluruh warga Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah kerana faedah yang bakal dikecapi bukan milik seorang individu tetapi keseluruhan organisasi akan merasainya.

“Banyak manfaat dan faedah yang bakal diperolehi dari sekecil-kecil tempat workstation tuan-tuan dan puan-puan sehinggalah kepada sebesar-besar Wisma Darul Aman. Amalan 5S ini adalah merupakan satu tindak balas Domino,” katanya.

Beliau menjelaskan, apabila persekitaran tempat kerja menjadi bersih, kemas dan tersusun, secara tidak langsung persekitaran tempat kerja menjadi lebih selamat dan kondusif. Proses pencarian baik dari segi dokumen mahupun fail menjadi lebih pantas dan secara tidak langsung juga kesilapan kerja dapat diminimumkan kerana sebarang kepincangan dalam aliran kerja dapat dikesan lebih awal.

“Pengurusan kos menjadi lebih efektif, proses kerja menjadi lebih efisien, penggunaan tenaga kerja dapat dijimatkan dan hasilnya tuan-tuan dan puan-puan dapat bertindak dengan lebih pantas dan menjana idea yang bernas dan kreatif,” ujarnya.

Kesemua tindak balas ini, katanya, akan membuahkan hasil dalam bentuk output yang diberikan kepada pelanggan iaitu sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang awam dan acapkali perkhidmatan awam dikaitkan dengan sistem penyampaian perkhidmatan yang mengambil masa terlalu lama bagi mendapatkan sesuatu respon.

Oleh itu, jelasnya, pembudayaan Amalan 5S dalam menjalani kerja seharian diharapkan akan dapat mengikis pandangan masyarakat yang negative terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam dan sekaligus menjadi satu anjakan paradigma ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti.

Haji Rasli berkata, proses kerja Amalan 5S ini tidak terhenti apabila selesai melakukan sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amalkan. Sebaliknya perlu sentiasa diamalkan dan diteruskan bagi memastikan keberkesanan Amalan 5S.

“Oleh itu, diharapkan tuan-tuan dan puan-puan dapat menjiwai Amalan 5S ini dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian tuan-tuan dan puan-puan baik di pejabat mahupun di rumah,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak bagi menjayakan majlis pelancaran Amalan 5S ini.



“Tidak lupa juga diucapkan terima kasih kepada jabatan-jabatan luar milik kerajaan atau pun swasta di atas sumbangan tenaga, peralatan serta perkakasan,” tambahnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Tuan Haji Mohd Zohdi Haji Saad; Pengarah Pusat Teknologi Maklumat Negeri Kedah, Puan Hajah Nawadzir Haji Abdul Ghani; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Kanan ( Sumber Manusia), Tuan Haji Nordin Yahya; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Encik Abdul Rahman Mohd Saad; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Kanan (Khidmat Pengurusan), Encik Ammar Dato’ Shaikh Mahmoood Naim; Ketua Unit Audit Dalam, Encik Mohd Fauzi Mustaffa dan Ketua Penolong Setiausaha (Kerajaan Tempatan), Encik Armishah Siraj.



Hadir sama ialah Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan), Tuan Haji Muhamad Arof Darus; Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Tuan Syed Khairol Annuar Syed Abidin; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan Korporat), Encik Mohamad Rizal Mohamad Radzi; Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Bangunan, Aset dan Pembangunan Sosial), Tuan Haji Zulkifli Abdullah; Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan Korporat), Puan Noor Akma Dato’ Wira Mohd Omar dan Ketua Pembantu Tadbir Pejabat Menteri Besar Kedah, Zulkapli Othman.

Tamat.
Isnin, 08 Ogos 2011 11:00 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM |

ALOR SETAR, 8 Ogos: Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah dipindahkan ke wad biasa Bunga Raya Institut Jantung Negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi, YB Dr Ismail Salleh.

“Semenjak di rawat di ICCU IJN kesihatan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan telah menunjukkan perkembangan positif. Beliau dipindahkan ke wad biasa tiga hari lalu (Sabtu),” katanya kepada Warta Darulaman.

Sekiranya tanda-tanda positif ini berterusan YB Dr Ismail yakin, beliau akan sembuh sepenuhnya dan dapat pulang menjalankan tugas seperti biasa.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah dimasukkan ke IJN kerana komplikasi jantung atas nasihat pakar perubatan Kedah Medical Centre. Sepanjang menerima rawatan di IJN beliau hanya menjalankan prosedur angiogram.

Menurutnya dengan perkembangan ini sekaligus menafikan anggapan yang YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan akan bercuti selama sebulan dan jawatannya akan dipangku oleh Ahli Exco yang dipilih.

“Kesihatannya sekarang bertambah baik dan boleh bergerak sendiri seperti pergi ke bilik air,” katanya.
Rabu, 03 Ogos 2011 08:54 | Ditulis oleh Azman Ahmad |

KUALA LUMPUR - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah telah menziarahi YAB Menteri Besar Kedah Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).


KDYMM Tuanku Sultan melapangkan masa menziarahi YAB Menteri Besar setelah dimaklumkan tentang keadaan kesihatan Ustaz Azizan. Dalam lawatan tersebut, baginda diberi penerangan oleh Pakar Jantung IJN yang merawat Menteri Besar.

Menteri Besar dimasukkan ke IJN setelah beliau mengadu tidak sihat dan mendapatkan rawatan di KMC yang kemudiannya dirujuk ke IJN untuk tindakan lanjut.
Rabu, 03 Ogos 2011 09:32 | Ditulis oleh SARINA ISMAIL |





ALOR SETAR, 3 Ogos 2011 – Seramai 46 orang anak-anak yatim bersama pengiring dari Rumah Anak Yatim Gemilang, Kampung Banggol Dedap, Sik diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar di sini.



Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, anak-anak yatim merupakan golongan yang perlu dirai dan disayangi. Mereka antara insan-insan kurang bernasib baik yang kehilangan ayah, ibu atau kedua-duanya ketika masih kecil.



“Menjadi tanggungjawab bersama, menjaga kebajikan mereka kerana ianya merupakan tuntutan dalam agama Islam.

“Selain itu, kita juga bertanggungjawab mempastikan mereka ini mendapat pendidikan yang sempurna dan membesar dalam suasana yang boleh mendidik diri menjadi insan serta pemimpin yang bertaqwa di masa akan datang,” sambungnya lagi.

Beliau turut memperingati akan kelebihan bulan Ramadhan di mana Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya kepada hamba-hambaNya.

“Rebutlah peluang yang hanya datang sekali setahun ini agar kita tidak menjadi manusia yang rugi kerana belum tentu kita akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun yang akan datang.

“Ambilah kesempatan di bulan yang penuh berkat ini, untuk memohon ampun dari Allah SWT untuk diri, ibu bapa dan ahli keluarga kita,” nasihatnya lagi.

Majlis berbuka puasa tersebut adalah anjuran Hotel Seri Malaysia, Alor Setar. Di samping itu, anak-anak yatim tersebut juga menerima sumbangan hari raya dari pihak penganjur.

Terakhir Dikemaskini (Rabu, 03 Ogos 2011 09:41)
ALOR SETAR – Jabatan Mufti Negeri Kedah menganjurkan Seminar Muamalat dan Perbankan Islam Peringkat Negeri Kedah Darul Aman yang diadakan di Kolej Universiti Insaniah, di sini.



Seminar ini bertujuan memberi kefahaman dan penjelasan kepada orang ramai khususnya pihak-pihak yang terlibat dengan sistem muamalat dan perbankan Islam supaya setiap pinjaman, pelaburan dan apa jua jenis maumalat yang ditawarkan tidak melanggar batas-batas syariat Islam.

Peluang seumpama ini turut menyebarluaskan produk kewangan yang halal melalui sistem perbankan Islam di samping menyedarkan umat Islam gejala yang berlaku jika terjebak dengan amalan riba yang tergolong dalam salah satu dosa besar.

Seminar ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB Ustaz Abd Ghani Ahmad bagi menggantikan Menteri Besar.

Pihak penganjur turut menampilkan pakar muamalat Islam, YBhg Dr Zaharuddin Abd Rahman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagi membentangkan kertas kerja mengenai riba dan kesannya serta pengenalan perbankan Islam.

Jabatan Mufti Negeri Kedah turut melancarkan laman web dan Pelan Strategik Jabatan Mufti Negeri Kedah bagi tahun 2011-2014.

Laman web ini, http://mufti.kedah.gov.my merupakan mekanisma terbaik untuk mendapat maklumat berkaitan info-info agama dan kenyataan yang dipaparkan akan disahkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah.

Terakhir Dikemaskini (Rabu, 03 Ogos 2011 11:38)